Najib makin popular: Pemikiran politik rakyat Malaysia pelik dan sukar difahami?

Hari ini tular berita mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima sambutan hangat di sebuah pasaraya di Semenyih, Selangor.

Ini berlaku ketika pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih baru memasuki fasa awal.

Hampir semua tahu Najib sedang menghadapi pelbagai tuduhan di mahkamah. Malah, rakyat Malaysia sudah didedahkan dengan banyak benda yang dikaitkan dan ditohmahkan sebagai salah laku bekas perdana menteri itu.

Benar. Najib belum dibuktikan bersalah. Prinsip keadilan “tidak bersalah hingga dibuktikan bersalah” tetap terpakai.

Pemikiran politik rakyat negara maju

Namun, di negara yang majoriti rakyatnya cerdik dan terpelajar, jika pemimpin terpalit tohmahan dan tuduhan sebegini, yang sebahagiannya ditonjolkan “petunjuk kuat tetapi belum terbukti di mahkamah”, sudah tentu pemimpin terbabit bukan sahaja “dinyahkan” dari tampuk kuasa, malah popularitinya jatuh merudum.

Tiada lagi ruang untuknya kembali  mendapat kepercayaan rakyat, jauh sekali diminati pengundi.

Ini biasanya berlaku di negara yang rakyatnya terpelajar serta cerdik dan majoriti penduduk pula bukan beragama Islam.

Malaysia: Pelik tetapi benar

Apa yang berlaku di Malaysia yang majoriti rakyat beragama Islam adalah sebaliknya.

Pemimpin yang dikaitkan dengan tuduhan berat dan pelbagai tohmahan seperti ini, masih mendapat kepercayaan dan diminati pengundi.

Malah, Najib kini makin popular serta menjadi ikutan ramai di Internet.

Sebahagian besar warga Internet atau netizen kembali mengagumi dan menggilai bekas pemimpin ini.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada mereka yang kembali mengagumi dan meminati Najib ini terdiri daripada penyokong asal Umno atau tidak.

Dapatan baru sains politik

Barangkali, jika ada sarjana dan pengkaji sains politik tersohor dari mana-mana penjuru dunia, termasuklah dari negara maju yang mahu mencari dapatan (finding) baru dalam ilmu sains politik, mereka perlu datang membuat kajian di Malaysia.

Ada kepelikan nyata di dalam saraf otak pengundi di Malaysia!

Kebetulan, Malaysia memang sudah sedia terkenal dengan banyak kepelikan setakat ini.

Hatta ketika semua kes kapalterbang hilang di serata dunia ditemui semula, pesawat Malaysia yang hilang, waima sebutir skru pun tidak dijumpai.

Sangat pelik lagi ajaib Malaysia bossku! – Inimajalah.com

Nota: