Ulasan : Don’t Starve – Console Edition

Permainan simulasi berdasarkan kehidupan seharian merupakan salah satu permainan yang mengasyikkan dan tidak lapuk dek zaman. Dahulu pernah wujud permainan bertajuk Harvest Moon. Permainan ini yang memerlukan pemain membawa watak seorang pewaris ladang dan perlu menghidupkan semula bisnes ladang tersebut. Penekanan simulasi diberikan kepada perlunya pemain membersihkan ladang, menyemai biji benih pada musim tertentu, menternak lembu, berhubung dengan masyarakat setempat untuk menjual hasil tuaian sehinggalah berkahwin.

Sekiranya anda tidak biasa dengan Harvest Moon, mungkin anda biasa dengan permainan The Sims, atau FarmVille. Permainan sebegini adalah permainan simulasi yang menambah penghayatan pemain. Apa akan jadi sekiranya ada permainan simulasi ikhtiar hidup? Sekiranya anda seorang pengakap, sudah tentu anda akan teruja dengan permainan Don’t Starve. Permainan indie ini dihasilkan oleh Klei Entertainment pada April 2013 untuk platform PC, Mac & Linux. Untuk ulasan ini, saya bermain Don’t Starve: Console Edition yang dihasilkan untuk platform PlayStation 4 yang diterbitkan baru-baru ini.

Simulasi Ikhtiar Hidup

Sekiranya permainan simulasi lain menawarkan pemain untuk membawakan watak seorang peladang dan seorang jejaka/gadis (didalam The Sims), dalam perrmainan Don’t Starve, pemain akan bermula dengan memainkan watak Wilson, seorang saintis yang inginkan lebih ilmu dan mudah terpedaya dengan pujukan Maxwell. Maxwell yang merupakan seorang ahli sihir memerangkap Wilson di dalam dunia alternatif yang durjana. Di dalam dunia ini yang juga dikenali sebagai ”Survival/Sandbox Mode“, pemain perlu mencari sumber bahan untuk meneruskan hidup disamping memastikan tiga keperluan hidup dipenuhi, iaitu keperluan makanan, keperluan mental, dan nyawa.

Dont Starve

Keperluan makanan dan mental pemain akan berkurangan sepanjang permainan dan permainan ini juga membawakan latar masa siang dan malam, selain cuaca – musim sejuk dan panas. Sebelum malam menjengah, pemain perlu menghasilkan sumber api. Sekiranya pemain tidak sempat menghasilkan sumber api, pemain akan dicederakan oleh makhluk ghaib dan tewas (mati). Sekiranya pemain kelaparan, bar tahap kelaparan akan habis dan kapasiti nyawa akan berkurang setiap saat, sehinggalah pemain mati. Sekiranya keperluan mental pemain juga kehabisan, pemain akan menghadapi serangan makhluk halus walaupun pada masa siang, yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. Pemain juga boleh kehilangan nyawa hasil serangan makhluk lain, dan juga disebabkan sejuk semasa musim sejuk.

Dont Starve

Pendek kata, ada bermacam sebab permainan tersebut boleh tamat. Dan watak yang dibawakan oleh pemain akan mati begitu sahaja dan tidak boleh dimainkan semula. Ini merupakan satu bentuk permainan yang “kejam” kerana sekiranya permainan lain, anda boleh memainkan semula misi anda sekiranya anda gagal, tetapi di dalam Don’t Starve, sekiranya watak permainan mati, maka kesemua usaha adalah sia-sia sekaligus menambahkan elemen ikhtiar hidup yang tidak terhingga kepada pemain. Apapun, watak-watak yang lain akan diberikan berdasarkan tempoh jangka hayat pemain berjaya hidup dan setiap watak mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri.

Watak-watak Permainan.

Pemain akan bermula dengan watak Wilson, seorang saintis yang terpedaya dengan tawaran Maxwell. Kekuatan Wilson hanya terdapat pada janggutnya yang boleh tumbuh mengikut masa dan menjadikannya penebat haba pasif – boleh digunakan untuk meneruskan hidup semasa musim sejuk. Beberapa watak lain yang boleh diperoleh adalah;

Watak-watak Don’t Starve
WatakHari DiperlukanKebolehanKelemahan
Willow8 hari / 160 exp pointMempunyai pemetik api & imun kepada apiAkan menghasilkan api apabila stres
Wolfgang16 hari / 320 exp pointKuat apabila kenyangTakut dengan kegelapan
Wendy32 hari / 640 pointAda hantu sebagai kawan & tak takut pada kegelapanKuasa pukulan lemah
WX-7848 hari / 960 pointRobot yang tidak memilih makanan. Kuat bila dipanah petirTidak tahan dengan hujan
Wickerbottom64 hari / 1280 pointMempunyai skil berdasarkan bukuMemilih makanan dan tidak boleh tidur
Woodie80 hari / 1800 pointMempunyai kapak yang tidak akan rosakAkan menjadi Werebeaver apabila menebang pokok berterusan dan semasa malam purnama
WesPerlu diselamatkan dalam Adventure ModeMempunyai belon sebagai senjataPaling lemah antara semua
MaxwellPerlu memenangi Adventure ModeMempunyai Dark Sword & keupayaan mental yang tinggi.Nyawa paling rendah antara semua

Setiap watak mempunyai kelebihannya tersendiri. Seperti contoh, watak Wolfgang kuat apabila kenyang tetapi apabila menghampiri malam, keperluan mentalnya akan berkurangan dengan pantas. Sekiranya anda menggunakan Willow, secara asasnya, keperluan mental akan berkurang pada waktu malam dan pada musim sejuk. Untuk menyelesaikannya, Willow yang mempunyai pemetik api, boleh membakar benda dan membolehkan keperluan mentalnya bertambah. Bagi saya, watak yang saya sukai adalah Woodie dan Willow. Untuk menghadapi serangan serigala, atau menebang serta menghancurkan batu, saya boleh menjelma menjadi Werebeaver. Namun, keupayaan mental akan berkurang dan perlu tidur untuk memastikan Woodie tidak gila.

Corak Permainan

Permainan ini merupakan permainan berasaskan perkara rawak. Apabila memulakan permainan ini, peta, lokasi binatang dan makhluk ganas, lokasi tumbuh-tumbuhan serta sumber akan dijana secara rawak. Ia sekaligus menjamin peta yang baru ditawarkan setiap masa untuk pemain. Kesemua tetapan ini disimpan sehinggalah watak yang dimainkan mati. Sekiranya pemain memulakan watak lain, peta baru akan dijana dan meningkatkan tahap main semula untuk permainan ini.

Kenapa saya katakan anda akan teruja bermain permainan ini sekiranya anda seorang pengakap? Kerana permainan ini memerlukan anda berfikir untuk meneruskan hidup di dalam permainan ini dan setiap peralatan mempunyai tech tree-nya tersendiri. Seperti contoh anda akan bermula dengan mengutip sumber seperti ranting dan serpihan batu yang boleh dijadikan kapak. Kapak tersebut akan digunakan untuk menebang pokok. Kayu yang diperoleh digunakan untuk membuat unggun api namun kayu sahaja tidak mencukupi, anda juga perlu mempunyai rumput.

Itu baru satu perkara untuk hidup pada malam hari. Untuk membuat perangkap, anda perlu mengutip ranting dan juga rumput pada kuantiti diperlukan. Kesemua peralatan anda seperti kapak, cangkul, perangkap, perangkap burung mempunyai durasi berapa lama atau berapa kalikah ianya boleh dipakai. Jadi anda juga perlu sentiasa memastikan sumber bahan mencukupi untuk membuat peralatan tersebut.

Dont Starve

Sedikit mengenai antaramuka permainan. Pada sebelah kanan atas skrin permainan, gambarajah indikasi seakan-akan jam menunjukkan waktu siang, senja dan malam – beserta tempoh pemain telah hidup dalam permainan diperlihatkan. Perbezaan waktu juga memainkan peranan penting termasuk sesetengah makhluk seperti kelawar dan nyamuk akan muncul pada waktu senja. Dan pada malam hari, sekiranya tiada sumber api dibuat, pemain tidak akan sempat membuat unggun api. Juga pada malam hari, sesetengah watak akan menjadi stres, dan menurunkan keperluan mental mereka.



Perbezaan musim juga salah satu elemen yang perlu dititik-beratkan. Persiapan menghadapi musim sejuk perlu dilakukan semasa musim panas. Ini kerana semasa musim sejuk, pohon-pohon anggur tidak akan tumbuh, lebah tidak akan keluar dan tidak boleh dibunuh untuk mendapatkan madunya, dan ladang juga tidak akan menghasilkan sayuran menyebabkan makanan menjadi satu sumber yang sukar diperoleh. Pemain juga akan menghadapi cabaran kematian disebabkan beku. Baju sejuk perlu dihasilkan untuk memastikan keperluan mental stabil.



Kadang-kala terdapat serangan oleh makhluk-makhluk dari dunia ini. Terdapat serigala yang akan menyerang pada waktu tertentu. Ketika musim hujan, katak akan jatuh dari langit dan akan menyerang pemain sekiranya berhampiran. Sekiranya pemain atau makhluk lain menyerang katak, kesemua katak didalam paparan skrin akan menyerang balas. Lembu Beefalo juga yang biasanya tidak agresif akan menyerang pemain berhampiran sekiranya lembu tersebut sedang dalam musim mengawan atau baru lepas melahirkan anak.

Adventure Mode

Dont Starve

Terdapat lagi satu mod permainan yang dipanggil ”Adventure Mode” – membolehkan pemain berlawan dengan Maxwell dalam 5 senario berbeza secara berturut-turut. Di dalam Survival Mode, pemain perlu mencari Maxwell Door untuk masuk ke dalam Adventure Mode.

Pemain akan dibawa ke sebuah peta baru yang akan dijana pada permulaan senario tersebut dan senario ini akan muncul pada turutan rawak. Misi utama pemain adalah untuk mencari 4 benda unik untuk dijadikan Teleportato untuk memasuki senario seterusnya. Terdapat 6 senario yang akan dipilih secara rawak iaitu;

  • A Cold Reception: Satu senario yang mempunyai waktu siang yang pendek, dan hujan berterusan diselang-selikan dengan salji.
  • King of Winter: Sepanjang masa merupakan musim sejuk.
  • The Game is Afoot: Kesemua 4 item berada di satu bahagian yang dihalang oleh makhluk yang agresif.
  • Archipelago: Pemain perlu mengembara ke pulau-pulau untuk mencari 4 benda tersebut.
  • Two Worlds: Terdapat perbezaan masa apabila menjejak pada permukaan yang lain.
  • Darkness: Tahap wajib terakhir sebelum pemain bersemuka dengan Maxwell

Dont Starve

Sejurus tamat 5 senario yang dipilih secara rawak, pemain akan berjumpa dan Maxwell dan akan mendapat Maxwell sebagai watak yang boleh dimainkan. Sekiranya pemain mati didalam Adventure Mode, pemain akan dihantar semula ke Maxwell Door pada Survival Mode dan boleh mencubanya semula.

Kesimpulan

Simulasi ikhtiar hidup ini merupakan satu permainan yang sangat mengasyikkan dan mempunyai nilai main semula yang tinggi disebabkan peta serta sumber yang dijana adalah rawak. Ia memastikan pengalaman bermain yang unik. Namun begitu permainan yang menekankan permanent death dimana setiap watak yang mati tidak dapat dimainkan semula merupakan satu perkara yang kejam dan bukan untuk pemain yang inginkan permainan kasual seperti Flappy Bird.

Bayangkan anda sudah bermain untuk 82 hari waktu permainan. 1 hari permainan bersamaan 8 minit dalam waktu sebenar. Saya sudah menghabiskan 656 minit waktu sebenar dan bermaksud lebih 10 jam dihabiskan untuk mencapai waktu 82 hari permainan, lebih dari waktu yang diperlukan untuk menghabiskan Diablo 3.

Harga permainan ini untuk PS4 adalah RM 48 dan percuma buat pelanggan PlayStation Plus. Untuk harga ini saya kira sangat berbaloi dengan syarat anda perlu menerima yang permainan ini tiada penamatnya.

Kelebihan:
  • Permainan yang mencabar skil ikhtiar hidup anda.
  • Harga mampu milik dan mempunyai nilai main semula yang tinggi.
  • Pengalaman permainan yang unik kerana kebanyakan perkara dijana secara rawak.

Kontra:
  • Tiada arahan dan tutorial panjang mengenai permainan yang diberikan. Arahannya hanyalah: Survive!. Pemain perlu banyak mencuba.
  • Fungsi permanent death membuatkan permainan ini tidak boleh dimainkan semula sekiranya watak tersebut mati.
  • Bukan untuk mereka yang sukakan permainan kasual, comel dan mudah.

Skor Amanz Dont Starve

Nota: