Pandang Pertama Lenovo Moto Z Play

Apabila Moto Z diperlihatkan buat kali pertama Jun yang lalu ramai yang tertarik dengan rekaannya yang premium. Sungguhpun begitu ia sebuah peranti utama dengan harga yang kurang mampu milik. Moto Z Play kemudian dilancarkan di IFA minggu lalu dengan spesifikasi lebih rendah dan harga lebih marhaen. Sungguhpun begitu kesemua aksesori modular Moto Mods yang wujud di pasaran boleh digunakan pada Z Play. Kami berpeluang menggunakan peranti ini di IFA dan berikut ialah pandang pertama kami mengenai Z Play.

Spesifikasi

Lenovo Moto Z Play
Skrin5.5″ SAMOLED 1080P (401 ppi)
PemprosesSnapdragon 625
Cip GrafikAdreno 506
RAM3 Gigabyte LPDDR3
Muatan Dalaman32 Gigabyte (MikroSD sehingga 2 TB)
Kamera Utama16 Megapixel f/2.0, PDAF
Kamera Depan5 Megapixel f/2.2, Flash
Kalis AirLapisan nano tahan percikan
Bateri3510 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/TelefoniDwi SIM Nano
Jalur LTE1/2/3/4//5/7/8/12/17/18/20/28
NFCYa
Infra MerahTiada

Peranti ini dilengkapi skrin 5.5″ SAMOLED dengan resolusi 1080P. Ini ialah pengurangan dari QHD pada Moto Z. Pemproses Snapdragon 625 dipadankan dengan RAM sebesar 3 Gigabyte dan storan 32 Gigabyte. Kepada yang memerlukan penambahan storan, kad MikroSD sehingga 2 Terabyte disokong. Terdapat juga versi 64 Gigabyte tetapi ia hanya diumumkan untuk pasaran China buat masa ini.

Kemampuan optik pula ialah kamera utama 16-Megapixel f/2.0 dengan sistem pemfokusan PDAF. Kamera utama ini mampu merakam video pada resolusi maksimum 4K 30 FPS. Kamera hadapan pula sebesar 5-Megapixel f/2.2 dengan sokongan flash. Kepada yang benci dengan selfie yang gelap, ini pastinya fungsi yang amat diperlukan

Walaupun mempunyai skrin 5.5″, Moto Z Play dilengkapi bateri sebesar 3510 mAh. Ini adalah jauh lebih besar dari 2600 yang digunakan pada Moto Z. Lenovo menegaskan Moto Z Play mampu bertahan sepanjang hari tanpa sebarang masalah. Oleh sebab pengguna bateri yang lebih besar ini, Z Play adalah hampir 2 mm lebih tebal berbanding Moto Z (6.99 vs 5.19 mm) . Sekiranya kehabisan bateri, pengguna tidak perlu risau kerana ia menyokong sistem pengecasan pantas Turbo Power melalui port USB-C.

Selain itu ia turut mempunyai sokongan sistem NFC dan lapisan nano (nano coating) yang membuatkannya kalis percikan air. Berita baik bagi penggemar bicu audio 3.5mm, ianya disertakan pada bahagian bawah peranti. Ini berbeza dari Moto Z asal yang hanya membenarkan output audio menerusi port USB-C. Akhir sekali pada bahagian dagu terdapat sebuah pengimbas cap jari berbentuk segi empat sama. Tidak seperti pada peranti Samsung ataupun Huawei, pengimbas ini tidak boleh ditekan ataupun dilengkapi fungsi tambahan.

Moto Z Play_001

 

Rekabentuk

Lenovo-Moto-Z-Play-tripleTiada perubahan besar dilakukan pada Moto Z Play berbanding Moto Z. Rekabentuk masih sama dan begitu juga dengan saiz. Perbezaan terletak pada panel belakang yang kini diperbuat daripada kaca dan bukan lagi panel logam.

Peranti juga sedikit lebih tebal bagi memuatkan bateri yang lebih besar. Kaca 2.5D digunakan pada skrin hadapan bagi memudahkan pergerakan jari ke sisi peranti. Sisi peranti dibulatkan bagi memastikan keselesaan.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara. Butang kuasa mempunyai tekstur lebih kasar bagi membezakannya dengan dua butang kuasa yang agak kecil. Kami kurang menggemari rekaan butang suara kerana agak kurang selesa untuk digunakan.

Pada bahagian atas terdapat talam untuk dua SIM bersaiz nano dan kad MikroSD. Talam adalah dari jenis hibrid dan hanya satu SIM boleh digunakan sekiranya anda mahu menggunakan kad MikroSD.

Pada bahagian bawah terdapat slot pengecasan USB-C dan bicu audio 3.5mm. Bercakapa mengenai audio, hanya satu pembesar suara mono diletakkan pada bahagian hadapan. Seperti HTC, Lenovo mengorbankan sistem audio stereo pada bahagian hadapan bagi meletakkan sebuah pengimbas jari.

Pengimbas cap jari pada Moto Z Play adalah agak aneh. Ia timbul dari permukaan hadapan peranti dan tidak boleh ditekan. Ia juga berbentuk segi empat tepat dan kelihatan agak canggung pada dagu peranti. Tiada fungsi tambahan untuk menggunakannya sebagai butang kamera atau menatal skrin disertakan. Lenovo terpaksa meletakkan pengimbas jari pada bahagian hadapan kerana panel belakang digunakan sepenuhnya untuk penambahan aksesori modular Moto Mods.

Setakat ini sudah terdapat lima aksesori Moto Mods di pasaran iaitu pembesar suara JBL, bateri tambahan, projektor, Moto Style Cover dan Hasselblad Pure Zoom. Kesemua aksesori ini boleh digunakan oleh Moto Z. Sistem aksesori modular ini ialah yang membezakan peranti keluarga Moto Z dengan peranti lain di pasaran. Tiada skru diperlukan untuk sambungan sebaliknya hanya magnet digunakan. Sambungan magnet ini cukup kuat dan tidak mudah tertanggal. Moto Mods bercantum kepada Moto Z Play menggunakan panel khas 16 pin. Apabila tercantum, kesemua Mods dikenal pasti dengan pantas. Kepantasan adalah perlu kerana sesiap sahaja yang pernah menggunakan aksesori Bluetooth pastinya tahu sistem ini mengambil masa yang lama untuk melakukan tambatan.

 

Antaramuka

Anda sukakan peranti yang kelihatan seperti stock Android? Sekiranya ya, antaramuka Moto Z Play akan menggembirakan anda. Hampir tiada kustomasi diberikan ke atas antaramuka peranti ini. Ini peranti yang paling hampir kepada sebuah Nexus. Ini bermakna tiada sela masa walaupun menggunakan pemproses kelas pertengahan. Aplikasi gendut juga tidak wujud kerana Lenovo menggunakan aplikasi Google sebagai aplikasi default.

Pelancaran dan penukaran aplikasi dapat dilakukan dengan pantas. Aplikasi dilancarkan hampir sekelip mata. Kami sempat mencuba Moto Z dan kami langsung tidak dapat menemui perbezaan diantaranya dan Moto Z Play dari segi kelancaran serta kepantasan. Lenovo/Motorola baru sahaja dinobatkan sebagai pengeluar yang paling pantas memberikan kemas kini kepada peranti bagi peranti bukan Nexus. Apabila melihat antaramuka peranti Moto Z, kami yakin ini akan berterusan.

Tetapi ini tidak bermakna Lenovo tidak menyertakan sebarang fungsi tambahan. Melalui aplikasi khas Moto beberapa fungsi menarik yang tidak wujud pada Android stock disertakan seperti di bawah.

Moto Display – Berinteraksi dengan notifikasi peranti tanpa menyentuh skrin. Peranti akan mengesan pergerakan tangan dan memaparkan notifikasi yang diterima secara automatik.

Moto Actions –

  • Chop – Melancarkan lampu suluh dengan membuatkan pergerakan memotong sebantak dua kali.
  • Twist – Memusing peranti menggunakan pergerakan pergelangan tangan sebanyak dua kali untuk melancarkan kamera.
  • Swipe – Mengecilkan skrin peranti untuk mod sebelah tangan dengan mentatal dari bawah skrin ke atas.
  • Wave – Menantikan penggera dengan lambaian tangan tanpa menyentuh skrin
  • Angkat – Menjawab panggilan telefon secara automatik apabila ia diangkat dari permukaan meja.

Moto Voice – Mengawal peranti dengan sistem kawalan suara.

Moto Assist – Automasi peranti yang mengesan situasi anda. Ketika memandu mod ini akan memberitahu siapa yang melakukan panggilan tanpa perlu melihat skrin. Ketika mesyuarat ia akan memadamkan notifikasi dan nada dering

Moto-Z-Play-UI1

Moto-Z-Play-UI2Moto-Z-Play-UI3Kesimpulan

Kepada yang tidak mahu berbelanja lebih tetapi mahukan rekaan Moto Z, Moto Z Play ialah alternatif yang menarik. Skrin SAMOLED 5.5″ yang digunakan amat terang dan tajam walaupun hanya pada resolusi 1080P. Pemproses Snapdragon 625 yang digunakan mungkin jatuh ke dalam kategori pertengahan tetapi adalah cukup berkuasa untuk kegunaan harian. Kami tidak menyedari sebarang masalah sela masa atau aplikasi terhenti ketika mencubanya di reruai Lenovo. Kekuatan utama Moto Z Play ialah rekaan. Kerangka logam dengan panel kaca pada bahagian belakang amat cantik untuk dipandang. Sisi bulat pula amat selesa dipegang. Ia mungkin lebih tebal berbanding Moto Z tetapi ini bukanlah masalah bagi kami.

Kekurangan yang ada ialah panel kaca peranti ini memerangkap cap jari seperti magnet berkuasa tinggi. Tambahan lagi lensa kamera yang terkeluar dengan agak ketara sehingga peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Oleh itu penggunaan panel belakang boleh ganti Moto Style Shell adalah perlu. Apabila di pasang bonjol kamera ini tidak lagi kelihatan.Kami difahamkan sebuah Moto Style Shell akan disertakan dengan setiap pembelian.

Moto Z Play_003

Ciri paling menarik pastinya penggunaan sistem operasi hampir stock dengan penambahan yang amat sedikit dari pihak Lenovo. Aplikasi Moto yang disertakan menyertakan pelbagai fungsi tambahan seperti melancarkan kamera dengan pantas serta memaparkan notifikasi tanpa menyentuh peranti. Ketiadaan aplikasi gendut juga adalah bonus.

Moto Z Play menyokong kesemua Moto Mods yang dihasilkan Lenovo. Pengguna boleh memilih untuk menambah modul bateri tambahan, pembesar suara JBL, projektor ataupun kamera Hasselblad secara berasingan. Di IFA Lenovo Moto Z ialah peranti yang paling menarik perhatian kami kerana kombinasi spesifikasi yang baik, perisian yang lancar, bateri yang besar serta aksesori tambahan modular. Lenovo Moto Z Play dijual pada harga € 499 (~RM 2270) yang akan memasuki pasaran Malaysia dalam masa terdekat.

 

| Artikel penuh | Tech lain


Widget not in any sidebars

Nota: