Red Hat Enterprise Linux (RHEL), dan CentOS pada hari ini mengumumkan penggabungan di mana CentOS kini menjadi sebahagian dari keluarga Red Hat. Pengumuman tersebut dibuat di mailing list CentOS.
Kira-kira sepuluh tahun dahulu, Red Hat dipecahkan kepada dua iaitu Red Hat Enterprise Linux yang merupakan distro Linux berbayar melalui langganan (pelanggan mendapat akses kepada kemaskini dan juga bantuan teknikal) dan juga Fedora yang merupakan distro Linux yang dibangunkan oleh komuniti. Dengan hadirnya CentOS sebagai distro baru dibawah Red Hat, ini dapat merancakkan lagi arena sistem operasi sumber terbuka pada masa akan datang.
Untuk pengetahuan, CentOS merupakan solusi yang terkenal dikalangan system admin selain Debian dan Ubuntu untuk digunakan sebagai sistem operasi pelayan kerana kematangan distro tersebut serta kestabilan yang ditawarkan olehnya.
Turut diumumkan bersama-sama penggabungan ini ialah CentOS memperkenalkan CentOS Governance iaitu struktur pasukan pembangun yang terdiri daripada 8 – 11 pembangun utama yang menyelia pembangunan CentOS, serta Special Interest Groups (SIGs) iaitu pasukan pembangun yang memfokuskan kepada kunci lapangan tertentu seperti penterjemahan, infrastruktur awan, dokumentasi, dan lain-lain.
Penggabungan ini turut mengumumkan satu lagi berita yang sangat menarik ialah keterdapatan CentOS Variants iaitu projek bagi membangunkan CentOS yang khusus untuk tujuan tertentu, seperti CentOS yang khas untuk tujuan shared webhosting, teknologi ARM, teknologi awan, dan lain-lain.