Antara realiti sadis yang harus kita akui di zaman moden ialah kita semua dahagakan tenaga elektrik bagi menguasai peranti pintar yang dimiliki. Kami mengaku memilih restoran tempat mahu makan tengahari berdasarkan wujud ataupun tidak palam elektrik bagi mengecas telefon dan komputer riba. Dianggarkan 10% keperluan tenaga dunia sekarang digunakan oleh peranti mudah alih dan komputer. Oleh sebab itu alternatif kepada tenaga elektrik yang dijana menggunakan bahan api fosil harus dilakukan segera.
Di Boston pihak berkuasa tempatan mula meletakkan Soofa, tempat duduk awam yang dilengkapi panel solar dan palam elektrik terbina. Buat masa ini ianya masih di dalam proses percubaan dan diletakkan di taman-taman awam. Secara teorinya jika anda menggunakan peranti pintar untuk melihat status kesihatan anda (seperti Endomodo) anda tidak perlu risau ianya kehabisan bateri ketika anda berlari di waktu pagi. Rehat sebentar di tempat duduk berpanel solar ini dan cas peranti anda pada waktu yang sama. Soofa ialah projek yang dicipta oleh Jutta Friedrichs, Sandra Richter dan Nan Zhao yang merupakan bekas pelajar MIT dan Harvard. Selain mempunyai palam elektrik, Soofa juga turut dilengkapi alat pengesan kualiti udara dan pencemaran bunyi. Perancangan jangka panjang Boston ialah meletakkan Soofa di seluruh bandraya ini dan menjadikannya pengumpul tahap pencemaran bandar secara langsung dan berterusan.
Sumber Soofa