Ulasan Samsung Galaxy Tab 4 (10.1)

Tablet pertama Samsung ialah Samsung Galaxy Tab pada tahun 2010. Tablet bersaiz 7 inci ini pada awalnya menjadi bahan ketawa Steve Jobs dan penggemar Apple kerana “tiada pasaran untuk peranti 7 inci”. Iterasi pertama Galaxy Tab memang ada pelbagai masalah seperti kamera yang lemah serta aplikasi yang masih belum dioptimasikan untuk penggunaan tablet. Tetapi seperti Galaxy Note, tahun demi tahun penambahbaikan dilakukan Samsung dan kini terdapat 12 versi Tablet pelbagai saiz dari mereka. Setiap satunya dengan fungsi baru yang cuba menambat hari pengguna. Galaxy Tab popular di Asia kerana ianya mempunyai saiz yang cukup baik untuk menonton video dan bermain aplikasi permainan. Saiz peranti 7″ yang dahulunya menjadi bahan lelucon Cupertino akhirnya menjadi inspirasi kepada iPad Mini.

Samsung Galaxy Tab 4 10.1
Pemproses1.2 GHz Empat Teras Snapdragon 400
RAM1.5 GB
Muatan Dalaman16 GB dengan sokongan kad MikroSD
Kamera Utama3 MP Tanpa Flash
Kamera Depan1 MP
Skrin10.1″ IPS LCD 1280 x 800 pixel
Bateri6800 mAh

Samsung Galaxy Tab 4 10.1 ialah sebuah lagi tablet dari Samsung yang muncul pada tahun 2014.  Walaupun berskrin 16:9, rekaan tubuh peranti ini memberikan ilusi seperti ianya peranti dengan skrin 3: 2. Ruangan bazel yang lebih tebal pada sisi berbanding versi 7.0 dan 8.0 membuatkannya lebih senang dipegang pada kedudukan potret. Pada bahagian hadapan peranti terdapat sebuah butang home fizikal dan dua butang kapasitif untuk back dan multi tasking. Secara peribadi kami kurang gemar dengan butang kapasitif pada sebuah tablet. Ini adalah kerana ianya mudah tertekan secara tidak sengaja ketika digunakan. Kami rasakan butang di atas skrin seperti yang ada pada model-model tablet Nexus ialah rekaan yang paling baik untuk tablet Android. Seperkara yang kami rasakan aneh pada tablet ini ialah butang-butang navigasi kapasitif ini tidak berlampu. Jadi apabila menggunakannya pada waktu malam kami perlu meraba untuk memastikan bahagian mana yang harus ditekan. Ini adalah tidak mesra pengguna.

Galaxy-Tab4M1990001

Bercakap tentang skrin resolusi pada Tab 4 10.1 juga jauh lebih rendah dengan hanya 1280 x 800 pixel berbanding 2560 x 1600 pixels pada NotePro 10.1. Selain resolusi yang rendah kami menyedari penghasilan warna pada peranti ini juga tidak secantik pada NotePro. Warna kelihatan lebih hidup pada tablet keluarga NotePro.

Samsung Galaxy Tab 4 10.1 ialah peranti kelas pertengahan. Ia hanya diperkasakan pemproses 1.4 GHz empat teras Snapdragon 400, 1.5 Gigabyte RAM dan pilihan muatan dalaman 16 Gigabyte. Anda boleh menambah muatan dalaman sehingga 64 Gigabyte menggunakan kad MikroSD. Tablet ini mempunyai fungsi telefoni dengan sokongan rangkaian 4G LTE.

Kemasan Tab 4 10.1 tidak banyak bezanya dari keluarga Galaxy Tab tahun 2014 iaiatu ianya mempunyai kemasam logam pada bahagian tepi dan panel kulit palsu pada bahagian belakang. Butang – butang kuasa dan suara terletak pada bahagian atas. Slot MikroSIM dan MikroSD juga terletak pada satah yang sama. Bahagian bawah terdapat slot Mikro USB untuk pengecasan. Dua pembesar stereo terletak pada kiri dan kanan tubuh peranti. Pembesar suara yang diletakkan agak besar dengan lontaran bunyi yang baik tetapi pada perhatian kami masih belum selantang yang digunakan pada peranti HTC One.

Kemampuan optik pula adalah sangat rendah iaitu 3.1 Megapixel pada bahagian belakang dan 1 Megapixel pada bahagian hadapan. Ini adalah sepadan dengan Samsung Galaxy Tab generasi pertama yang hadir pada tahun 2010!

Penggunaan Dan Touchwiz UX


Android Kit Kat digunakan pada Tab 4 10.1. Ini adalah bagus kerana kami sudah bosan dengan sesetengah pengeluar peranti yang masih menggunakan Jelly Bean pada tahun 2014. Kit Kat sudah wujud sejak Oktober tahun lalu dan tiada alasan sistem operasi generasi lalu masih digunakan untuk peranti yang baru memasuki pasaran. Kesemua fungsi asas Touchwiz UI hadir pada Tab 4 10.1.

Perbezaan yang paling ketara ialah tiada sokongan Magazine UX dan Multi Window terhad kepada 2 aplikasi sahaja berbanding empat pada keluarga NotePro. Sekilas pandang memang tiada beza di antara antaramuka Tab 4 10.1 dengan keluarga NotePro yang mempunyai spesifikasi yang lebih baik dengan skrin yang lebih tajam.

Kami sedari terdapat sedikit sela masa ketika penggunaan selama 3 minggu terutamanya setelah beberapa aplikasi dilancarkan. Ini tidak mengejutkan kerana Touchwiz memang antaramuka yang agak “berat” untuk digunakan dengan pelbagai fungsi tambahan. Kombinasi RAM yang kecil dan pemproses yang sudah berusia mengakibatkan masalah sela masa kelihatan sekiranya terlalu banyak aplikasi dilancarkan. Jika dihadkan kepada kurang daripada 5 kami dapati masalah ini dapat dikurangkan.

Telefoni

Tablet ini mampu melakukan panggilan telefon dan menerima SMS. Kualiti panggilan adalah baik dan pembesar suara stereo pada sisi tablet membuatkan panggilan jelas kedengaran. Tetapi seperti biasa melakukan panggilan pada sebuah tablet adalah sangat canggung dan agak memalukan apabila di tempat awam. Kami sarankan pembelian sepasang fon telinga Bluetooth bagi melakukan fungsi telefoni.

Kamera

Kamera Galaxy Tab 4 10.1 ini sangat mengecewakan kerana mempunyai sensor yang sudah ketinggalan zaman. Seperti yang kami katakan pada perenggan awal saiz 3.1 Megapixel adalah setanding dengan saiz sensor kamera Galaxy Tab 7 tahun 2010. Tiada sokongan flash seperti yang ada pada NotePro. Gambar yang diambil tidak tajam dan mempunyai masalah noise yang ketara terutamanya pada gambar yang diambil dalam keadaan gelap. Penghasilan warna juga mengecewakan kerana gambar yang diambil kelihatan kusam. Sungguhpun Samsung memberikan pelbagai fungsi tetapan yang kami lihat pada peranti lain mereka, tetapan ini tidak langsung berguna untuk memperbaiki kualiti gambar yang diambil tablet ini.  Jika anda mahukan tablet dengan kemampuan kamera yang  baik, Tab 4 10.1 bukanlah tablet yang anda cari.



Penanda Aras

Kemampuan peranti ini adalah sederhana dan hampir setanding dengan phablet Xperia T2 Ultra yang kami ulas minggu lalu. Pemproses Tab 4 10.1 ialah 1.2 GHz empat teras Snapdragon 400 manakal untuk T2 Ultra pula ialah 1.4 GHz empat teras Snapdragon 400.  Pada ujian Antutu tablet ini mencatatkan 15502 markah. Pada ujian Quadrant pula ia mencatatkan 7787 markah. Dalam ujian akhir iaitu Futuremark pula ia mencatakan  4491 markah.

Berikut ialah perbandingan markah yang dicatatkan oleh Xperia T2 Ultra, Galaxy Tab 4 10.1 dan Alcatel One Touch Hero.

Kami tidak mengalami sebarang masalah melancarkan pelbagai aplikasi popular sepanjang tempoh ujian. Terdapat sedikit masalah sela masa selepas lebih daripada 5 aplikasi dilancarkan secara serentak dan bahagian kana peranti juga menjadi sedikit panas selepas digunakan untuk jangka masa yang panjang. Jika anda mahu menggunakan Tab 4 10.1 sebagai pelayar web,  menonton Youtube atau bermain aplikasi permainan kesemua tugasan ini dapat dilakukan oleh Tab 4 10.1 tanpa menemui sebarang masalah besar.

Bateri

Dengan bateri sebesar 6800 mAh kami berjaya menggunakan peranti ini selama 5 hari pada pengunaan ringan. Pada penggunaan sederhana kami mampu menggunakannya selama 2 hari sebelum perlu dicas.  Pada penggunaan berat pula bateri bertahan melangkaui 9 jam. Ini kami rasakan adalah jangka hayat bateri yang cukup baik dan munasabah bagi sebuah tablet.

Kesimpulan

Jumlah jualan tablet menandingi jualan PC tahun lalu. Jumlah tablet yang ada dipasaran juga adalah besar dengan Samsung sahaja mengeluarkan 12 tablet berbeza dengan pelbagai saiz. Bagi kami Samsung Galaxy Tab 4 10.1 ialah tablet yang sesuai digunakan oleh mereka yang mahukan sebuah tablet santai dan bukannya untuk melakukan kerja. Ikhlas kami katakan dalam banyak-banyak tablet Android yang kami terima untuk diulas, ini merupakan tablet yang paling kami gemari.

Mengapa? Pertama sekali kerana bentuknya yang mempunyai nisbah 3:2. Bahagian tepian (bazel) yang lebah membuatkannya mudah dipegang pada kedudukan potret. Majoriti tablet Android di pasaran mempunyai tepian yang kecil menyebabkan jari tertekan bahagian skrin dan tidak selesa dipegang. Kami menghabiskan berjam-jam melayar laman web dan membaca e-book pada peranti ini dengan cukup selesa.

Ya kami akui dari segi kemampuan ianya tidak setanding dengan NotePro ataupun Tablet Z, Tetapi tablet ini tidak direka untuk melakukan tugasan berat. Jika anda mahu menggunakannya sebagai pemain video Youtube, pembaca e-book dan pelayar web ianya mampu menjalankan tugasan ini dengan baik. Masalah sela masa hanya akan disedari selepas terlalu banyak aplikasi dilancarkan.

Kemampuan kameranya sangat menyedihkan sehingga kami tidak sanggup melakukan ujian perbandingan gambar. Kualiti gambarnya hanya setanding peranti tahun 2010. Dengan kata lain adalah lebih baik jika peranti ini tidak mempunyai kamera pada bahagian belakang kerana kami pasti anda tidak akan menggunakannya langsung.

Selain masalah kamera yang tidak memuaskan serta kemampuan yang sederhana, sebuah lagi masalah Tab 4 10.1 ialah harganya yang tidak kompetitif dengan pasaran. Ianya dijual pada harga RM 1499. Sebuah iPad Air 16 GB mampu anda miliki pada harga RM 1599. Jelas disini sukar untuk mengesyorkan pembelian tablet Android ini kerana terdapat pilihan yang jauh lebih baik dengan hanya menambah RM 100.

PRO dan Kelebihan
  • Selesa dipegang pada kedudukan lanskap dan potret kerana bahagian tepian yang besar. Terdapat ruang yang cukup untuk memegang peranti dengan selesa.
  • Ringan. Tangan tidak mudah lenguh walaupun digunakan untuk jangka masa yang lama
  • Menyokong rangkaian LTE serta sokongan telefoni.
  • Pembesar suara stereo yang kuat
KONTRA dan Kekurangan
  • Kualiti kamera yang dhaif. Masih terperangkap di tahun 2010
  • Harga tidak kompetitif untuk peranti kelas pertengahan. Anda mampu membeli sebuah iPad Air dengan menambah RM100.

 

Nota: