Spritz : Aplikasi Membolehkan Anda Membaca 1000 Perkataan Seminit

Internet membolehkah jutaan laman sesawang diakses oleh kita dengan mudah. Masalah yang dihadapi oleh spesis homosapiens sekarang ialah mencari masa untuk membaca. Sebagai seorang penulis kami menghabiskan ratusan jam setiap minggu untuk mencari bahan untuk ditulis dan melakukan kajian sebelum menulis artikel. Ribuan laman sesawang perlu digodek dan kemampuan menulis bergantung kepada jumlah data yang boleh kami baca, proses dan gubah semula kepada anda. Secara ikhlas saya katakan kelajuan membaca saya adalah lebih perlahan dari majoriti pembaca Amanz kerana saya menghidap masalah Dyslexia dari kecil. Alhamdulillah selepas berpuluh tahun melatih mata dan otak masalah kelembapan membaca ini dapat kami atasi. Alangkah baiknya jika ada cara yang lebih mudah serta pantas untuk membaca teks menggunakan peranti pintar milik kita semua?

Spritz ialah aplikasi yang dibangunkan bagi mempercepatkan kelajuan membaca. Aplikasi ini kini dalam proses pembangunan untuk Android, IOS dan juga komputer peribadi. Spritz mendakwa dengan menggunakan aplikasi mereka ini, kelajuan membaca anda boleh meningkat sehingga 1000 patah perkataan seminit.  Sebuah novel bersaiz sederhana boleh dibaca oleh anda secara lengkap dalam masa 90 minit. Aplikasi ini menggunakan teknologi yang dipanggil Readicle yang mengoptimasikan kelajuan anda mengenali perkataan yang dipaparkan. Kepantasan membaca ini dapat dilakukan kerana perkataan yang bergerak dan bukannya mata anda. Teknologi Spritz dijangka akan memudahkan pembacaan teks seperti khidmat pesanan ringkas dan emel pada jam pintar. Skrin jam pintar yang kecil adalah antara halangan mengapa jam pintar masih belum mencapai potensi sepenuhnya sebagai peranti yang harus dimiliki pengguna.

Teknologi ini kami difahamkan telahpun terbina di dalam kesemua Samsung Galaxy S 5 dan Galaxy Gear 2. Kami akan cuba melakukan ulasan kami apabila menerima unit untuk diulas kelak. Anda boleh mencuba demo fungsi Spritz di laman mereka sekarang. Terdapat pilihan kelajuan yang bermula dari 250 patah perkataan seminit. Adakah kelajuan membaca itu penting? Tinggalkan komentar anda di bawah.

spritz01

Sumber Spritz Inc

 

Nota: