Ulasan : Joe Dever’s Lone Wolf

01

Sekiranya anda membesar sekitar tahun 1990-2000, saya pasti anda tentunya pernah mendengar siri buku Kai / Magnakai Lone Wolf, sebuah kisah epik mengenai pengembaraan perwira bernama Lone Wolf, yang dipersembahkan dalam konsep buku permainan. Pembaca buku tersebut akan memegang watak sebagai Lone Wolf dan boleh memilih kisah penceritaan mereka, sekaligus memberikan penghayatan yang lebih terhadap kisah ini. Malahan, ia tidak terhad kepada pemilihan cerita berdasarkan muka surat, terdapat juga attribute yang penting akan digunakan oleh pembaca seperti nyawa, kebolehan Kai yang ingin dipilih, peta Magnamund, senjata dengan kekuatan serangan dan pertahanan, yang menjadikan buku permainan ini unik dan sentiasa diingati oleh peminatnya.

Terbaru, pada bulan ini, Forge Reply telah menterjemah kisah pengembaraan epik ini menjadi aplikasi permainan untuk platform iOS & Android. Dikatakan pembangunan aplikasi ini diumumkan pada tahun 2011 dan mengambil masa 2 tahun untuk disiapkan. Oleh kerana minat yang mendalam terhadap permainan ini, saya telah mencubanya baru-baru ini.

Anda adalah perwira Kai terakhir, berikut merupakan kisah anda…

lonewolf1

Pada permulaan permainan, seperti konsep bukunya, pemain boleh memilih tiga sikap peribadi yang utama yang akan mempengaruhi karekter mereka. Seperti contoh satu pilihannya adalah – You rely on your dexterity and intuition to overcome any obstacle – yang akan menambah poin Dexterity watak Lone Wolf yang bakal dimainkan. Anda juga diberikan pilihan terhad untuk senjata, dengan setiapnya mempunyai attribute berlainan. Pemilihan senjata ini pada mulanya saya sangka tidak penting akan tetapi semasa perlawanan, akan ada gesture tertentu yang perlu diikut untuk menyerang musuh. Seperti contoh, gesture serangan menggunakan kapak sedikit sukar jika dibandingkan dengan gesture serangan menggunakan pedang.

Seterusnya terdapat 4 pilihan kebolehan Kai daripada 8 yang boleh dipilih dan setiap satunya unik. Sekiranya anda mengambil kebolehan Survival yang membolehkan anda lebih pandai dalam memilih jalan, anda tidak boleh memilih kebolehan Healing. Dan begitu juga sekiranya anda memilih kebolehan Mindblast & Mindshield, anda tidak boleh memilih Mind Over Matter iaitu kebolehan telekinesis.

lonewolf2

Pemilihan kebolehan Kai dan attribute diatas akan turut mempengaruhi attribute watak Lone Wolf yang anda mainkan. Terdapat tiga attribute utama iaitu Strength, Intelligence & Dexterity yang akan mempengaruhi bar nyawa (Vitality) berwarna merah, bar kuasa Kai berwarna biru, dan juga bar stamina (Endurance) berwarna hijau.

Seterusnya pemain akan dibawa masuk ke permainan yang dipersembahkan dalam dua mod, iaitu mod pembacaan dan mod pertempuran.

Mod Pembacaan
lonewolf4

Selepas pemain memilih kebolehan Lone Wolf, permainan dipersembahkan dalam bentuk buku cerita, mengekalkan elemen asal buku permainan ini sekaligus mengimbau nostalgia peminatnya. Sekiranya di dalam buku, setiap pilihan adalah berdasarkan muka surat, didalam aplikasi ini pula akan terdapat menu untuk membuat keputusan. Saya memainkan permainan ini menggunakan iPhone 5 & iPad Retina (iPad 3). Terdapat sedikit perbezaan pada antaramuka dan tampak lebih selesa dimainkan pada iPad.

lonewolf3

Seperti gambarajah diatas, saya memulakan babak ketiga dan perlu memilih sama ada ingin memilih untuk pergi ke Bath House atau pergi ke jalanan. Dalam memilih sesuatu keputusan, anda juga boleh menggunakan kebolehan Kai anda.

lonewolf5

Seperti gambarajah diatas, terdapat tiga pilihan laluan, dan juga saya boleh menggunakan kebolehan Sixth Sense yang boleh mendedahkan apa disebalik sesuatu situasi dan juga memberikan jawapan yang dicadangkan.

lonewolf6

Dalam permainan ini juga terdapat beberapa cabaran tambahan seperti cabaran untuk membuka kunci, cabaran untuk merempuh dinding dan sekiranya anda mempunyai kebolehan Mind Over Matter, terdapat tugas untuk mengalihkan sesuatu yang menghalang jalan, dan pemain dikehendaki melakukan gesture tertentu untuk melaksanakannya. Dengan setiap kebolehan Kai yang digunakan dalam penceritaan, kuasa Kai juga akan digunakan. Sekiranya anda gagal melaksanakan gesture yang dipinta, nyawa mungkin akan berkurang disebabkan kecederaan.

Pemain juga boleh memenuhkan semula kuasa nyawa, Kai dan Endurance semasa mod pembacaan akan tetapi ianya terhad pada situasi. Kadangkala, apabila memilih untuk berehat yang dipanggil Meditate, pemain akan diberikan amaran bahaya yang mungkin ada namun boleh untuk berehat sebentar. Dan juga semasa meditasi atau semasa dalam perjalanan ke lokasi lain, serangan mungkin dilakukan, sekaligus membawa pemain ke mod pertempuran. Terdapat sesetengah babak dalam mod pembacaan yang turut membawakan pemain ke mod pertempuran.

Mod Pertempuran

lonewolf7

Pemain buku permainan ini sudah pastinya biasa dengan Jadual Rawak, dimana pembaca perlu memegang pensil dan sambil menutup mata, menekan pensil tersebut kearah jadual tersebut. Nombor yang dipilih akan menjadi keputusan sesuatu perlawanan. Didalam aplikasi permainan ini, perlawanan tersebut dilakukan seumpama permainan Infinity Blade dan terdapat beberapa gesture yang perlu dilakukan oleh pemain. Juga sekiranya pengguna menggunakan telefon pintar, pengguna perlu memusingkan telefon kearah posisi mendatar.

lonewolf9

Untuk bertempur, pemain memerlukan Endurance yang cukup untuk sesuatu gerakan dan juga masa yang mencukupi. Pertempuran dilakukan berdasarkan masa. Saya kira dalam 10 saat pemain perlu memilih gerakan dan serangan yang akan dilakukan. Dalam skrin pertempuran juga, terdapat 5 jenis pilihan boleh dilakukan.

  • Serangan menggunakan Sommerswerd, yang akan menggunakan kuasa Kai dan mempunyai masa yang lama sebelum boleh melakukan gerakan semula. Terdapat tiga pilihan serangan namun ianya dikunci mengikut tahap.
  • Serangan fizikal menggunakan senjata yang turut memerlukan Endurance. Pemain boleh memilih sama ada menggunakan senjata di tangan kanan atau senjata/perisai di tangan kiri. Setiap serangan menggunakan tangan kanan terbahagi kepada: Serangan pantas dan laju (Quick Attack), serangan berat (Heavy Attack) yang memerlukan satu gesture tambahan, dan juga serangan berterusan (Combination Attack) yang turut memerlukan sehingga dua gesture tambahan. Serangan tangan kiri pula akan melumpuhkan/ melakukan pendarahan yang berterusan selama beberapa saat bergantung kepada senjata/perisai digunakan. Kesemua gesture tambahan perlu dilakukan dengan persis dan sekiranya gagal, serangan tambahan tidak akan dilakukan. Sekiranya pemain kehabisan Endurance, pemain tidak boleh menyerang.
  • Serangan menggunakan Throwing Blade dimana ianya merupakan serangan yang tidak memerlukan sebarang Endurance akan tetapi pemain perlu menekan kawasan yang ditunjukkan dengan persis.
  • Serangan menggunakan kebolehan Kai yang telah dipilih pemain pada awal permainan seperti Mindblast akan menyerang musuh dengan kuasa psikik, Animal Kinship yang membolehkan pemain memanggil serigala untuk membantu, ataupun Healing yang membolehkan pemain menyembuhkan diri dari kelukaan.
  • Serangan / pilihan menggunakan barang dari beg seperti meminum potion untuk memulihkan diri, atau menggunakan gajet Tunnel Sweeper yang akan membakar kesemua musuh buat beberapa saat.

lonewolf8

Gambar diatas menunjukkan pilihan kebolehan Kai yang boleh digunakan.
lonewolf12

Gambar diatas menunjukkan gesture yang perlu pemain lakukan untuk menyerang dalam kategori Heavy Attack.
lonewolf10

Sekiranya pemain membuat serangan fizikal ke atas musuh pada saat mereka menghembuskan nafas terakhir, ada peluang untuk pemain melakukan gerak-akhir yang membolehkan pemain menjana semula kuasa Kai mereka. Setelah menewaskan musuh, akan ada barangan yang boleh diperoleh dari musuh, namun barangan tersebut terhad kepada ruang slot yang ada pada beg pemain.

Kematian

lonewolf11

Sekiranya anda gagal dalam sesuatu misi, atau anda kalah dalam pertempuran, pilihan skrin diatas akan ditunjukkan. Menariknya pilihan ‘Had it been different…’ dimana pemain dibenarkan untuk bermula semula pada pilihan terakhir yang membolehkan pemain membuat keputusan lain ataupun menambah nyawa dengan cara berehat.

Kesimpulan

Saya yakin peminat permainan ini sudah tentu berminat untuk melihat permainan ini didatangkan dalam aplikasi interaktif. Persembahan mod penceritaan dan mod pertempurannya menarik, malahan grafiknya seolah-oleh komik novel seperti Metal Gear Solid: Digital Graphic Novel. Namun begitu, permainan ini tampak singkat malahan saya mengambil masa selama 12 jam secara keseluruhan untuk menghabiskan keseluruhan babak Blood on The Snow ini. Permainan ini mempunyai 3 ruang simpanan data akan tetapi untuk setiap kisah yang telah dilengkapkan, pemain tidak boleh memainkannya semula jadi pemain tidak boleh menaikkan kekuatan mereka sementara menanti babak seterusnya.

Semasa artikel ini ditulis, aplikasi permainan ini dijual pada harga USD 4.99 untuk platform iOS dan USD 6.24 untuk platform Google Play. Akan tetapi ia hanya mengandungi satu babak iaitu babak sahaja. Untuk babak kedua sehingga ke-empat, ianya dijual pada harga USD 9.99 namun begitu ianya akan dikemaskini beberapa bulan lagi.

Pro:

  • Konsep permainan yang menarik tidak jauh berbeza dari edisi buku, ditambah dengan pemilihan karekter mengikut buku.
  • Grafik dan gubahan lagu yang bagus.
  • Mod pembacaan dan mod pertempuran yang unik dengan pemilihan jalan cerita.

Kontra:

  • Hanya 9 jam diperlukan untuk melengkapkan sesuatu babak. Nilai untuk main semula kurang.
  • Oleh kerana permainan boleh dihabiskan dalam 9 jam, penantian untuk babak seterusnya beberapa bulan lagi adalah lama.
  • Boleh dikatakan mahal untuk kedua sebab diatas.

Nota: