Bagaimana lelaki ini menggunakan apa yang ada, kini jadi jutawan

Chad Mureta tidak menjangka sama sekali akan jadi jutawan. Tetapi itulah hakikat kehidupan. Jika kita mampu menggunakan apa yang ada sebaik mungkin, walaupun pada tahap paling minimum, peluang untuk berjaya tidak mustahil.

Kisah lelaki ini amat tragis. Beliau asalnya seorang agen hartanah yang terdesak dalam soal kewangan. Menurut laporan, ketika berfikir bagaimana untuk mengatasi kemelut kewangannya, beliau terbabit kemalangan jalanraya yang dahsyat hingga hampir hilang nyawa.

Namun, ketika terlantar di hospital dalama keadaan lemah dan cedera, beliau menggunakan apa yang ada padanya. Bagaimana beliau melakukannya?chad-mureta-1

Ketika terlantar di katil hospital, Chad Mureta dilawati beberapa rakan yang secara tidak sengaja bercerita kepadanya mengenai kisah individu yang meraih wang dengan mencipta pelbagai aplikasi.

Chad Mureta tidak mahir komputer, apa lagi menghasilkan aplikasi. Beliau juga tidak memiliki komputer ketika di hospital.  Apa yang beliau ada hanya sebuah iPhone pemberian bekas teman wanitanya. Ketika di katil hospital, telefon itu hampir kehabisan bateri. Tetapi dengan telefon bimbit itulah beliau bermula.

Ketika fizikalnya berada pada tahap amat menyakitkan dan mindanya dalam keadaan amat lemah, tiba-tiba Chad Mureta terfikir untuk menghasilkan aplikasinya sendiri. “Saya ada iPhone, saya ada peluang”, fikirnya.

Sepanjang berada di hospital, beliau memuat turun beberapa aplikasi untuk melihat apakah punca sesuatu aplikasi mendapat sambutan dan apa kekurangan aplikasi itu pada mata pengguna. Apabila beliau  mengkaji beberapa perkara, Chad Mureta pun mendapat satu idea untuk menghasilkan aplikasi beliau sendiri.

Dia tidak ada asas dalam “coding” atau “programming”, malah tiada langsung asas dalam bidang komputer. Tetapi lelaki ini ada idea. Maka dia pun cuba menghubungi programmer aplikasi untuk bertanyakan mengenai kos bagi menghasilkan apliasi mengikut ideanya.

Bukan sahaja tidak ada asas komputer, Chad Mureta tidak ada wang. Dia terpaksa meminjam dari ayah tirinya untuk membayar programmer. Namun, sejak itu, dia mula mencipta wang. Pendapatan awalnya dari aplikasi pertama ialah kira-kira RM39,600.

Kini lelaki ini muncul seorang daripada jutawan aplikasi.  Beliau membina jenama di AppEmpire.com.

Anda masih menunggu untuk ada wang berpuluh ribu, staf dan pejabat canggih untuk bermula? Belajarlah sesuatu dari kisah lelaki ini! – inimajalah.com

Nota: