Pilihanraya: Rakyat Malaysia perlu 10 tahun lagi ke depan untuk faham apa PH cuba buat

Tidak mudah menjadi kerajaan. Walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendakwa mereka mempunyai hasrat yang muluk-muluk untuk dicapai, kelihatan rakyat lebih utamakan “roti dan nasi”.

Antara yang cuba dicapai kerajaan PH, seperti diuar-uarkan, ialah membanteras rasuah, mewujudkan kebebasan bersuara, mereformasi institusi dan memberi keadilan undang-undang serta keadilan ekonomi sama rata untuk pelbagai golongan.

Komuniti cerdik pandai di mana-mana penjuru dunia tentu mengakui semua hasrat yang cuba dilaksanakan itu adalah sangat baik dan patut disokong.

Namun, bagaimana penerimaan majoriti rakyat dan pengundi di Malaysia?

Mulut dan perut!

Berdasarkan pengamatan penulis, majoriti pengundi negara ini lebih mementingkan “mulut dan perut”.

“Jika kamu sebagai kerajaan tidak mampu menyelesaikan masalah asasi rakyat, termasuklah soal harga barang dan bahan api, jangan ceritalah pasal kebebasan bersuara, mereformasi institusi dan memberi keadilan sosial.”

Seolah-olah begitulah penerimaan rakyat setakat ini terhadap apa yang dicanangkan oleh kerajaan PH untuk dilaksanakan di negara ini.

Ketika rakyat “masih tidak cukup makan” dan “sangat pelahap pada subsidi itu dan subsidi ini”, jangan ceritalah berkenaan pelbagai perkara yang muluk-muluk. Ia akan diremehkan.

Ketika sebahagian rakyat masih miskin dan “lapar duit”, janganlah cuba-cuba menjual “ayam organik” dan “sayuran organik” konon dengan janji “kamu akan lebih sihat serta terhindar daripada penyakit”.

Rakyat perlu menyesuaikan pendapatannya dengan keperluan asas dahulu, bukan perkara-perkara lain yang pada pertimbangan mereka boleh ditangguhkan.

Kenyang dahulu, kesihatan kemudian

Rakyat lebih pentingkan untuk kenyang dahulu, bukan “ayam organik” dan “sayuran organik” yang mahal-mahal walaupun makanan murah itu mungkin mendedahkan mereka kepada penyakit kronik dan kematian.

“Jika nak sakit pun, sakitlah. Jika nak mati pun, matilah. Itu kemudian. Apa yang penting sekarang ialah aku sedang lapar dan perlu kenyang dahulu. Soal sihat dan panjang umur, itu kita cerita kemudian.”

Seolah-olah begitulah apa yang cuba disampaikan oleh sebahagian pengundi kepada kerajaan yang ada sekarang.

Rakyat masih “lapar”

Jika apa yang cuba dicapai kerajaan PH sekarang dikemukakan kepada rakyat negara maju yang tahap ekonomi penduduknya sudah melepasi tahap ekonomi matang, ia mungkin diterima dengan baik dan mendapat sokongan padu.

Namun, apabila semua yang muluk-muluk itu cuba disampaikan kepada rakyat yang masih “lapar”, kerajaan berkenaan mungkin perlu tidak sedikit kebijaksanaan.

Mungkin rakyat Malaysia, sekurang-kurangnya memerlukan 10 tahun lagi ke depan untuk faham apa yang kerajaan PH cuba buat dan baru boleh memberikan sokongan padu tanpa soal! – inimajalah.com

 

Nota: