Satu perkara yang saya suka di masa lapang adalah berkunjung ke profile Instagram pengguna lain secara rawak. Ada di antaranya hadir dengan hasil yang sangat menarik sehingga saya tidak percaya bahawa gambar tersebut diambil daripada sebuah telefon. Ia menampilkan gambar dengan warna yang sangat unik dan saya pasti pemilik profile ini menggunakan iPhone kerana melihat hashtag yang dilabel dengan perkataan #vscocam.
Semalam pihak Visual Supply Company telah melancarkan aplikasi VSCO Cam pula untuk Android secara rasmi. Ia merupakan suatu aplikasi paling diminta oleh pengguna Android setelah sekian lama berada di platform iOS secara eksklusif sebelum ini. Bagi saya, ini adalah berita gembira kerana inilah aplikasi yang saya nanti-nantikan selama menggunakan peranti Android. Ia sebuah aplikasi yang dapat menjadikan gambar yang diambil kelihatan istimewa dan sangat cantik daripada kebiasaannya.
Namun begitu, kehadiran aplikasi ini turut ada yang merasakan VSCO Cam adalah satu aplikasi image editor yang lain dan biasa sahaja untuk Android. Saya tidak berasa sebegitu kerana majoriti pengguna iPhone yang bijak menggunakan VSCO Cam sebelum ini sudah cukup membuatkan saya ‘cair’ melihat Instagram mereka. Sebagai contoh, saya sertakan beberapa profile Instagram yang menarik untuk dilihat dengan hasil VSCO Cam ini.
Instagram oleh tkdnxv
Instagram oleh halimmatar
Bagi saya, keistimewaan VSCO Cam adalah terletak pada filter. Apa yang membezakan VSCO Cam dengan aplikasi lain, filter yang direka padanya dibuat oleh golongan fotografi profesional dan setiap filter yang hadir menampilkan kesan warna yang unik dan sukar untuk didapati pada aplikasi lain. Sebagai permulaan, VSCO Cam menampilkan 10 filter khas secara terbina dan sekiranya anda mahukan filter yang menarik dengan lebih lagi, VSCO Cam turut didatangkan dengan fungsi Store.
KEISTIMEWAAN VSCO CAM TERLETAK PADA FILTERNYA YANG UNIK.
Menggunakan VSCO Cam juga sangat mudah kerana ia tampil dengan kawalan yang straight-forward dan seimbang dari segi functionality dan fungsi sharing. Pada bahagian galeri, ia menempatkan sejumlah gambar yang sedang disunting dan sekiranya anda ingin menambah gambar padanya, tekan pada logo tambah yang berada di atas galeri. Sekiranya anda menekan pada salah satu gambar yang berada di galeri VSCO Cam, ia akan membawa anda ke ruangan suntingan yang hadir dengan filter pilihan. Setelah selesai membuat suntingan pada gambar, VSCO Cam membolehkan anda berkongsi gambar tersebut melalui senarai laman sosial utama.
Instagram oleh mrpejoe
Apa yang menarik lagi, tahun ini juga pihak pembangun VSCO Cam turut melancarkan VSCO Grid yang membolehkan pengguna ‘showcase’ gambar mereka hasil daripada VSCO Cam ini.
VSCO GRID BUKAN SAINGAN INSTAGRAM.
Ramai yang mengatakan fungsi ini merupakan fungsi yang membunuh Instagram tapi yang pasti, VSCO Grid bukanlah saingan bagi Instagram. Saya merasakan VSCO Grid merupakan tempat yang mana ‘hanya gambar lawa sahaja’ untuk disimpan dan dijadikan sebagai satu galeri eksklusif bagi pengguna. Ia tidak didatangkan dengan sebarang sistem komen dan like tapi hanya sekadar meletakkan caption pada gambar. Boleh dikatakan VSCO Grid adalah ‘Tumblr mini’ bagi pengguna VSCO Cam dan fungsi ini juga boleh didapati secara terbina melalui ruangan sidebar pada aplikasi ini.
VSCO Grid oleh http://syahaneemzainal.vsco.co/
Bagi saya juga, Snapseed atau aplikasi pihak ketiga yang lain tidak patut dibandingkan dengan VSCO Cam kerana apa yang ditawarkan agak berbeza. Snapseed sedia kita kenali memberikan kuasa suntingan yang pelbagai pada peranti pintar masa kini. Ia hadir dengan beberapa tools khas yang membolehkan anda menaikkan kontras, melakukan efek HDR, dan meletakkan efek blur pada gambar. Tetapi pada aplikasi VSCO Cam, ia sudah disediakan dengan filter khas padanya dan sedia digunakan terus pada gambar anda.
SNAPSEED ATAU APLIKASI PIHAK KETIGA LAIN TIDAK PATUT DIBANDINGKAN DENGAN VSCO CAM KERANA IA BERBEZA DARI SEGI ‘FUNCTIONALITY’ DAN TUJUAN APLIKASI DIWUJUDKAN.
VSCO Cam juga turut hadir dengan fungsi suntingan asas seperti kebolehan mengubah temperature, brightness, dan kontras pada setiap filter tapi ia tidak sehebat tools pada Snapseed kerana VSCO Cam bukan dicipta untuk itu. Ia dicipta lebih kepada keupayaan dan suntingan pada filter.
Saya juga sering menggunakan kedua-dua aplikasi ini untuk memproses gambar sebelum saya memuat-naiknya ke Instagram. Saya akan menggunakan Snapseed terlebih dahulu untuk menaikkan kontras dan membuat perubahan warna pada gambar. Selepas selesai dan saya berpuas hati dengan tahap keterangan dan kejelasan pada gambar tersebut, barulah saya akan menggunakan VSCO Cam untuk memasukkan filter uniknya. Kemudian, gambar yang habis ‘diproses’ melalui kedua-dua aplikasi ini, Instagram akan melakukan tugasnya pula untuk memuat-naik gambar ini.
Kedua-dua aplikasi ini sekiranya kita bijak gabungkan kuasa suntingannya, ia akan memberikan hasil gambar yang ‘outstanding’ dan tampil luar biasa.
VSCO Grid oleh http://mhdhilmi.vsco.co/
VSCO Grid oleh http://kamalbaharom.vsco.co/
Tidak hairanlah aplikasi ini mempunyai ramai permintaan sehinggakan ada yang sanggup membeli iPhone kerana semata-mata mahukan aplikasi VSCO Cam sebelum ini. Perkara ini saya laluinya secara realiti bila mana ramai rakan saya yang bertukar kepada iPhone atas sebab kehadiran aplikasi ini sahaja.
Tapi perlu diingatkan, VSCO Cam juga memerlukan kemahiran dan kreativiti anda mengambil gambar. Jika tidak, ia tidak memberi sebarang kecantikan pada gambar yang diambil walaupun disunting dengan aplikasi VSCO Cam. Itu sebab mengapa ada mengatakan VSCO Cam tidak memberi sebarang ‘hype’ langsung kepada mereka. Sama juga dengan efek HDR. Jika ia tidak digunakan pada gambar yang betul, ia akan menampilkan hasil yang sangat buruk dan tidak cantik untuk dilihat. Jadi, kesemua hasil yang didatangkan juga terletak pada tangan anda.
Bagi anda yang belum memuat turun aplikasi VSCO Cam, aplikasi ini ditawarkan secara percuma dan boleh dimuat-turun melalui saluran App Store dan Google Play Store. Bagi yang sudah memuat-turunnya, apakah pandangan peribadi anda tentang VSCO Cam?
rel=author”>