Pandang Pertama : Sony Xperia Z2 Tablet

Xperia Z2 Tablet

Xperia Z2 Tablet
PemprosesSnapdragon 801 2.3GHz
RAM3GB
Muatan Dalaman16GB
Kamera8.1-MP Belakang, 2.2-MP Depan
Skrin10.1-inci 1200×1920 pixel
Bateri6000 mAh

Sony Mobile pada minggu lepas telah memperkenalkan tablet 10-inci mereka yang terbaru, dipanggil Xperia Z2 Tablet, dan pada minggu ini mereka telah memperlihatkannya untuk para media di Asia Tenggara.

Sony Xperia Z2 Tablet merupakan kemaskini kepada tablet Xperia yang diperkenalkan pada tahun lepas, dan masih mengekalkan saiz skrin 10-inci, dan dilengkapi dengan sokongan kalis air dan debu.

Rekabentuk

Sony Xperia Z2 Tablet mengekalkan rekabentuk yang nipis dan ringan, dimana Sony mengelarkannya sebagai tablet kalis air yang paling nipis dan ringan di dunia.

Ia mengekalkan rekaan ikonik daripada Sony, dimana menggunakan butang kuasa ikonik, selain rekaan premium seperti mana pada telefon pintar mereka yang lain.

Untuk skrin, ia dilengkapi dengan sokongan paparan HD penuh dan menggunakan teknologi paparan Triluminos. Sony turut menyertakan sokongan Live Colour LED yang menawarkan paparan yang amat jelas pada sebarang keadaan cahaya persekitaran.

Selain daripada skrin, pihak Sony turut memberikan perhatian kepada sokongan audio. Xperia Z2 Tablet menyertakan sokongan audio Sony Front Surround – sekaligus menawarkan sokongan audio yang baik untuk pelbagai bentuk kegunaan multimedia. Sony turut menyertakan sokongan Digital Noise Cancelling bersama-sama dengan tablet ini, dan mengurangkan gangguan audio apabila digunakan bersama-sama headset khusus untuknya.

Perisian

Xperia Z2 Tablet ini dilengkapi dengan Android 4.4 KitKat, dan menggunakan antaramuka khusus daripada Sony. Sony turut menyertakan beberapa aplikasi khusus mereka seperti PlayStation Mobile, Music Unlimited dan juga Walkman. Namun, sebahagian daripadanya tidak boleh digunakan oleh pengguna di Malaysia.

Xperia Z2 Tablet

Disamping itu, pihak Sony turut menyertakan fungsi “Whats New”, yang mana membolehkan pengguna mengetahui pelbagai kandungan baru – dari segi permainan, muzik, gambar dan sebagainya dari semasa ke semasa.

Seperti biasa, pengguna turut boleh memuat-turun pelbagai aplikasi dari Google Play Store, tetapi boleh dikatakan kebanyakkannya tidak dioptimasikan untuk paparan tablet.

Kamera dan Spesifikasi

Menggunakan kamera pada tablet masih agak janggal, namun pihak Sony tidak meninggalkan perkara tersebut, dan menggunakan kamera 8.1-megapixel dengan sokongan Exmor RS pada tablet ini.

Sokongan pelbagai fungsi kamera – seperti pada telefon pintar turut disertakan pihak Sony pada tablet ini, disamping melengkapkannya dengan kamera 2.2-megapixel untuk panggilan video.

Dari segi spesifikasi, Xperia Z2 Tablet boleh dikatakan sebagai tablet dengan spesifikasi yang tinggi – menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 801 2.3GHz, memori 3GB RAM, dan dilengkapi sokongan 4G LTE.

Aksesori Untuk Kegunaan Pejabat Dan Multimedia

Selain hanya menggunakan tablet untuk tujuan multimedia, pihak Sony turut melengkapkan tablet berkenaan dengan pelbagai aksesori – termasuk sebuah papan kekunci berasaskan Bluetooth untuk memudahkan menaip dokumen dan sebagainya. Pihak Sony menyertakan aplikasi OfficeSuite Pro 7 bersama-sama dengan tablet ini untuk tujuan tersebut.

Selain daripada itu, pihak Sony turut memperlihatkan sebuah aksesori khas yang membolehkan tablet berkenaan didirikan, dan digunakan menikmati kandungan multimedia dengan lebih menarik.

Xperia Z2 Tablet

Penutup

Daripada penggunaan kami untuk seketika, tablet ini dilihat amat ringan di tangan, malah turut sesuai untuk penggunaan sebelah tangan. Memandangkan ia menggunakan butang atas-skrin, maka tiada sebarang masalah dihadapi apabila digunakan secara menegak atau melintang – berbeza dengan tablet Samsung.

Sokongan mikro-SD juga turut membolehkan pengguna menambah storan tambahan untuk menyimpan filem, lagu dan buku digital pada tablet ini.

Bagi sesetengah pengguna, mungkin saiz tablet 10-inci ini agak besar seperti untuk membaca buku digital dan sebagainya. Apa pun, dari segi penggunaan multimedia dan bagi mereka yang inginkan sebuah tablet untuk tujuan penggunaan pejabat secara ringkas – mungkin tablet ini agak sesuai.

Nota: