Pandang Pertama : Xiaomi Mi 6

Xiaomi Mi 6
Skrin5.15-inci
PemprosesSnapdragon 835 10nm
Memori6GB RAM
Storan64GB/128GB
Kad Mikro-SDTiada
Kamera Utama12MP+12MP
Kamera Depan8MP
Air?Kalis Percikkan Air
Bateri3350 mAh
Bicu AudioTiada
LainNFC, USB-C, IR, Bluetooth 5.0

Dengan persaingan sengit dalam arena telefon pintar, pada hari ini, kebanyakkan telefon pintar boleh dikatakan menyerupai antara satu sama lain – dan spesifikasi serta harga menjadi salah satu titik utama dalam pengguna membuat pilihan untuk membeli peranti pintar yang akan berada di sisi mereka hampir sepanjang hari setiap hari.

Dalam arena persaingan harga dan spesifikasi, salah satu jenama yang sukar ditewaskan ramai adalah Xiaomi. Mereka sering menjadi antara terawal menggunakan cip pemprosesan berspesifikasi tinggi, dan kini melalui Xiaomi Mi 6, pengeluar China ini menjadi antara terawal menggunakan cip Snapdragon 835.

Cip Snapdragon 835 sendiri mempunyai pelbagai kelebihan, termasuk menggunakan rekaan 10nm yang menawarkan prestasi pemprosesan sangat baik, tetapi menggunakan tenaga dengan efisyen. Ini secara tidak langsung menawarkan kuasa pemprosesan tinggi, tetapi tidak menggunakan tenaga bateri seperti cip pemprosesan sebelum ini.

Xiaomi Mi 6 bukanlah peranti pertama yang menggunakannya, tetapi mereka menjadi pengeluar China pertama yang mengimplementasi cip berkenaan dan mula memasarkan produk mereka. Sebelum ini, Samsung telah menggunakan cip sama pada Galaxy S8 tetapi hanya dipasarkan di beberapa negara terpilih, sementara Sony telah mengumumkan penggunaan cip berkenaan, tetapi masih belum mula menjual peranti berkenaan.

Melengkapkan penggunaan cip Snapdragon 835 pada telefon ini adalah memori 6GB RAM. Dengan gabungan kedua-duanya, Xiaomi sendiri mengelarkan peranti ini sebagai peranti berkuasa tinggi di pasaran pada hari ini. Ia menjadikan telefon pintar ini bukan sahaja sesuai untuk pelbagai tugasan pemprosesan berat, tetapi turut menawarkan penggunaan multimedia yang sangat baik. Malah, penggunaan GPU pada telefon pintar ini menyokong Vulkan 3D yang mana menjadi salah satu piawaian utama untuk kegunaan multimedia pada hari ini.

Xiaomi Mi 6

Rekaan

Dipegang pada tangan, Xiaomi Mi 6 dengan skrin bersaiz 5.15-inci ini sangat selesa. Ini mungkin kerana penggunaan rekaan kerangka yang sedikit melengkung dibelakang, menjadikan ia selesa untuk digunakan – dan bingkai tepinya juga tidak tajam. Ia juga menggunakan skrin yang tidak begitu melengkung seumpama Mi Note 2 sebelum ini – membuatkan kosnya adalah rendah, dan pengguna juga tidak perlu risau akan terjatuh dan merosakkan peranti berkenaan.

Xiaomi Mi 6Walaubagaimanapun, salah satu perkara yang kami kurang gemari untuk penggunaan bahan rekaan telefon pintar ini adalah dimana kerangka belakangnya sangat mudah untuk memerangkap cap jari. Ini membuatkan anda perlu sering mengelapnya, dan menggunakan ia tanpa mengelap untuk tempoh yang lama mungkin menjadikan peranti anda kelihatan kotor. Namun, perkara ini boleh diatasi dengan mudah, iaitu membeli dan menggunakan kerangka luaran tambahan.

Xiaomi juga menyertakan pengimbas cap jari pada bahagian hadapan peranti ini, yang turut digunakan sebagai butang “Home”. Disamping itu, Xiaomi Mi6 turut menyertakan pelbagai integrasi lain seperti penggunaan NFC untuk kegunaan bayaran di China melalui Mi Pay (atau turut digunakan untuk pemindahan data dan sebagainya), selain penyertaan IR Blaster untuk mengawal peralatan elektronik seperti televisyen, penghawa dingin dan sebagainya.

Xiaomi Mi 6

Dengan rekaan melengkung dan berbentuk simetri, pihak Xiaomi juga mengambil langkah untuk mengikut salah satu jejak Apple pada tahun lepas, iaitu membuang bicu audio 3.5mm. Dengan ini, pengguna perlu mendapatkan fon telinga berasaskan USB-C untuk mendengar lagu melaluinya – atau memilih untuk mendengar lagu melalui speaker stereo yang disertakan pada telefon pintar ini. Langkah ini agak mengejutkan bagi kami, kerana Xiaomi tidak mengumumkan sebarang aksesori audio mereka dengan penggunaan sambungan USB-C lanjutan daripada pengenalan telefon pintar Xiaomi Mi 6 ini. Mungkin aksesori seumpamanya akan hadir dalam beberapa bulan lagi. Kami kurang pasti berkenaan apakah fon kepala yang disertakan bersama pada kotak jualan telefon pintar Xiaomi Mi 6 ini – sama ada sebuah fon kepala dengan sambungan USB-C, atau sekadar penyertaan dongle 3.5mm ke USB-C.

Kamera

Pada hari ini, selain spesifikasi yang tinggi, salah satu ciri yang turut menjadi perhatian pengguna adalah sokongan kamera untuk rakaman gambar depan mahupun belakang. Untuk tujuan ini, Xiaomi dilihat mengambil inspirasi daripada Apple, dan menggunakan kamera belakang dengan gabungan 12MP+12MP.

Xiaomi Mi 6

Sama seperti Apple, Xiaomi Mi 6 ini menawarkan ciri rakaman gambar berbentuk potrait, selain integrasi zoom optikal sehingga 2x.

Untuk gambar berbentuk potrait, pengguna boleh merakamkan gambar orang atau objek dengan bahagian latar yang dikaburkan. Ini menjadikan gambar yang dirakamkan lebih cantik, selain memudahkan sesuatu objek difokuskan ketika ia dikongsikan di laman sosial.

Untuk sokongan zoom optikal pula, pengguna boleh menggunakan kebolehan rakaman gambar yang lebih jelas dengan lebih dekat berbanding peranti mudah-alih lain. Disamping itu, sokongan zoom digital juga ditawarkan pada telefon pintar ini untuk rakaman gambar yang lebih dekat berbanding biasa – tetapi mungkin sedikit data rakaman tidak begitu jelas seumpama zoom optikal.

Xiaomi Mi 6

Kami belum mencuba kebolehan rakaman Mi 6 pada keadaan cahaya cerah ataupun malap. Tetapi, daripada gambar yang dikongsikan pihak Xiaomi – hasilnya kelihatan cantik, dan mungkin membuatkan pengguna jatuh cinta dengan kamera peranti ini pada harga yang ditawarkan mereka ini.

Penutup

Xiaomi melalui Mi 6 dilihat ingin memfokuskan kepada penawaran peranti berspesifikasi tinggi dan kamera yang baik, pada harga sangat rendah berbanding pelbagai pesaing lain. Tiada ciri-ciri berbentuk “hiasan” yang ditambah yang mana digunakan oleh pengguna hanya beberapa kali sahaja, tetapi sebaliknya Xiaomi menyertakan MIUI, serta kuasa pemprosesan yang tinggi. Ia turut menyertakan bateri bersaiz besar – dan secara teknikalnya, dengan penggunaan cip 10nm, tidak mustahil ia menawarkan penggunaan sehingga lebih sehari.

Xiaomi Mi 6

Buat masa ini, Xiaomi hanya mengumumkan penawaran telefon pintar ini untuk pasaran China sahaja, tetapi tidak mustahil untuk kita turut melihat ia dipasaran tempatan dalam masa beberapa bulan lagi.

Sekiranya Xiaomi mengekalkan harga jualan dengan perbezaan yang tidak begitu jauh daripada China, maka mungkin kita melihat model asas dengan Snapdragon 835, 6GB RAM dan ruangan storan 64GB dijual pada harga sekitar RM1600-RM1700 di Malaysia – salah satu harga yang sangat kompetitif jikalau dibandingkan dengan pelbagai peranti mudah-alih lain dengan spesifikasi seumpamanya pada harga melangkaui RM3,000.

| Artikel penuh

| Muka terdahulu | Tech lain

Nota: