Dua lagi peranti boleh pakai yang mensasarkan golongan pengguna aktif bersukan dilancarkan hari ini. Huawei Band 2 dan Band 2 Pro kedua-duanya dilengkapi pengimbas nadi dan kemampuan kalis air sehingga 5 atmosfera.
Tubuh Huawei Band 2 dan Band 2 Pro diperbuat daripada besi tahan karat manakala bahagian tali diperbuat daripada TPU. Skrin pula menggunakan teknologi PMOLED. Selain mengesan nadi, pengesan kecergasan ini turut boleh menjejak pola tidur pemakai. Band 2 Pro mempunyai dua fungsi tambahan iaitu GPS terbina serta pengimbas tahap serapan oksigen VO2Max.
Bateri sebesar 100 mAh yang disertakan mampu memberikan tahap penggunaan sehingga 21 hari. Tiga warna ditawarkan iaitu hitam, biru dan merah. Tiada maklumat mengenai tarikh dan harga jualan setakat ini.