Ulasan: Android 7.0 Nougat – Android Versi Baru Selepas Android 6.0 Marshmallow

2016-03-14 05.34.33 1

Agak menarik pada tahun ini Google telah memperkenalkan Android terbaru dengan lebih awal berbanding kebiasaannya yang dilancarkan pada sekitar Oktober dan November. Ia dikenali sebagai Android 7.0 Nougat yang mana menjadi sistem operasi generasi seterusnya selepas Android 6.0 Marshmallow yang diperkenalkan pada Oktober 2015.

Seperti sebelumnya, Google masih meneruskan legasi penggunaan nama manisan pada Android dan kini tiba giliran huruf N untuk dinamakan. Pada awalnya, Google dilihat telah membuka kepada orang awam untuk memberi cadangan nama akhir Android versi ini dan ramai menjangkakan ia bakal membawa nama “Nutella”. Namun pada 1 Julai lalu, Google akhirnya telah memilih manisan Nougat untuk Android 7.0 yang mana ia merupakan sejenis manisan berasaskan gula bersama campuran kacang dan buah-buahan.

Screenshot_20160519-042901

Android 7.0 Nougat membawakan beberapa perubahan dari segi antaramuka bersama-sama fungsi baru yang memantapkan lagi pengalaman menggunakan sistem operasi Android. Ia menampilkan fungsi-fungsi menarik seperti penambahbaikan dari segi multitasking, notification drawer, dan kemampuan penjimatan tenaga pada peranti. Kehadiran Android 7.0 Nougat dilihat mematangkan lagi sistem operasi yang telah sedia matang dengan pembaharuan yang bakal memanfaatkan kepada anda.

Multitasking

Split-screen

Salah satu fungsi utama yang dibawa melalui Android 7.0 ialah sokongan split-screen secara natif. Sebelum ini, kita telah lihat banyak pengeluar mengimplementasikan fungsi ini seperti Samsung yang mula menawarkannya pada Galaxy Note 2 sejak tahun 2012. Kemudian, ia telah ditawarkan pada peranti bersaiz besar seperti peranti flagship, phablet dan tablet Samsung sehingga saat ini.

Bermakna, kehadiran split screen secara natif ini membolehkan kesemua peranti Android 7.0 menjalankannya tanpa mengira apakah kelas peranti tersebut. Tidak kira ia sebuah peranti low-end mahupun mid-range, ia dapat menjalankan fungsi ini tanpa perlu sebarang kustomasi. Satu lagi perkara ialah, kesemua peranti yang menjalankan stock Android seperti Nexus kini dapat menikmati fungsi yang setara dengan apa yang hadir pada peranti flagship.

Pada Android 7.0, fungsi split-screen dapat diaktifkan apabila anda hold bar aplikasi dan kemudian, membawanya ke atas apabila berada pada paparan multitasking. Seterusnya, paparan multitasking akan berada pada bahagian bawah sebagai pilihan aplikasi yang akan di-split pada paparan satu lagi.

2016-03-14 05.56.46 1

Pengalaman menggunakan split-screen pada Android 7.0 sangat baik setanding dengan apa yang ditawarkan pada Windows 10 dan iOS pada iPad. Ia membolehkan aplikasi diubah saiznya dengan hanya menggerakan “slider” pada bahagian tengah. Cuma aplikasi yang boleh di-split agak terhad yang mana, setakat ini, hanya aplikasi Google sahaja yang mampu di-split dengan baik. Aplikasi pihak ketiga lain seperti Twitter & Spotify masih boleh di-split cuma ia belum dioptimasikan sepenuhnya.

“Double tap” butang multitasking untuk ke aplikasi sebelumnya

Satu fungsi yang saya sukakan ketika menggunakan custom rom seperti CyanogenMod adalah kebolehan akses pantas untuk ke aplikasi sebelumnya. Ia hanya memerlukan pengguna hold butang multitasking dan kemudian, ia akan membawa ke aplikasi sebelumnya dengan serta-merta.

Saya gembira apabila Android 7.0 kini membawakan fungsi yang lebih kurang serupa untuk memudahkan proses multitasking aplikasi. Cuma ia memerlukan pengguna membuat “double tap” pada butang multitasking untuk mengakses aplikasi sebelumnya. Ia masih dilihat pantas setanding dengan cara hold butang multitasking pada custom rom.

Penambahbaikan talam notifikasi

Android 7.0 Nougat kini membawakan pembaharuan dari segi antaramuka talam aplikasi yang lebih kemas. Ia hadir dengan butang akses pantas apabila pengguna menyeret talam ini dengan sedikit daya tarikan. Sekiranya anda menyeretnya sehingga ke bawah skrin, barulah antaramuka penuh talam notifikasi dipaparkan. Bagi saya, perkara sekecil ini sangat berguna untuk mengakses butang akses pantas seperti WiFi dan Bluetooth tanpa perlu membuka talam notifikasi secara menyeluruh.

Android 7.0 juga telah menyatukan notifikasi daripada aplikasi dalam satu paparan yang mudah dilihat. Setiap notifikasi yang hadir akan disatukan di dalam satu card mengikut kumpulan sesuatu aplikasi. Seperti contoh, sekiranya ada dua notifikasi daripada Gmail, ia akan disatukan dalam satu card notifikasi untuk Gmail.

Satu perkara yang suka mengenai talam notifikasi pada Android 7.0 ialah kebolehan untuk mengubah kedudukan butang akses pantas pada ruangan ini, tanpa perlu pergi ke System UI Tuner. Dengan hanya menekan butang “EDIT” di bahagian bawah talam notifikasi, ia akan membenarkan anda membuat drag-and-drop kedudukan butang mengikut kesukaan anda.

Data Saver terbina pada sistem

Fungsi Data Saver sebelum ini dilihat kebanyakannya hanya ditawarkan pada peranti pengeluar pihak ketiga seperti Oppo dan Xioami. Melaluinya, pengguna diberi pilihan untuk menyekat beberapa aplikasi yang tidak perlu diberikan penggunaan data. Pada Android 7.0, fungsi Data Saver telah diimplementasikan ke paras sistem yang juga membawakan fungsi yang serupa. Pengguna boleh memilih aplikasi yang ingin di-“whitelist” sahaja untuk menggunakan data secara background apabila fungsi Data Saver diaktifkan.

Penambahbaikan paparan di Settings

Android 7.0 dilihat telah membawa penambahbaikan pada halaman Settings yang kini memberikan sedikit info dibawah majoriti tetapan utama. Sebagai contoh, di bawah bahagian Storage, ia akan memaparkan info “2.07GB of 25.98GB used” untuk storan yang digunakan di dalam peranti.

Pada halaman Settings untuk Android 7.0 juga hadir dengan Suggestions, yang akan mencadangkan settings yang perlu dikemaskini. Sebagai contoh, sekiranya anda tidak menetapkan sebarang kata laluan di lock screen, ia akan mencadangkan anda untuk menetapkannya pada bahagian atas Settings ini. Sekiranya anda tidak menyukai fungsi ini, ia boleh disorokkan sementara dengan menekan butang arrow pada bahagian kanan Suggestions.

Android 7.0 juga hadir dengan paparan hamburger di Settings sebagai akses pantas ke sesuatu tetapan. Ia hanya memaparkan tetapan tanpa info seperti mana yang hadir pada ruang Settings di versi Android sebelum ini. Untuk mengaksesnya, ia boleh dikeluarkan dengan hanya menyeret dari kiri skrin.

Android N

Direct Reply

Satu fungsi yang dinanti-nantikan untuk pengguna stock Android adalah fungsi Direct Reply yang membolehkan pengguna membalas teks terus dari paparan notifikasi. Ia telah hadir pada iOS 8 dan Windows 10 sebelum ini, dan implementasinya pada Android dilihat sangat dialu-alukan. Bagi saya fungsi ini dilihat berguna kerana ia menjimatkan masa tanpa perlu menavigasi ke paparan aplikasi utama. Setiap notifikasi dari aplikasi permesejan yang hadir boleh dibalas serta-merta dari bahagian atas skrin.

“Emergency Info” pada Lock Screen

Android 7.0 turut membolehkan pengguna meletakkan “Emergency Contact” dan “Medical Info” apabila anda berada pada waktu kecemasan. Bayangkan, anda sedang mengalami kemalangan dan semestinya telefon peribadi anda menjadi alat untuk mendapatkan nombor telefon orang tersayang. Namun sekiranya anda menetapkan kata laluan pada lock screen, info-info tersebut tidak boleh diakses oleh orang luar.

Di sinilah fungsi ini membantu anda ketika kecemasan. Ia akan memaparkan orang yang perlu dihubungi dan sedikit info berkaitan dengan anda pada lock screen ketika anda mengalami kemalangan. Ia membolehkan anda meletakkan nama penuh, alamat, tarikh lahir, jenis darah, alergik dan alahan, serta senarai orang yang perlu dihubungi melalui tetapan Emergency Info. Namun usah risau, segala informasi ini tidak dipaparkan pada paparan utama lock screen dan hanya dipaparkan melalui Emergency Dialer.

Paparan

Tetapan Manual Display Calibration

Satu tetapan yang saya suka pada Android 7.0 ialah kebolehan mengubah warna RGB paparan secara manual. Ia boleh diakses melalui System UI Tuner yang ditempatkan secara tersorok. Namun pengguna akhir boleh mengaktifkan System UI Tuner ini secara mudah dengan hanya hold butang Settings pada talam notifikasi.

Kebolehan mengubah saiz paparan

Satu lagi fungsi yang hadir ialah kebolehan untuk mengubah saiz paparan mengikut keselesaan anda. Melalui tetapan ini, pengguna diberikan pilihan Small, Default, Large, Larger & Largest yang mana akan diaktifkan serta-merta ketika anda menggerakkan slider. Ia akan membesarkan keseluruhan antaramuka termasuk teks dan ikon bagi memudahkan pengguna dengan masalah penglihatan melihat kandungan skrin dengan lebih jelas.

Sokongan Night Mode

Pada versi awal pembangunan Marshmallow, Google telah menghadirkan fungsi Night Mode namun dibuang pada versi akhir. Kini ia hadir kembali pada Android 7.0 yang mana boleh diakses melalui System UI Tuner. Secara peribadi, saya menyukai fungsi ini kerana ia lebih selesa untuk mata berbanding paparan berwarna terang dan putih. Selain itu, ia juga membantu peranti dengan skrin AMOLED dalam menjimatkan bateri atas kehadiran paparan antaramuka gelap yang digunakan dengan lebih menyeluruh.

Kehadiran Easter Egg Baru

Sistem operasi Android terkenal dengan easter egg yang membawakan grafik, animasi, dan permainan yang disembunyikan pada tetapan Settings. Ia bermula dari Android 2.3 Gingerbread yang membawakan lukisan Android berupa zombie sehinggalah ke permainan seumpama Flappy Bird pada Android 5.x/6.0.

Pada Android 7.0 Nougat, Google masih meneruskan easter egg berasaskan permainan dengan membawakan permainan seumpama Neko Atsume. Bagi anda yang tidak mengenali permainan ini, ia sebuah permainan pengumpulan kucing yang memerlukan anda memberi makanan atau permainan bagi menarik minat kucing untuk melawat kepada anda.

Android-7.0-Nougat-easter-egg-1-side

Untuk mengaktifkannya, pergi ke halaman Settings > About > dan tekan sebanyak 3 kali dengan kadar yang segera. Kemudian, tekan pada logo N dengan pantas sehinggalah emoji kucing terpapar pada bahagian bawah huruf N gergasi ini. Selepas itu, turunkan notification drawer > tekan pada Edit > dan bawa tile Android Easter Egg ke atas. Akhir sekali, tekan Empty Dish untuk memilih seperti Bits, Fish, Chicken, dan Treat untuk menarik perhatian kucing. Anda juga boleh lihat senarai kucing yang telah melawat anda apabila anda menekan tile ini.

File Manager yang diperbaharui

Screenshot_20160519-042952

Sebelum ini, File Manager pada stock Android hanya didatangkan dengan fungsi asas seperti copy & paste. Di Android 7.0, File Manager terbina kini membawa fungsi yang hampir setara dengan aplikasi pihak ketiga dengan kebolehan membuat folder baru, mengalih fail, dan menamakan semula fail dan folder. Fungsi File Manager ini boleh diakses pada halaman Settings > Storage > Explore.

Sokongan Java 8 dengan pemasangan aplikasi pantas

Pihak Google turut menambahbaik Android 7.0 dengan mengimplementasikan Java 8. Ia mampu meningkatkan kepantasan pemasangan aplikasi tanpa perlu menunggu dalam tempoh yang lama. Selepas Android menerima kemaskini, ia juga tidak lagi memaparkan paparan “Installing/Optimizing Apps” seperti yang terdapat pada Android sebelum ini.

Penambahbaikan fungsi penjimatan bateri Doze

Pada Android 6.0 Marshmallow, satu fungsi baru yang diperkenalkan ialah Doze yang mampu menjimatkan bateri ketika peranti dalam keadaan pegun. Melaluinya, Android akan membawa peranti ke dalam kedudukan low-power apabila peranti tidak dipegang secara fizikal. Pada ketika ini, aktiviti daripada network dan background process telah dihadkan, melainkan aplikasi dan process “high-priority” sahaja dibenarkan untuk berjalan.

Untuk Android 7.0 Nougat, fungsi Doze telah ditambahbaik yang mana akan diaktifkan dengan serta merta ketika skrin dipadamkan. Tidak kira ia di dalam keadaan pegun atau di dalam keadaan bergerak, selagi skrin peranti tidak dihidupkan, fungsi Doze ini akan menjalankan tugasnya.


Android 7.0 Nougat juga turut membawakan pembaharuan di belakang tabir seperti sokongan Vulkan API secara natif untuk kemampuan grafik permainan berkualiti tinggi. Ia juga kini menawarkan proses penyulitan (encryption) di paras fail yang membolehkan fail peribadi anda dilindungi mengikut profil pengguna yang ditetapkan pada peranti. Satu lagi fungsi yang bakal diterapkan (untuk peranti Android akan datang) ialah sokongan “seamless update” yang membolehkan kemaskini dipasang di belakang tabir dengan penggunaan partition berlainan.

Kemaskini terbaru Android ini telah mula ditawarkan bermula hari ini untuk peranti Nexus seperti Nexus 6, Nexus 6P, Nexus 5X, dan Nexus 9. Walau bagaimanapun, Nexus 5 tidak lagi menerima kemaskini Android 7.0 Nougat setelah hampir 3 tahun peranti ini menerima kemaskini.

Bagi peranti lain pula, ia sebenarnya bergantung kepada pengeluar sama ada peranti tersebut akan menerima kemaskini ini mahupun sebaliknya. Apabila melihat trend sebelum ini, keberangkalian kemaskini Android terbaru akan diberikan pengeluar dilihat memihak kepada peranti flagship terkini. Proses penawaran kemaskini juga mungkin bakal mengambil masa berbulan-bulan lamanya sebelum kemaskini sedia diberikan kepada peranti anda.

Namun dengan kehadiran para pembangun Android yang begitu ramai, pemasangan custom ROM mungkin dapat membantu peranti-peranti yang tidak menerima kemaskini Android terbaru untuk menjalankan Android 7.0 Nougat. Seperti sebelumnya, CyanogenMod boleh dikatakan antara pembangun custom ROM terawal yang menggunakan Android terkini yang mungkin bakal diumumkan dalam beberapa bulan lagi. Apabila tersedia, anda boleh memasang CyanogenMod 14 pada peranti yang disokong CyanogenMod untuk menjalankan Android 7.0 Nougat.

Secara keseluruhannya, Android 7.0 Nougat memberikan pengalaman Android yang sudah sedia baik kepada tahap yang lebih baik. Kami sendiri tidak mempunyai sebarang isu menggunakan Android sebelumnya iaitu Android 6.0 Marshmallow yang cukup pantas dan stabil tidak kira apa jua kelas peranti yang digunakan. Android 7.0 dilihat memberikan sokongan tambahan yang sedia terdapat pada peranti OEM di dalam stock Android. Ia juga kini menawarkan penggunaan yang jauh lebih stabil disamping menawarkan ciri-ciri keselamatan yang dilihat jauh kehadapan untuk memberikan pengalaman Android yang unggul, pantas, dan selamat.


| Artikel @ berita penuh

| Baca semua di BERITA

Nota: