Teknologi Robotik Dan Kenderaan Tanpa Pemandu Israel Yang Digunakan Di Gaza

Serangan ke atas Gaza sudah masuk minggu ke 3 dengan kematian di pihak Gaza sudah mencecah 1200 orang manakala lebih 7000 lagi tercedera. Jumlah kematian di pihak Gaza adalah tinggi kerana Israel menggunakan senjata canggih mereka untuk memusnahkan infrastruktur awam tanpa sebarang belas kasihan. Jumlah kematian di pihak Israel pula baru mencecah 50 orang. Antara sebab mengapa jumlah korban di pihak Israel adalah rendah ialah kerana mereka menggunakan teknologi robotik dan kenderaan tanpa pemandu di dalam operasi ketenteraan. Penggunaan dua teknologi ini mengurangkan risiko kematian anggota tentera di samping memudahkan mereka menyelinap melakukan tinjauan ke kawasan yang dikawal Hamas. Penggunaan teknologi – teknologi canggih boleh dilihat di udara, air, tanah dan juga bawah tanah. Mari kita lihat sendiri bagaimana Israel menggunakan kehebatan teknologi untuk memberikan mereka kelebihan di medan perang

Micro Tactical Ground Robot : Robot Terowong Bawah Tanah


on-a-hill_700_466

Tentera Udara Israel mengebom secara pukal kawasan yang didiami penduduk awam kerana wujudnya sistem terowong bawah tanah yang dikawal Hamas. Terowong – terowong ini digunakan Hamas bagi menyeludup bekalan makanan dan perubatan kepada warga Gaza yang hidup serba kesusahan. Pihak Israel mendakwa terowong ini juga digunakan bagi menyeludup senjata seperti roket yang kemudiannya ditembak ke Israel. Terdapat puluhan terowong penyeludupan wujud di Gaza dan pihak Israel menggunakan Micro Tactical Ground Robot terlebih dahulu sebelum menghantar infantri untuk melakukan “pembersihan”. Micro Tactical Ground Robot (MTGR) dibangunkan oleh syarikat Roboteam yang berpengkalan di Israel. Ianya robot berunut seberat 20 pound yang dilengkapi sebuah mikrofon, 5 kamera dan 1 sensor infra merah. Ianya boleh dikawal sehingga 1600 kaki dan dipandu pada kelajuan 2 batu sejam selama 4 jam berterusan.

Teknologi robot kawalan jauh untuk memasuki terowong sudah diguna pakai oleh tentera Israel sejak 2008 lagi. Israel adalah antara negara awal yang menggunakan teknologi ini untuk kegunaan ketenteraan. Selain Israel, MTGR juga kini di sedang diuji oleh pasukan gerakan khas Amerika Syarikat. Pihak Pentagon baru sahaja memberikan kontrak bernilai 16 Juta Dollar kepada Roboteam untuk membekalkan 132 MTGR untuk kegunaan pasukan gerakan khas dan pasukan polis Amerika Syarikat.

UGV---ROBOTEAM---MTGR---2-(1)

 

 Guardium UGV – Kenderaan Darat Tanpa Pemandu

Guardium-UGV

Guardium Unmanned Ground Vehicle memulakan hidupnya sebagai sebuah kenderaan kawalan keselamatan lapangan terbang. Ianya dibangunkan sepenuhnya oleh G-Nius sebuah anak syarikat Israel Aerospace Industries (IAI) dan mula digunakan pada tahun 2008. Ia mampu memecut sehingga 80 kilometer sejam dan mengawal perimeter Lapangan Terbang Ben Gurion dari dicerobohi musuh. Guardium boleh berfungsi secara solo ataupun berkonvoi secara berpasangan. Terdapat sensor haba, sensor sejata kimia, kamera bidikan automatik dan pembesar suara pada kenderaan tanpa pemandu ini. Selepas melihat keberkesanan Guardium mengawal perimeter lapangan terbang, kenderaan ini diubah suai untuk mengawal sempadan Israel. Untuk versi ini ia boleh dilengkapi sistem senjata api dan alat menangkis serangan misil infra merah. Ianya juga mampu membawa kargo sehingga 300 kilogram untuk dihantar kepada tentera yang terperangkap di dalam kawasan kawalan musuh. Guardium digunakan di kawasan di mana terdapat bom IED yang diletakkan di tepi jalan. Dengan penggunaan Guardium, nyawa tentera tidak perlu digadaikan ketika meronda perbatasan dan menghantar bekalan kepada yang memerlukan.

guardium_bengurion

Protector USV – Kenderaan Laut Tanpa Pemandu

Rafael-Protector-USV

Jika Guardium UGV digunakan bagi mengawal sempadan, Protector Unmanned Surface Vehicle pula digunakan bagi melakukan tugas yang sama di laut. Protector USV dibangunkan oleh Rafael Advance Defence System yang berpengkalan di Haifa Israel pada tahun 2005. Ianya dicipta bagi mengatasi serangan bot berani seperti yang dialami oleh USS Cole pada tahun 1999.  Protector boleh mengawal perimeter sekitar kapal perang dan juga pesisiran pantai. Walaupun dicipta di Israel, Tentera Laut Republik Singapura adalah yang pertama menggunakannya di dalam operasi di Teluk Parsi. Di Israel Protector digunakan sejak 2011 bagi mengawal persisiran pantai Gaza dari dicerobohi penyeludup, menghalau nelayan Gaza dari kawasan perairan terkawal dan memintas flotilla kemanusiaan yang cuba membawa bekalan ke Gaza. Protector diperkasakan dua enjin diesel yang mampu memberikan kelajuan maksimum 50 knot. Sistem senjata mini Typhoon digunakan pada Protector. Sistem senjata automatik ini boleh dipadankan dengan mesingan 0.50 kaliber, pelancar bom tangan ataupun mesingan 7.62 milimeter.

IAI Heron : Mata Dan Telinga Di Udara

Eitan-2

Tahukah anda Israel ialah negara pertama yang menggunakan pesawat tanpa pemandu di medan peperangan? Tadiran Mastiff, ialah UAV moden pertama yang digunakan ketika Perang Yom Kippur pada tahun 1973. Pesawat kecil dengan sayap selebar 4 meter ini memberikan general – general Israel mata di udara bagi melihat pergerakan tentera negara – negara Arab. Tanpa Tadiran Mastiff teknologi dron yang kita lihat digunakan secara meluas sekarang mungkin tidak wujud. Pesawat UAV yang digunakan oleh Israel sekarang ialah IAI Eitan. Eitan digunakan ketika Perang Gaza 2008/2009 sebagai platform intipan semboyan (signal intelligence). Jika Tadiran Mastiff mempunyai sayap selebar 4 meter, Eitan mempunyai sayap selebar  26 meter. Ia mampu beroperasi pada ketinggian 40 ribu kaki .Kerana ianya menggunakan kipas dan bukannya enjin jet, Eitan boleh kekal di udara selama 36 jam tanpa henti.

Eitan-1

Kesimpulan

Jelas sekali tentera Israel menggunakan teknologi robotik dan dron terkini bagi memberikan mereka kelebihan apabila menentang Hamas. Kesemua teknologi yang digunakan juga dibangunkan seratus peratus oleh anak watan tanpa campur tangan negara luar. Teknologi ini kemudiannya diimport dan membuatkan negara luar seperti Amerika Syarikat bergantung kepada Israel untuk terus beroperasi. Ini adalah salah satu sebab mengapa Amerika Syarikat enggan mengutuk kekerasan yang dilakukan oleh Israel selama berdekad lamanya. Mereka memerlukan Israel seperti mana Israel memerlukan Amerika Syarikat. Simbiosis toksik ini akan berterusan selagi tidak ada teknologi baru yang dapat menyaingi teknologi yang dihasilkan Israel. Beberapa dekad yang lalu Tun Dr Mahathir pernah berkata sudah tiba masanya negara Islam membangunkan sistem senjata mereka sendiri dan tidak bergantung kepada barat. Apabila tiada pergantungan kepada barat barulah tentera negara tersebut bebas melakukan  yang mereka mahukan tanpa risau sekatan dikenakan. Negara – negara Islam sekarang juga turut senyap tentang isu Palestin kerana majoritinya bergantung kepada Amerika Syarikat. Jika berani bersuara mereka akan menerima nasib seperti Iran yang kehilangan bantuan alat ganti selepas Syah Reza Pahlavi digulingkan Revolusi Islam 1979. Mungkin tiba masanya umat Islam mengambil serius saranan Tun Mahathir. Jika Israel negara kecil mampu membangunkan sistem persenjataan tempatan yang canggih apa alasan negara – negara Islam tidak mampu bekerjesama untuk melakukannya juga?

 

Nota: