(Spekulasi) Telefon Pintar Android Nokia “Normandy” Mungkin Dilancarkan Pada 25 Mac

Nokia “Normandy” merupakan nama kod untuk telefon berasaskan Android daripada pengeluar telefon Nokia. Sehingga kini, pelbagai spekulasi berkenaannya telah kedengaran, dan kini NPU turut berkongsi salah satu spekulasi menarik berdasarkan kepada paparan skrin yang tertiris sebelum ini.

Nokia Normandy Android

Daripada pemerhatian yang dikongsikan NPU, Nokia sebelum ini telah melancarkan pelbagai peranti mereka dengan memaparkan angka siri telefon dan juga tarikh pelancaran mereka. Perkara ini sedia diimplementasikan pada peranti Asha dan juga Lumia mereka sebelum ini.

Sekiranya mengikut corak yang sama, maka mungkin kita akan melihat Nokia “Normandy” ini dilancarkan pada 25 Mac kelak, dan akan menggunakan angka siri “1045″. Sama ada ia akan menggunakan nama Asha atau apa-apa yang baru masih menjadi spekulasi.

Namun, pada masa yang sama, ramai juga turut mengatakan Nokia mungkin tidak akan melancarkannya memandangkan ia mungkin memberikan persaingan kepada peranti Windows Phone dari Microsoft – apatah lagi dengan pengambil-alihan bahagian peranti Nokia oleh Microsoft.

Sekiranya benar pihak Nokia melancarkan peranti Android, mungkin ia diubah sedikit sebanyak, dan mungkin juga kita akan dapat melihat integrasi perkhidmatan Microsoft pada peranti mereka.

Apa pun, sama-sama kita nantikan sama-ada Nokia benar-benar akan melancarkannya ataupun sebaliknya.

Nota: