Terbaru: Pas mungkin tatang semula Dr Mahathir kerana faktor Anwar? 

Politik adalah seni segalanya tidak mustahil. Sebelum ini, sebaik Pakatan Harapan (PH) menguasai Putrajaya, Pas dan penyokong mengutuk sekutuk-kutuknya dan mengeji sekeji-kejinya sosok negarawan bernama Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah, semua “kesalahan” Dr Mahathir disebut dan dijaja di segenap penjuru negara dan dalam apa juga kesempatan, termasuklah di media tradisional, media Internet dan ceramah politik.

Ia seolah-olah tiada peluang langsung untuk Dr Mahathir bertaubat menebus “dosa-dosa” silamnya atau jauh sekali kemungkinan taubatnya diterima.

Malah, lebih ekstrim, ada kalangan penyokong, hatta segelintir pimpinan Pas juga memberi gambaran konon seolah-olah orang yang namanya Mahathir ini tidak mempunyai peluang langsung masuk syurga.

Isytihar sokongan

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru hari ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Pas dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebelum ini menghidu seolah-olah sesuatu tidak kena akan berlaku dalam kerajaan hari ini.

Justeru, kata Takiyuddin, surat perakuan bertulis berbentuk contoh yang diserahkan Pas kepada Dr Mahathir pada 15 Februari 2019 adalah untuk menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan Dr Mahathir jika berlaku pengkhianatan daripada mana-mana parti komponen PH.

Hadi dilaporkan bertemu Dr Maharthir kelmarin bersama Takiyuddin dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dalam kenyataan terbaru hari ini, Takiyuddin berkata, perisytiharan sokongan itu adalah berikutan kenyataan Dr Mahathir sebelum ini bahawa akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana parti komponen PH yang melakukan pengkhianatan kepada negara.

“Berdasarkan kenyataan Dr Mahathir itu, Pas melihat ia satu perkara yang berbahaya kepada negara. Oleh sebab itu saya sendiri mengusulkan surat akujanji bahawa apa-apa yang berlaku kepada Dr Mahathir atau kepimpinannya, Pas akan bersama beliau…itu jelas.

“Perakuan bertulis yang berbentuk contoh diberikan sebagai komitmen sokongan Pas terhadap kepimpinan Dr Mahathir atas dasar menjaga kepentingan agama, negara dan bangsa sehingga Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya.

Tarik tali politik?

Adakah anda nampak seperti apa yang penulis nampak? Adakah anda nampak seperti apa yang pengamat politik lain jugak mungkin nampak?

Satu lagi permainan tarik tali politik mungkin akan dilangsungkan!

Sosok yang disebut-sebut bakal menjadi perdana menteri dalam waktu tidak lama, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin tidak akan melepasi jalan mudah untuk sampai ke Putrajaya.

Sebelum ini, ada dakwaan menyebut Anwar tidak disokong oleh pimpinan Pas yang ada sekarang.

Sebahagian bekas pimpinan Pas yang menyokong Anwar kini sudah terkeluar dari parti itu dan membentuk parti Amanah.

Pengamat politik yang tidak bias sudah tentu dapat melihat permainan ini. Pas yang pernah memaki hamun Dr Mahathir mungkin akan sanggup menjilat ludahnya sendiri dengan menyatakan semula sokongan, sekali gus menatang bagai minyak yang penuh terhadap pemimpin Bersatu itu.

Ini diperkuatkan lagi oleh ulasan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad, yang dilaporkan hari ini sebagai berkata:

“Maka Pas yang mempunyai 18 ahli Parlimen akan memberikan komitmen untuk bersama-sama dengan Dr Mahathir untuk memastikan beliau terus memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri, ” katanya.

Adakah anda nampak seperti apa yang penulis nampak? Adakah anda nampak seperti apa yang pengamat politik lain jugak mungkin nampak?

Satu lagi permainan tarik tali politik mungkin akan dilangsungkan!

Jangkaan ini belum tentu betul, tetapi tidak juga semestinya mustahil!

Justifikasi politik

Jika ini berlaku, Pas sudah tentu akan memberikan pelbagai justifikasi semula mengapa mereka menyokong dan menatang semula Dr Mahathir.

Mungkin akan keluarlah pelbagai ayat Quran dan Hadis bagi menjustifikasikan tindakan parti itu.

Niat politik Pas dapat dibaca dengan mudah oleh mereka yang tidak bias politik, tetapi “penyokong setia” sudah tentu akan mengiya dan kekal wala’ selamanya.

Kita lihatlah episod seterusnya! – inimajalah.

Foto: malaysiakini.com

Nota: