Ulasan Xiaomi Redmi Note

Xiaomi nampaknya terus agresif mengembangkan pasaran peranti pintar mereka. Awal bulan yang lalu telah dilaporkan Xiaomi berjaya menjual lebih 23 Juta peranti pada pertengahan pertama 2014. Ini adalah pertambahan jualan sebanyak 217% dari tahun sebelumnya. Angka jualan Xiaomi yang semakin meningkat pastinya membuatkan pengeluar lain tidak senang duduk. Xiaomi MI3 yang telahpun terjual di pasaran tempatan sejak beberapa minggu yang lalu dijual pada harga yang terlalu munasabah bagi peranti berspesifikasi agak tinggi.

Xiaomi Redmi Note
Pemproses1.7 GHz Lapan teras Mediatek MT6592
RAM2 GB
Muatan Dalaman8 GB dengan sokongan kad MikroSD
Kamera Utama13 MP dengan flash
Kamera Depan5 MP
Skrin5.5″ IPS LCD 720P (267 PPI)
Bateri3200 mAh

Xiaomi Redmi Note mula dijual selasa lalu dan cuba mengusai pasaran phablet pula. Dengan harga jualan RM509, peranti ini sekali lagi adalah lebih murah dari majoriti phablet yang ada di pasaran sekarang. Ia diperkasakan pemproses 1.7 GHz lapan teras Mediatek MT6592, RAM sebesar2 Gigabyte dan muatan dalaman sebesar 8 Gigabyte dengan sokongan kad MikroSD sehingga 32 Gigabyte.

Kamera utama adalah sebesar 13 Megapixel dengan flash manakala kamera hadapan pula sebesar 5 Megapixel. Kedua-dua kamera mampu mengambil video pada resolusi HD Penuh 30 frame setiap saat. Skrin 5.5″ adalah dari keluarga IPS LCD dengan resolusi 720P.  Paparan kelihatan cantik sungguhpun bukan pada resolusi HD Penuh.Pada sekeliling skrin terdapat kemasan logam berwarna hitam. Pada bahagian hadapan juag terdapat tiga butang kapasitif. Butang home dihimpit butang menu pada bahagian kiri dan butang back pada bahagian kanan. Untuk melancarkan skrin multi tasking anda perlu menekan butang menu untuk beberapa saat. Google Now pula dilancarkan dengan menekan butang home juga untuk selama beberapa saat.

Dari segi binaan pula tubuh badan Redmi Note diperbuat daripada polikarbonat. Ini mengingatkan kami kepada peranti keluarga Lumia. Keseluruhan panel belakang yang licin ini boleh dibuka bagi memberikan akses kepada ruang bateri, 2 slot SIM Mini dan slot kad MikroSD. Bercakap tentang bateri peranti ini dikuasai oleh bateri sebesar 3200 mAh. Pada bahagian belakang juga terdapat sebuah pembesar suara mono.

Pada bahagian kanan terdapat butang kuasa dan suara. Kedua-dua butang ini diperbuat daripada bahan plastik tetapi selesa ditekan. Ianya tidak longgar dan memberikan timbal balas yang baik apabila ditekan. Bahan binaan peranti ini mungkin tidak premium tetapi sekurang-kurangnya  ianya tidak terasa murah. Ini mengingatkan kami kepada phablet HP Slate 6 Voice Tab yang kami ulas sebelum ini. Butang peranti tersebut diperbuat daripada plastik juga tetapi kualiti binaanya sangat menyedihkan kerana butang yang longgar dan berbunyi apabila ditekan.

Fon jack telinga terletak pada bahagian atas manakala port pengecas terletak pada bahagian bawah. Sungguhpun ianya sebuah phablet, Redmi Note tidak didatangi dengan stylus terbina.

Secara estetik Redmi Note bukan antara peranti dengan rekaan yang cantik. Tiada gimik bahan buatan eksotik ataupun stylus terbina. Ianya juga agak berat berbanding phablet yang pernah kami ulas di makmal Amanz. Panel belakangnya yang licin membuatkan ianya mungkin mudah tergelincir dari genggaman. Sungguhpun rekaannya tidak menarik, rekaan tubuh belakang yang melengkung dan lokasi butang peranti ini adalah baik. Panel belakang yang melengkung membuatkannya selesa untuk digenggam.

MIUI

Redmi Note masih menggunakan sistem operasi Android 4.2.2.  Antaramuka MIUI pula digunakan dan harus kami akui kami jatuh cinta dengan antaramuka ini.

Jika dibandingkan dengan antaramuka yang digunanakan pada peranti Oppo dan Huawei, jelas antaramuka Xiaomi Redmi Note adalah yang paling cantik dam kemas. Animasi apabila tatalan dilakukan dan ketika menukar dari satu aplikasi ke aplikasi yang lain mengingatkan kami kepada IOS 6.0. Ini tidak mengejutkan kerana pengerusi Xiaomi, Lei Jun mengaku mengagumi mendiang Steve Jobs.

Apa yang kami gemarkan tentang antaramuka MIUI ialah ianya kemas dan mudah digunakan. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak menemui sebarang masalah menggunakan peranti ini. Tatalan adalah sangat lancar dan aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas.

Seperti antaramuka peranti buatan China yang ada di pasaran, MIUI juga membenarkan pengguna melakukan kustomasi rupa dan tema. Ini dapat dilakukan dengan mudah melalui aplikasi Themes yang disertakan. Terdapat puluhan tema boleh dimuat turun dan digunakan dengan mudah oleh pengguna sekiranya mereka mahu.

Sungguhpun secara keseluruhan antaramuka MIUI adalah menarik, kami kecewa kerana tiada fungsi khas phablet disertakan. Fungsi menggunakan peranti menggunakan sebelah tangan ataupun multi screen  yang membolehkan lebih dari satu aplikasi dipaparkan secara serentak pada skrin yang biasa kami gunakan pada phablet tiada pada Redmi Note. Pada pendapat kami fungsi khas untuk phablet sepatutnya sudah menjadi kebiasaan kerana skrin peranti yang lebih besar. Dalam hal ini  Samsung Galaxy Note 3 masih lagi unggul dalam memberikan pelbagai fungsi khas kepada pengguna. Buat masa ini Redmi Note hanyalah sebuah MI3 yang diberikan skrin lebih besar kerana ketiadaan fungsi khas yang kami sebuatkan tadi. Kami berharap pada kemasan – kemasan akan datang pihak Xiaomi akan memasukkan fungsi – fungsi khas ini untuk Redmi Note. Pengguna – pengguna phablet memerlukan fungsi khas ini dan skrin yang besar sahaja tidak cukup memandai untuk sebuah phablet.

Seperkara lagi yang mengecewakan kami tentang MIUI ialah sebahagian tema yang dimuat turun melalui aplikasi Themes tidak dialih bahasa dengan sepenuhnya. Tema IOS 6 yang kami muat turun masih memaparkan sebahagian elemen antaramuka dalam bahasa cina yang tidak kami fahami.

Security

Security ialah aplikasi terbina di dalam Redmi Note. Dari namanya anda pasti boleh mengagak aplikasi ini menjadi benteng pertahanan peranti anda dari  virus dan pelbagai masalah lain. Terdapat 6 pilihan di dalam aplikasi ini iaitu Cleaner, Data Usage, Blocklist, Power, Virus Scan dan Permission. Cleaner membersihkan cache peranti anda bagi mengelakkan pembaziran penggunaan ruang. Blocklist menghalang panggilan telefon ataupun mesej dari nombor yang anda tetapkan. Permission membolehkan anda menghadkan akses aplikasi kepada maklumat peribadi anda. Virus Scan mengesan malware dan Power menetapkan tahap penggunaan bateri mengikut keperluan anda. Kesemua fungsi – fungsi ini biasanya memerlukan beberapa aplikasi berbeza. Dengan adanya aplikasi Security anda tidak perlu memuat turun lagi pelbagai aplikasi dan kesemua keperluan keselamatan peranti anda dapat diakses dengan mudah hanya dari satu tempat.

Lite Mode

Lite mode ialah mod minimalistik MIUI yang mengurangkan penggunaan bateri. Fungsinya sama seperti Ultra Saving Mode Samsung dan Batery Saver Alcatel One Touch Hero. Tidak seperti dua pada peranti Samsung dan Alcatel, fungsi lite mode tidak berubah secara automatik apabila dipiliaj dari skrin tetapan. Sebaliknya peranti harus dihidupkan dan dimatikan terlebih dahulu sebelum Lite Mode diaktifkan. Ini sedikit memakan masa dan tidak mesra pengguna.

Kamera

Biasanya peranti yang dijula pada harga kurang dari RM600 dilengkapi dengan kamera bermegapixel rendah. Ia juga dikenali sebagai kamera kentang kerana tidak mampu mengambil gambar yang baik. Xiaomi Redmi Note didatangi dengan kamera sebesar 13 Megapixel dengan flash pada bahagian belakang dan 5 Megapixel pada bahagian hadapan.

Dari segi kemampuan pula kedua-duanya mampu mengambil video pada resolusi HD Penuh 30 frame sesaat. Antaramuka aplikasi kamera adalah mudah digunakan tetapi tiada fungsi tambahan disertakan.

Di makmal Amanz kami mempunyai 3 peranti dengan kamera bersaiz 13 Megapixel. Peranti tersebuat ialah Huawei Ascend P7, Oppo Find 7 dan Redmi Note. Kami rasakan ada baiknya jika kualiti gambar dari ketiga-tiga peranti ini kami gunakan sebagai perbandingan.

Ujian pertama ialah di dalam kawasan tertutup. Kami merasakan gambar yang diambil menggunakan Huawei Ascend P7 adalah terbaik di sini. Tidak terlalu gelap dan penghasilan warna yang baik. Pada FInd 7 gambar lebih gelap berbanding yang diambil dua peranti yang lain. Gambar yang diambil menggunakan Xiaomi Redmi Note nampak sedikit kebiruan.

Ini pula ujian mengambil gambar di waktu pagi ketika matahari masih belum terbit seterusnya. Sekali lagi kami merasakan gambar yang diambil Ascend P7 adalah paling seimbang. Tetapi kami merasakan penghasilan semula warna pada Redmi Note adalah yang paling tepat. Gambar yang diambil menggunakan Find 7 adalah baik tetapi sekali lagi sedikit gelap berbanding dua peranti lain.

Sekali lagi Ascend P7 mengambil gambar yang terbaik. Penghasilan warnanya juga tepat. Kekurangan pada Find 7 adalah ianya sekali lagi sedikit gelap tetapi waran hijau rimbunan buluh yang diambil nampak hidup. Gambar yang diambil Redmi Note sedikit kusam dari segi penghasilan warna.

Kesimpulan Ujian Gambar

Sungguhpun ketiga-tiga peranti mempunyai saiz sensor yang serupa, kualiti gambar yang diambil adalah berbeza. Redmi Note secara konsisten gagal menyaingi kualiti gambar yang diambil oleh 2 P7 dan Find 7. Sungguhpun begitu kualiti gambar yang diambil tidaklah teruk dan cukup bagus untuk penggunaan di media sosial. Harus diingat perbezaan kualiti juga tidaklah terlalu nyata dan harga jualan Redmi Note jauh lebih murah berbanding dua peranti yang lain. Kualiti gambar Redmi Note adalah sangat baik bagi peranti harga mampu milik.

Berikut adalah beberapa lagi contoh gambar yang diambil menggunakan Redmi Note.




 

Penanda Aras

Markah penanda aras Redmi Note adalah aneh kerana ianya tidak konsisten.  Markah yang dicatatkan pada Quadrant ialah 15671 markah manakala pada Antutu pula 26224 markah. Pada penanda arah Futuremark pula ia mencatatkan 6009 markah. Kenapa kami katakan tidak konsisten?

Phablet yang memegang rekod penanda aras tertinggi di Amanz setakat ini ialah Galaxy Note 3 dengan markah di bawah. Jelas markah yang dicatatkan Redmi Note ada yang lebih tinggi dan ada yang lebih rendah dari Note 3. Kami kurang yakin dengan markah yang dicatatkan peranti ini.

Dalam ujian dunia sebenar kami sedari peranti ini dapat beroperasi dengan baik. Kami sedari ada sela masa apabila membuka folder berisi aplikasi. Dari segi tatalan skrin sela masa ini tidak wujud. Ketika menjalankan beberapa aplikasi permainan pula kami sedari draw distance dihadkan dan masalah pop up jelas kelihatan. Ini tidak kami sedari pada  Galaxy Note 3. Jadi kami merasakan markah yang dicatatkan menggunakan Futuremark adalah yang paling baik untuk digunakan bagi membezakan kemampuan grafik.


 

Bateri

Ketahanan bateri Xiaomi Redmi Note adalah sederhana sahaja. Bateri yang berkapasiti 3200 mAh ini mampu bertahan selama 8 Jam 10 minit pada penggunaan berat,  13. 5 jam pada penggunaan sederhana dan melebihi 2 hari pada penggunaan paling rendah. Ini adalah sedikit lebih rendah dari ketahanan median 9 jam pada penggunaan berat dan 16 jam pada penggunaan sederhana beberapa peranti kelas tinggi yang pernah kami ulas.

Ini adalah sedikit mengecewakan bagi kami kerana Redmi Note hanya menggunakan skrin 720P dengan pemproses kelas pertengahan. Secara logiknya pada hemat kami bateri peranti ini sepatutnya lebih panjang.

Sebuah fungsi yang kami gemari pada Redmi Note boleh dilihat pada skrin paparan bateri. Apabila peranti di cas, terdapat penunjuk yang memberitahu berapakah masa yang akan diambil untuk mengecas bateri sehingga 100%. Ini memudahkan anda untuk mengagak berapa lama masa yang perlu diambil untuk mengecas. Ini adalah fungsi kecil tetapi kami cukup gemari pada antaramuka MIUI Redmi Note.

Kesimpulan

Bagi sebuah peranti yang harga jualannya tidak mencecah RM 600, Xiaomi Redmi Note adalah sebuah peranti yang memberikan nilai yang tinggi bagi setiap ringgit yang anda belanjakan untuk memilikinya. Rekaan fizikal peranti ini mungkin tidak secantik panel kaca peranti Xperia ataupun mewah seperti sebuah Galaxy Note.  Panel belakang polikarbonatnya plastik dan agak licin. Spesifikasinya juga sederhana kerana diperkasakan pemproses Mediatek.

Namun kekurangan dari segi fizikal dan spesifikasi ini langsung tidak akan akan sedari apabila mula memakainya. Antaramuka MIUI adalah antara antaramuka yang cantik dan direka dengan baik. Mungkin ada yang akan berkata elemen UX banyak “diilhamkan” oleh IOS tetapi ini bukanlah perkara buruk kerana peranti ini mampu berfungsi dengan baik. Setiap ikon dan fungsi yang disertakan kelihatan menarik. Aplikasi dapat dilancarkan dengan lancar tanpa sebarang masalah sepanjang tempoh ujian. Kami cukup gemar dengan aplikasi Security yang terbina. Ia memudahkan anda mengesan virus, mengoptimasikan peranti dan memantau akses aplikasi kepada sistem Redmi Note. Tidak perlu lagi memuat turun aplikasi pihak ketiga.

Kami juga menggemari betapa mudahnya menukar rupa dan tema peranti. Pilihan yang diberikan juga cukup besar dengan puluhan tema yang menarik. Kekurangan yang kami sedari ialah tidak kesemua tema yang anda boleh muat turun boleh digunakan 100% sempurna. Ada beberapa tema yang tidak dialih bahasa dengan sempurna dan masih di dalam bahasa cina.  Pihak Xiaomi harus menggilap lagi aplikasi yang mereka jual ke pasaran antarabangsa supaya masalah alih bahasa ini tidak berlaku. Jika mereka serius mahu menakluk pasaran dunia, perkara sebegini harus diambil perhatian.

Seperkara lagi kami terkilan dengan ketiadaan fungsi khas untuk phablet pada Redmi Note. Tiada fungsi melancarkan 2 aplikasi serentak seperti yang wujud pada Galaxy Note dan Fonepad Note. Tiada juga kemudahan menggunakan peranti ini dengan sebelah tangan. Kami rasakan dua fungsi ini sudah menjadi biasa dan perlu ada bagi peranti phablet. Kami berharap Xiaomi mempunyai perancangan mewujudkan dua fungsi ini pada versi Redmi Note akan datang bagi membezakan peranti phablet dan telefon pintar mereka.

Redmi NoteM1970012

Perkara akhir yang kami mahu komen tentang Redmi Note ialah ianya masih menggunakan sistem operasi Android 4.2.2.  Masih tiada berita bilakah kemasan 4.4.2 ke atas akan hadir pada peranti ini. Seperti anda sedia maklum kami cukup pantang dengan peranti baru yang masih menggunakan sistem operasi lama.

Kemampuan kamera adalah sederhana dengan gambar yang cukup baik untuk dimuat naik pada media sosial. Ia mempunyai masalah penghasilan warna yang sedikit kusam berbanding objek sebenar.

Ujian penanda aras menunjukkan peranti ini mempunyai kemampuan yang agak tinggi. Dari segi penggunaan harian kami tidak mengalami sebarang masalah. Aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas dan tiada aplikasi yang gagal berfungsi secara tiba-tiba. Kelajuan tatalan juga baik dan lancar. Satu-satunya masalah yang kami sedari ialah sela masa setiap kali folder aplikasi dibuka.

Prestasi bateri pula adalah sederhana dengan hayat bateri di antara 8 sehingga 48 jam bergantung kepada penggunaan. Ini kurang sedikit dari purata hayat bateri phablet-phablet yang pernah kami uji iaitu sekitar 9 jam.

Secara keseluruhan Xiaomi Redmi Note ialah sebuah peranti yang baik yang dijual pada harga yang sangat munasabah. Ia berfungsi dengan baik sepanjang tempoh ulasan.  Jika anda mahukan sebuah phablet yang baik pada harga yang mampu milik Redmi Note ialah satu-satunya peranti yang boleh kami syorkan. Pada harga jualan RM 509 ia mengalahkan beberapa phablet lain yang dijual pada harga yang jauh lebih mahal. Satu-satunya masalah yang anda harus harungi sekarang ialah berebut untuk membelinya dari portal Xiaomi. Yang pasti Xiaomi Redmi Note memang berbaloi untuk anda miliki.

PRO dan Kelebihan
  • Antaramuka MIUI yang ceria dan cantik. Terdapat pelbagai fungsi tambahan yang tidak ada pada Android Vanilla.
  • Mudah untuk melakukan kustomasi dengan pelbagai tema yang sedia dimuat turun
  • Spesifikasi yang menarik dengan pemproses lapan teras. Tiada masalah melakukan kesemua tugasan yang diberikan.
  • Harga yang sangat mampu milik
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada sokongan LTE
  • Masih menggunakan Android Jelly Bean
  • Alih bahasa beberapa tema yang dimuat turun tidak dilakukan dengan sempurna. Masih kekal dalam bahasa cina.
  • Tiada stylus ataupun fungsi -fungsi khas phablet disertakan

Nota: