Ulasan Alcatel One Touch Hero

 

Beberapa minggu yang lalu kami melakukan pandang pertama Alcatel One Touch Hero. Ianya phablet sebesar 6″ yang dilengkapi stylus terbina. Adakah peranti ini mampu bersaing di dalam pasaran phablet yang semakin sesak dengan peranti-peranti yang jelas memberikan lebih banyak fungsi berbanding telefon pintar biasa. Baca ulasan penuh ini untuk mendapatkan pendapat kami.

Alcatel One Touch Hero
Pemproses1.5 GHz Empat Teras Mediatek MT6589
RAM2 GB
Muatan Dalaman8 GB dengan sokongan kad MikroSD
Kamera13 MP utama / 2 MP hadapan
Skrin6″ LCD IPS 720p (367 ppi)
Bateri3400 mAh

Dari segi rekaan tidak ada yang menarik mengenai Alcatel One Touch Hero. Tiada kemasan besi berkilau ataupun panel diperbuat daripada kulit. Rekaannya bolehlah dikelaskan sebagai utilitarian – kemas dan memenuhi keperluan biasa. Panel belakang diperbuat daripada plastik dengan kemasan permukaan bergetah. Sama seperti kemasan yang ada pada Asus Fonepad Note, panel belakang Hero yang kasar ini mengurangkan kebarang kalian peranti ini tergelincir dari genggaman sekiranya tangan anda basah ketika memegangnya.

Pada bahagian kanan terletak butang kuasa dan suara yang dibina dengan tegap. Ianya mudah diakses menggunakan jari ketika digunakan dan ternaik sedikit dari kerangka peranti. Kami sukakan rekaan butang yang tidak terbenam ke dalam kerangka kerana ianya lebih mudah digunakan dalam keadaan gelap.  Ini berbeza dengan sesetengah peranti (seperti HTC One) yang mempunyai butang terbenam di dalam kerangka.  Adalah sedikit sukar mencari butang yang perlu ditekan sekiranya di dalam gelap. Slot untuk kad SIM juga terletak pada bahagian kiri dan slot ini adalah dari jenis yang memerlukan ianya dicocok dengan jarum untuk dibuka. One Touch Hero masih menggunakan kad MikroSIM dan hanya terdapat satu slot SIM pada peranti ini.  Slot untuk kad MikroSD pula terletak pada bahagian kiri peranti dan Hero menyokong penambahan memori dalaman hanya sehingga 32 Gigabyte. Seperti slot kad SIM, slot ini juga perlu di cocok dahulu untuk membukanya.

Tempat menyimpan stylus terletak pada bahagian bawah bersebelah port MikroUSB. {ada bahagian atas terdapat jack untuk fon kepala. Pembesar suara yang agak besar terletak pada bahagian belakang peranti dan ianya sebuah pembesar suara mono.

Dari segi konfigurasi butang pula Hero tidak menggunakan paparan butang pada skrin. Tiga butang kapasitif diletakkan di luar paparan skrin sebesar 6 incinya. Pada bahagian kiri terletak butang back , butang home pada bahagian tengah dan butang menu pada bahagian kanan. Peranti ini tidak mempunyai butang khas untuk multi tasking. Untuk melancarkan skrin multi tasking anda perlu menekan butang menu untuk beberapa saat. Seperkara lagi untuk melancarkan Google Now anda hanya perlu menekan butang home untuk beberapa saat.

Antaramuka

xperia-Z-antaramukaTiada perubahan besar dapat kami lihat pada antaramuka Hero berbanding Alcatel One Touch Idol X yang kami ulas tahun lalu. Kerana mempunyai saiz skrin yang lebih besar, anda hanya boleh meletakkan 5 ikon secara mendatar pada skrin hadapan peranti.  Perbezaan lain yang dilihat ialah kini antaramuka Hero mempunyai butang untuk melancarkan talam aplikasi. Pada Idol X fungsi ini tidak disertakan.

Secara keseluruhan antaramuka phablet ini mengekalkan majoriti elemen Android asal. Perubahan lebih kepada penukaran rekaan ikon dan penambahan fungsi baru yang minima.  Sungguhpun begitu kami menyedari kelajuan tatalan Hero adalah sedikit mengecewakan. Sela masa ketika mentatal dan menggunakan papan kekunci adalah agak ketara. Ini adalah mengecewakan kerana Hero dilengkapi memori sebesar 2 GB dan pemproses empat teras. Jika kami bandingkan kelancaran tatalan Hero dengan Motorola Moto G yang mempunyai spesifikasi yang lebih rendah ianya seperti langit dan bumi. Moto G jauh lebih lancar penggunaannya walaupun di atas kertas ianya kurang berkuasa.

Seperkara lagi yang kami rasakan merugikan ialah skrin multi taskingnya. Aplikasi terbuka disusun secara mendatar di dalam skrin multi tasking. Hanya 3 aplikasi boleh dilihat sekilas pandang pada bahagian bawah skrin manakala bahagian atas skrin tidak digunakan langsung. Ini ialah penggunaan ruang yang kurang bijak. Kenapa tidak disusun secara menegak seperti peranti Android yang yang boleh memaparkan lebih banyak aplikasi yang terbuka secara serentak ataupun seperti HTC Sense 5.5 yang menyusun 9 aplikasi sekaligus?

xperia-Z-kesemua-antaramuka

Papan kekunci Hero  mempunyai pelbagai fungsi dan juga kustomasi. Anda boleh memilih tiga jenis papan kekunci iaitu T+, T12 ataupun T26. Terdapat juga pintasan untuk memudahkan pemilihan baris ayat ataupun perkataan tertentu.  Pada Hero akhirnya terdapat sokongan Bahasa Malaysia yang tidak ada pada Idol X sebelum ini.  Pintasan pintas pada bahagian atas papan kekunci pada hemat kami adalah lebih mudah digunakan dari cara menu tetapan yang digunakan papan kekunci default Android.

xperia-Z-kesemua-antaramuka

Tetingkap Berganda

xperia-Z-antaramukaKerana ianya sebuah phablet dengan skrin yang besar, Alcatel menyertakan fungsi tetingkap berganda (multi window) pada Hero. Dari segi fungsi dan cara melancarkan aplikasi ianya tidak banyak berbeza dari apa yang dilakukan oleh Samsung. Dengan menekan butang back untuk beberapa saat sebuah tab akan muncul pada tepi skrin. Anda boleh menarik tab ini untuk melihat aplikasi apakah yang boleh menggunakan fungsi tetingkap berganda. Tarik ikon aplikasi ke luar dari tab tepi dan ianya akan membuka sebuah tingkap kecil. Tarik sebuah lagi ikon ke dalam skrin yang sama dan dua aplikasi dapat dilancarkan dengan serentak. Seperti Samsung jumlah aplikasi yang boleh menggunakan fungsi tetingkap berganda ini adalah terhad. Tidak kesemua aplikasi yang boleh digunakan di dalam mod ini.

Telefon Bluetooth Sidekick

One Touch Hero mempunyai aksesori yang kami paling unik dan aneh pernah kami lihat di dalam makmal peranti Amanz. Sidekick ialah sebuah telefon kecil sepanjang 3.5  inci yang ditambat kepada Hero menggunakan Bluetooth. Telefon mini boleh digunakan untuk melalukan panggilan telefon dan menghantar SMS. Ketika ditambat kesemua maklumat di dalam buku telefon Hero akan dimuat naik secara automatik ke dalam Sidekick. Had jarak maksimum tambatan pula ialah sekitar 15 meter. Secara peribadi kami rasakan Sidekick tidak terlalu berguna kerana mempunyai fungsi yang terhad. Telefon mini yang ditambat kepada sebuah telefon pintar terasa seperti aksesori yang tidak perlu dimiliki oleh seseorang pengguna. Fungsi yang kami rasakan berguna pada Sidekick ialah ia boleh digunakan untuk mencari lokasi Hero yang mungkin anda tersalah letak di dalam rumah. Dengan menekan butang find me pada Sidekick, Hero akan berdering dan anda boleh mencarinya dengan mudah. Ini sama seperti fungsi yang ada pada Sony Smartwatch, Galaxy Gear dan Oppo O’Click.

xperia-Z-kesemua-antaramuka

Battery Saver

xperia-Z-antaramukaPernahkah anda di dalam situasi tegang di mana bateri peranti sudah di tahap kritikal tetapi anda tidak mempunyai pengecas? Pada masa yang sama anda memerlukan peranti berfungsi kerana menunggu panggilan telefon yang penting? Situasi ini berlaku puluhan kali di dalam hidup kami sehingga kami kini membawa dua peranti kemana-mana sahaja kami pergi. Fungsi Battery Saver pada Hero ialah fungsi yang standard pada kesemua peranti Alcatel. Apabila bateri sudah mencapai tahap kritikal anda boleh mengaktifkan mod ini untuk menjimatkan penggunaan bateri. Di dalam mod ini anda hanya boleh melakukan panggilan telefon dan menjawab SMS. Telefon pintar anda kini menjadi seperti sebuah feature phone dan hanya fungsi-fungsi perlu boleh dilakukan. Fungsi ini kami rasakan amat berguna dan seharusnya menjadi fungsi wajib ada dalam kesemua peranti pintar.

Stylus

Stylus yang disertakan sekali dengan Hero ialah dari jenis kapasitif dan ini berbeza dari teknologi yang digunakan oleh Asus Fonepad Note dan Galaxy Note. Apabila anda melakar pada skrin garisan yang dihasilkan tidak setepat yang dihasilkan menggunakan stylus berteknologi Wacom. Bolehlah dikatakan stylus yang disertakan tidak ada bezanya dari stylus yang boleh anda beli di kedai aksesori telefon di luar sana. Asus Fonepad Note 6 menggunakan stylus Wacom tetapi dijual pada harga yang sama dengan Hero. Ketiadaan fungsi tambahan ni membuatkan Hero kurang kompetitif berbanding pesaing yang ada di luar sana.

xperia-Z-kesemua-antaramuka

Penutup MagicFlip

MagicFlip ialah penutup skrin magnetik yang turut disertakan bersama dengan Sidekick. Ia mempunyai sistem paparan LED yang menunjukkan beberapa ikon notifikasi seperti emel, sms, panggilan telefon dan waktu. Ianya bercantum pada bahagian belakang Hero secara magnetik serupa seperti sistem yang digunakan pada Microsoft Surface. Penutup ini juga melekap pada bahagian hadapan skrin secara magnetik. Ini memastikan penutup ini tidak terbuka dengan mudah dan berlipat apabila tidak digunakan. Apabila dibuka bahagian penutup boleh dilekapkan secara magnetik kepada bahagian belakang peranti secara magnetik juga. Rekaan MagicFlip memang sangat baik tetapi kami tidak tahu ketahanan sistem paparan LED pada permukaannya.  Aksesori ini menarik tetapi kami mahukan versi E-Ink yang pernah dipertontonkan oleh Alcatel untuk Hero tahun lalu. Sehingga kini tiada perancangan dari Alcatel untuk menjadikan prototaip yang dipertontonkan itu sebagai produk yang akan dijual kepada umum.

xperia-Z-kesemua-antaramuka

Kamera

xperia-Z-kesemua-antaramuka

Kamera utama One Touch Hero ialah sebesar 13 MP pada bahagian belakang dan 2 MP pada bahagian hadapan. Kamera utama mampu mengambil video pada resolusi HD penuh manakala kamera hadapan pada resolusi 720p.  Kami mempunyai 3 phablet di makmal gajet Amanz dan kami merasakan ada baiknya sekiranya kualiti gambar yang diambil menggunakan Hero dibandingkan dengan gambar yang diambil menggunakan Oppo N1 dan HTC One Max. Sebagai maklumat Oppo N1 dilengkapi kamera 13 MP manakala One Max 4MP dengan Ultrapixel.

Kita mulakan dengan ujian gambar yang diambil di dalam keadaan yang terang. Anda boleh lihat gambar yang diambil oleh Hero adalah agak baik. Penghasilan warna (colour reproduction) juga selaras dengan objek sebenar berbanding Oppo N1 yang agak kekuningan.  One Max mempunyai penghasilan warna yang lebih panas daripada Hero dan gambar kelihatan lebih tajam. Apabila gambar dilihat dengan lebih terperinci kami menyedari pada Hero dan Oppo N1 objek latar belakang akan menjadi semakin kabur berkadar terus dengan jaraknya dari lensa kamera. Masalah ini tidak ketara pada One Max. Ketajaman imej One Max adalah yang terbaik di dalam ujian ini.

Seterusnya gambar di ambil di dalam restoran yang agak kelam dengan jumlah lampu yang sederhana. Sekali lagi pada pendapat kami gambar yang diambil oleh One Max adalah yang terbaik. Jika anda menekan gambar di bawah dan melihatnya pada resolusi asal, gambar One Max lebih tajam dan anda boleh melihat alur kayu pada nama kedai dengan lebih jelas. Gambar yang diambil oleh Oppo N1 di dalam situasi situasi ini lebih tajam dari diambil menggunakan Hero.

Ini pula ujian makro. Gambar yang diambil menggunakan Hero lebih jelas berbanding Oppo N1 tetapi pada hemat kami masih tidak sebaik One Max. Oppo N1 mempunyai masalah dedahan berlebihan sehingga ke perincian imej nasi di tengah gambar hilang jika dibandingkan dengan gambar 2 peranti yang lain.

Bagi memudahkan anda melihat perbezaan ini sila lihat gambar di bawah.

Gambar ini pula diambil di dalam bangunan yang agak gelap pada waktu pagi. Gambar Hero adalah yang paling gelap di antara 3 gambar yang diambil. Oppo N1 adalah yang paling terang. Masalah dedahan berlebihan yang mendatangkan masalah di dalam situasi pencahayaan mencukupi membantu mencerahkan gambar yang diambil di dalam keadaan gelap. One Max pula mempunyai masalah silau yang ketara. Di dalam situasi begini kami rasakan Oppo N1 mempunyai kualiti gambar yang terbaik berbanding 2 peranti yang lain.

 

Gambar ini pula diambil ketika waktu hujan pada waktu petang. Ketiga-tiga peranti mempunyai masalah memfokus dan hasilnya kesemua gambar mempunyai masalah tidak tajam yang serupa. Tetapi kami rasakan gambar yang diambil menggunakan hero adalah yang paling jelas untuk kali ini.

Akhir sekali gambar diambil di dalam bilik gelap dengan satu sumber cahaya. Dari segi keterangan Hero memdahului Oppo N1 dan One Max tetapi kami rasakan ketajaman gambar adalah paling tinggi pada gambar yang diambil menggunakan One Max.

Video

Ini ialah video yang diambil pada waktu malam menggunakan Hero, Oppo N1 dan One Max. Dari segi keterangan kami rasa Hero mempunyai imej yang paling jelas. Sungguhpun begitu kualiti audio yang diambil adalah sangat buruk. Video yang diambil juga tidak selancar Oppo N1 dan One Max. Pada pendapat kami One Max mempunyai kualiti audio paling baik dengan kualiti video yang agak baik. Ya  video adalah agak gelap tetapi anda boleh lihat sendiri video yang diambil sangat lancar dan masalah rolling shutter yang ada pada Hero tidak kelihatan. Video daripada Oppo pula adalah paling gelap dengan audio yang terlalu sensitif sehinggakan bunyi kolam air berdekatan jelas kelihatan. Ini adalah agak mengejutkan kerana dalam ujian gambar, Oppo N1 mempunyai masalah dedahan berlebihan yang membantu ketika gambar diambil di dalam keadaan gelap. Dalam mod video visual yang dihasilkan kekal gelap.  Jika hanya kualiti video diambil kira kami rasakan One Max mempunyai video yang paling baik diikuti oleh Hero dan Oppo N1. Tidak diketahui mengapa audio Alcatel One Touch hero mempunyai kualiti yang sangat teruk.


Kesimpulan Ujian Kamera

Ketiga-tiga peranti ini mempunyai konfigurasi kamera yang berbeza. Setiap satunya mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri. Kami merasakan gambar-gambar yang diambil menggunakan Hero adalah berkualiti sederhana dan di dalam beberapa situasi adalah lebih baik dari yang diambil menggunakan Oppo N1 dan One Max. Secara peribadi kami merasakan secara keseluruhan One Max mempunyai kamera yang paling bagus di antara 3 peranti yang diuji.  Alcatel One Touch Hero mempunyai kemampuan kamera yang secara keseluruhannya lebih baik daripada Oppo N1. Kelemahan Hero ialah video yang dihasilkan tidak berapa lancar dengan kualiti audio yang sangat buruk. Tetapi jika anda hanya menggunakan kamera Hero untuk mengambil gambar untuk perkongsian laman sosial di waktu siang, imej yang dihasilkan adalah cukup baik walaupun kurang tajam pada bahagian latar belakangnya.

Penanda Aras

Pemproses 1.5 GHz empat teras Mediatek MT6589 One Touch Hero diuji menggunakan Quadrant, Antutu dan Futuremark Unlimited.  Markah yang diterima menggunakan Quadrant ialah 5885 manakala pada Antutu pula ia mencatat  14785 markah. Anda boleh lihat dari carta penanda aras di bawah kemampuan Hero adalah di bawah sebuah Nexus 4 dan Galaxy S III. Ianya mempunyai kemampuan memproses tahap sederhana.  Jika dibandingkan dengan markah yang diperolehi oleh phablet Fonepad Note FHD 6 yang kami ulas bulan lalu, Hero tidak mampu menyaingi peranti buatan Asus yang memperolehi 6585 markah dalam ujian Quadrant dan 20333 markah dalam ujian Antutu. Kemampuan Hero juga lebih rendah dari Motorola Moto G.

Dalam ujian Futuremark Unlimited pula Hero mencatat 2908 markah. Sekali lagi kami bandingkan dengan sebuah Asus Fonepad Note yang berjaya memperolehi 7124 markah. Markah Hero adalah kurang dari separuh markah yang diperolehi Fonepad Note. Ini adalah mengecewakan kerana Hero adalah peranti empat teras manakala Fonepad Note adalah sebuah peranti dua teras sahaja.

Dari segi kelancaran penggunaan kami sedari apabila terdapat beberapa aplikasi dilancarkan serentak masalah sela masa mula kelihatan. Melakukan app switching juga sedikit perlahan dengan animasi perubahan aplikasi yang tersengguk-sengguk. Sungguhpun begitu kami tidak menghadapi masalah peranti gagal berfungsi ataupun aplikasi terhenti ketika digunakan sepanjang tempoh ulasan.

xperia-z-penanda-aras xperia-z-penanda-aras

Bateri

One Touch Hero dilengkapi bateri sebesar 3400 mAh. Ia mampu bertahan melebihi 22 jam pada penggunaan yang ringan dan sekitar 9 jam 17 minit pada penggunaan berat. Hayat bateri ini kami rasakan adalah setanding dengan majoriti peranti phablet yang ada dipasaran sekarang.

xperia-Z-prestasi-bateri

Kesimpulan

Alcatel One Touch Hero ialah sebuah lagi phablet yang memasuki pasaran tempatan. Dari segi spesifikasi ianya sebuah peranti kelas pertengahan yang disasarkan kepada mereka yang mahukan phablet dengan harga yang mampu milik. Apabila membeli peranti ini anda akan menerima pelbagai aksesori yang tidak diberikan oleh pengeluar lain. Kami cukup tertarik dengan penutup magnetik MagicFlip dengan paparan LED terbinanya. Tiadak ada peranti lain yang mempunyai aksesori sebegini. Penutup magnetik ini juga sangat mudah digunakan dan kami berharap ada pengeluar lain akan mengeluarkan penutup seumpama MagicFlip pada paranti buatan mereka.

Telefon mini Sidekick pula ialah sebuah lagi aksesori yang tidak pernah kami lihat sebelum ini. Sungguhpun begitu kami merasakan ianya tidak begitu berguna untuk kegunaan harian kerana hanya boleh digunakan untuk melakukan panggilan telefon, menjawab SMS dan menjadi alat mencari telefon anda apabila ianya hilang di dalam rumah.

Hero dilengkapi dengan stylus terbina tetapi ianya dari jenis kapasitif yang tidak sebagus dari jenis Wacom. Tiada fungsi butang tambahan ataupun aplikasi khas yang dibuka secara automatik apabila stylus dicabut dari tempat simpanannya. Kejituan lakaran juga tidak begitu memuaskan.

Dari segi kemampuan optik gambar yang diambil oleh Hero adalah memandai untuk kegunaan harian dan perkongsian media sosial. Penghasilan warnanya adalah bagus dan gambar yang diambil kelihatan jelas. Kelemahan hanyalah dari segi ketajaman imej latar belakang dan dalam situasi pencahayaan rendah. Kemampuan video pula adalah sederhana dengan gambar yang terang sungguhpun diambil pada waktu malam. Kekurangan hanya pada video yang kurang lancar dan kemampuan audio yang mengecewakan.

Dalam ujian penanda aras pula Hero mencatatkan markah yang rendah bagi sebuah peranti empat teras. Asus Fonepad Note dan Motorola Moto G yang mempunyai spesifikasi lebih rendah di atas kertas mencatatkan markah yang lebih tinggi dalam kesemua ujian penanda aras yang kami lakukan. Peranti ini juga mempunyai masalah sela masa yang ketara apabila pelbagai aplikasi dilancarkan pada waktu yang sama.

Kemampuan bateri adalah setanding dengan phablet-phablet yang ada di luar sana. Pada penggunaan berat ia mampu bertahan melebihi 9 jam sebelum perlu dicas semula.

Di akhir hari Alcatel One Touch Hero ialah sebuah phablet berstylus kelas pertengahan. Harganya mampu milik bagi sebuah phablet tetapi secara keseluruhan ianya kurang kompetitif jika dibandingkan dengan pesaingnya di luar sana.

PRO dan Kelebihan
  • Lancar digunakan sungguhpun hanya dilengkapi pemproses kelas sederhana dan 1GB RAM. Kelancaran tatalan lebih baik dari sebahagian peranti kelas tinggi yang pernah kami ulas di makmal peranti Amanz
  • Penutup magnetik MagicFlip dengan paparan notifikasi LED. Ianya mudah dipasang dan ditanggalkan mengikut kehendak.
  • Kualiti kamera yang agak baik. Gambar yang diambil terang sungguhpun di dalam situasi pencahayaan rendah.
  • Skrin HD Penuh dengan kepadatan pixel yang tinggi (367 ppi). Paparan sangat jelas dan tajam
  • Harga yang mampu milik bagi sebuah phablet berskrin 6″ dengan pelbagai aksesori yang diberikan seperti penutup MagicFlip dan telefon mini Sidekick
  • Kemasan dan kualiti binaan yang baik. Selesa dipegang.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada sokongan LTE
  • Sungguhpun dilengkapi pemproses empat teras, Hero mempunyai masalah sela masa yang ketara
  • Stylus dari jenis kapasitif. Tidak mempunyai ketepatan dan fungsi tambahan seperti stylus berteknologi Wacom
  • Telefon mini Sidekick bukanlah aksesori yang akan gunakan dengan kerap kerana mempunyai fungsi yang terhad

xperia-Z-prestasi-bateri

Penafian: Advertorial daripada Brightstar.

Nota: