Pandang Pertama: Asus Fonepad 7 (FE170CG)

DSC00224

Asus Fonepad 7 (FE170CG)
PemprosesIntel Atom Z2520 1.2 GHz dwi-teras
RAM1GB
Storan4GB/8GB memori dalaman, microSD sehingga 64GB
Kamera2 MP auto-focus, 0.3 MP kamera hadapan
Skrin7-inci TFT, 170 ppi, 1024×600 piksel
BateriSehingga 10 jam untuk pelayaran internet
OSAndroid 4.3 (dengan jaminan kemaskini ke Android 4.4)

Peranti tablet dengan fungsi telefoni boleh dikatakan popular kerana ia menawarkan dua jenis fungsi dalam satu peranti. Perkara ini mula dilihat dengan pengenalan Samsung Galaxy Tab (P1000) pada tahun 2010 dan sejak pelancaran peranti tersebut, banyak pengeluar lain seperti Lenovo turut hadir dengan tablet dengan fungsi telefoni ini.

Pihak Asus mula memasarkan tablet 7-inci dengan fungsi telefoni menerusi model Asus Fonepad (ME371MG) yang hadir dengan spesifikasi Intel Atom Z2460 satu teras dengan kamera 3-megapiksel pada bahagian belakang. Seterusnya pihak Asus telah memperkenalkan model kemaskini seterusnya melalui Asus Fonepad 7 (ME372CG) yang didatangkan dengan spesifikasi seperti Intel Atom Z2560 dwi-teras dan kamera 5-megapiksel.

Untuk menarik minat lagi perhatian pengguna, pihak Asus telah mengeluarkan satu lagi peranti Asus Fonepad 7 yang hadir dengan harga lebih berpatutan berbanding model Asus Fonepad 7 yang sebelumnya. Ia bukanlah model Asus Fonepad 7 yang dikemaskini akan tetapi ia adalah satu lagi variant yang menawarkan fungsi tablet asas bersama sokongan telefoni pada harga rendah. Dengan harga hanya RM499, ia sebuah tawaran yang menarik dan semestinya menarik minat pengguna untuk memiliki tablet ini.

DSC00231

Rekabentuk

Dari segi rekabentuk utama, Asus Fonepad 7 (FE170CG) ini membawakan rekaan lebih kurang sama seperti model Fonepad 7 sebelumnya. Cuma pada bahagian hadapan ia hanya hadir dengan satu pembesar suara berbanding dua pembesar suara seperti yang terdapat pada model ME372CG. Tidak seperti model Fonepad 7 sebelumnya, pada bahagian hadapan tablet ini hanya menempatkan kamera 0.3 megapiksel berbanding 1.2 megapiksel pada model sebelum ini.

DSC00235Pada bahagian sisi kanannya hadir dengan butang pembesar suara dan butang kuasa disamping pada bahagian atas hadir dengan lubang microUSB dan lubang 3.5 mm earphone jack. Pada bahagian sisi kiri tablet pula menempatkan slot microSD (sehingga 64GB) dan dua slot kad mikro-sim yang bertutup. Pada bahagian belakang menempatkan kamera 2-megapiksel dengan sokongan auto-fokus tanpa sokongan LED flash.

Bercakap mengenai skrin, FE170CG membawakan skrin 7-inci TFT dan satu perkara yang amat mendukacitakan, ia mempunyai kadar ketumpatan piksel yang agak rendah. Sekiranya anda sering memakai peranti dengan ketumpatan piksel yang tinggi, skrin FE170CG ini membuatkan anda berasa kurang selesa dengan masalah piksel yang jelas ketara. Dari segi darjah pandangannya juga agak terhad menyebabkan paparan tablet sukar dilihat pada sudut yang lain.

Dari segi rekaan peranti, kami boleh katakan luarannya agak menarik dan ia mengingatkan kami pada rekaan Lenovo A1000 yang turut hadir dengan rekaan seperti ini. Memegang peranti ini sejujurnya kami tidak merasakan ia sebuah peranti murah kerana rekaannya hadir dengan ‘premium feel’ apabila dilihat. Cuma pada bahagian belakang tablet agak sedikit licin dan kami tidak menyarankan sekiranya anda tidak memakai sebarang perlindungan atau aksesori pada tablet ini. Selain itu, kami juga sukakan pembesar suaranya yang agak lantang walaupun ia hanya dilengkapi dengan satu pembesar suara sahaja.

Zen UI

Salah satu perkara menarik mengenai Fonepad 7 (FE170CG) adalah kehadiran antaramuka baru daripada Asus yang dinamakan sebagai Zen UI. Antaramuka ini dilihat menarik kerana ia hadir dengan antaramuka minimalis disamping hadir dengan beberapa fungsi tambahan pada Zen UI ini.

Screenshot_2014-05-29-18-08-24-horz

Antara fungsi menarik pada Zen UI adalah fungsi What’s Next yang membolehkan anda melihat aktiviti harian anda dalam satu antaramuka yang tersusun rapi selain fungsi Do It Later yang membenarkan anda menambah aktiviti yang akan dibuat pada fungsi ini. Fungsi Do It Later ini mengingatkan kami kepada aplikasi Pocket kerana ia berfungsi dengan menekan fungsi ‘share’ pada laman web atau video Youtube dan seterusnya di hantar ke aplikasi Do It Later ini.

Dari segi prestasi, Zen UI yang berjalan di atas Android 4.3 tablet ini dilihat sangat lancar dan tidak memberi sebarang masalah pada prestasi. Apa yang menarik lagi, pihak Asus mengatakan Fonepad 7 (FE170CG) akan menerima kemaskini Android 4.4 KitKat pada akan datang dan semestinya satu berita menarik kepada pengguna untuk membeli tablet ini. Bagi kami, ini adalah satu-satunya tablet di bawah RM500 yang hadir dengan kemaskini Android 4.4 KitKat setakat ini.

DSC00242

Kamera

Screenshot_2014-05-29-18-07-07-horzSalah satu aspek yang telah dikurangkan berbanding model Fonepad 7 sebelum ini adalah keupayaan kamera yang telah diturunkan kepada 2-megapiksel pada bahagian belakang dan 0.3 pada bahagian hadapan.

Kamera bahagian belakang FE170CG hadir dengan fungsi auto-fokus yang bagi kami sangat berguna ketika mengambil gambar close-up terutamanya mengambil gambar makanan. Ia lebih baik daripada Samsung Galaxy Tab 3 Lite yang hanya menawarkan kamera 2-megapiksel fixed focus. Ia juga turut hadir dengan rakaman video HD 720p yang hadir dengan fungsi Time Lapse dan fungsi Tilt-Shift untuk digunakan pada rakaman video.

Dari segi kualiti kamera FE170CG bagi kami agak sedikit kurang baik kerana mempunyai masalah noise yang agak ketara pada tempat gelap dan juga indoor. Namun untuk pengambaran outdoor, kamera 2-megapiksel tablet ini boleh dikatakan agak memuaskan dan kurang memberi masalah noise seperti indoor shot. Dari segi kamera hadapan, ia boleh dikatakan memadai untuk digunakan sebagai kamera web (webcam) namun tidak digalakkan untuk digunakan sebagai kamera selfie.

Akan tetapi, sekiranya anda inginkan selfie yang lebih cantik, gunakan fungsi Selfie yang terbina pada fungsi kamera tablet ini. Ia berfungsi dengan mengambil gambar secara automatik apabila kamera dapat mengenal pasti wajah dengan menggunakan kamera belakang. Selain fungsi Selfie, ia turut hadir dengan fungsi Time rewind (yang berfungsi sama seperti Time Shift pada BlackBerry 10), HDR, Panorama, Miniature, Smart remove, dan juga fungsi GIF animation.

Rumusan

Secara keseluruhannya, Asus Fonepad 7 (FE170CG) boleh dikatakan tablet yang menarik kerana hadir dengan fungsi telefoni pada harga yang rendah. Dengan hanya RM499, anda akan mendapat tablet yang hadir dengan pemprosesan Intel Atom Z2520 dan 1GB RAM yang mampu memberikan prestasi terbaik untuk harian. Kemampuan kamera 2-megapiksel bagi kami adalah amat memadai bagi anda yang menggunakan tablet sebagai peranti sekunder atau sebagai tablet untuk anak-anak. Dengan jaminan kemaskini ke Android 4.4 KitKat padanya, ia memberikan lagi nilai tambah untuk anda.

DSC00221

Seperti biasa, kami akan membawakan ulasan penuh Asus Fonepad 7 ini dalam masa terdekat yang menampilkan prestasi permainan, penggunaan bateri, dan ulasan lain lagi dengan lebih mendalam. Sekiranya anda ada sebarang pertanyaan yang ingin dikemukakan, kongsikan bersama kami melalui ruangan di bawah.

Nota: