Pandang Pertama – Motorola Moto G

 

Motorola Moto G ialah peranti kelas pertengahan yang disasarkan kepada golongan yang kurang mampu memiliki telefon berspesifikasi tinggi. Moto G yang diperkenalkan November tahun lalu cuba memecahkan stereotaip bahawa peranti Android murah mempunyai kemampuan yang mengecewakan.

Motorola Moto G
Pemproses1.2 GHz Empat Teras Snapdragon 400
RAM1 GB
Muatan Dalaman8/16 GB tiada sokongan kad MikroSD
Kamera5 MP utama/ 1.3 MP hadapan
Skrin4.5″ LCD IPS/ 720 P
Bateri2070 mAh
Harga RM 689 /8B. RM 798 /16 GB

Motorola Moto G diperkasakan dengan pemproses 1.2 GHz empat teras Snapdragon 400, 1 GB RAM, muatan dalaman 8/16 GB, kamera utama 5 megapixel dengan flash dan kamera hadapan 1.3 megapixel.  Skrin Moto G ialah skrin IPS LCD sebesar 4.5″ dengan resolusi 720p. Peranti ini tidak mempunyai sokongan NFC , kad MickroSD atapun 4G.

Apakah yang anda perolehi apabila membeli peranti ini? Di dalam kotak terdapat seunit Moto G, sebuah pengecas dan fon telinga. Fon telinga  ialah dari jenis fon telinga klasik dan bukannya jenis ear bud yang kami kurang senangi kerana terasa seperti telinga dikorek ketika digunakan. Ia juga dilengkapi sebuah butang yang membolehkan anda menggunakan fon telinga ini sebagai kit bebas tangan. Bercakap mengenai kit bebas tangan, mengapa sejak kebelakangan ini pengeluar peranti berhenti mengeluarkan fon telinga yang merangkap kit bebas tangan? Kami sedari Nokia, Samsung dan HTC kesemuanya hanya menyertakan fon telinga biasa tanpa kemampuan kit bebas tangan terbina (hanya sesetengah model diberikan kit ini. Pada peranti kelas pertengahan biasanya ia tidak disertakan). Hanya 5 tahun yang lalu kit bebas tangan adalah aksesori standard yang dibekalkan kepada setiap pembeli telefon mudah alih. Adakah ini konspirasi untuk memaksa pengguna membeli kit bebas tangan secara berasingan dan berbelanja lebih? Tahniah Motorola kerana mengembalikan semula fon telinga dengan kit bebas tangan terbina. Anda tidak tamak. Masih memikirkan pengguna yang enggan berbelanja lebih untuk aksesori tambahan. Ini seharusnya dipuji.

 

Dari segi fizikal peranti ini mempunyai kemasan yang mengingatkan kami kepada peranti candybar Nokia. Tiada sentuhan logam pada sisi dan panel plastik berwarna pada bahagian belakang mengingatkan kami kepada telefon Nokia 2330 yang kami gunakan sebagai telefon kecemasan sekiranya berlaku apokalips zombie kelak. Panel cangkerang plastik ini boleh dibeli dalam 5 pilihan warna iaitu merah, cyan, putih, biru dan hijau limau nipis bagi membolehkan pemilik Moto G mengubah warna peranti dengan mudah. Terdapat juga kerangka berbentuk folio bagi mereka yang sukakan kerangka yang menutup skrin hadapan ketika tidak digunakan. Tidak seperti kerangka Galaxy Note, kerangka folio ini tidak mempunyai tetingkap yang membolehkan anda melihat skrin apabila tertutup. Ia juga bukan magnetik yang secara automatis menyahkunci peranti apabila penutup dibuka. S

ekali lagi ini memberikan kami nostalgia memiliki 3310 yang merupakan antara peranti pertama membenarkan pemilik menukar rupa peranti mengikut kehendak mereka. Rekaan ini mungkin sengaja dilakukan Motorola kerana mahu menarik minat pengguna feature phone yang sedia ada untuk membeli sebuah telefon pintar.

SmallKeyboardM1650001

Butang kuasa dan suara terletak pula pada bahagian kanan dan kedua-dua butang ini juga diperbuat daripada plastik. Terdapat sebuah jack fon telinga pada bahagian atas dan port USB 2.0 pada bahagian bawah.  Akhir sekali terdapat sebuah pembesar suara pada bahagian belakang bersebelah lensa kamera.

Antaramuka

Moto G menggunakan sistem operasi Android 4.3 dengan kustomasi yang minima daripada Motorola. Penambahan fungsi yang dilakukan sangatlah minima dan bolehlah dikatakan Moto G ialah sebuah peranti Google Play Edition. Setakat ini yang kami sedari kustomasi paling ketara ialah pada aplikasi kamera yang tidak menggunakan antara muka Android Vanilla. Mengapa perubahan ini dilakukan adalah agak membingungkan. Kenapa tidak kekalkan sahaja kamera stock Android yang mempunyai tetapan dan pilihan kawalan yang lebih baik? Ketika artikel ini ditulis Motorola baru sahaja mengumumkan versi GPE Moto G akan dijual di Amerika Syarikat. Jika kami pemilik peranti ini kami tak sabar untuk memuat turun ROM GPE kedalam Moto G kami. Ini lebih menyenangkan dan memastikan kami mendapat versi terkini sistem operasi Android.

Moto GM1770001

Sekian sahaja pandang pertama Motorola Moto G daripada kami hari ini. Untuk ulasan lebih mendalam nantikan kemunculannya minggu hadapan. Apa yang boleh kami katakan buat masa ini Moto G ialah sebuah peranti yang memberikan gambaran pertama yang baik bagi sebuah peranti yang bolehlah dikatakan murah. Jika kami dibenarkan menggunakan analogi di pagi ini kami akan mengatakan Moto G ialah kangkung yang murah. Kangkung digemari insan marhaen dan kebanyakan walaupun tidak segah wain Chateau Mormont. Ini membuatkan kangkung diperlekeh golongan borjuis tetapi mereka sebenarnya menipu diri sendiri kerana semasa kecil mereka suka makan kangkung. Analogi ini terlalu hiperbola dan tidak masuk akal. Adalah bagus sekiranya pandang pertama ini diakhiri setakat ini.

SmallKeyboardM1650001

PRO dan Kelebihan
  • Spesifikasi yang amat baik bagi sebuah perati dengan harga mampu milik.
  • Cangkerang belakang yang boleh ditukar dengan mudah bagi mewarnai hidupmu.
  • Skrin yang jelas, terang dan tajam walaupun hanya beresolusi 720p.
  • Akan menerima penambah baikkan 4.4 dalam masa beberapa minggu lagi.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tiada sokongan kad MikroSD, NFC ataupun 4G.
  • Kamera hanya sebesar 5 MP.
Harga Motorola Moto G bermula dari RM689 sebuah .

Nota: