Pandang Pertama Huawei Nova Plus – Peranti Pertengahan Dengan Rekaan Premium

Dua peranti Huawei Nova dilancarkan di IFA minggu ini dan Nova Plus ialah peranti kedua yang diperlihatkan. Agak aneh sekali sungguhpun berkongsi nama, rekaan Nova Plus dan Nova amat jauh berbeza. Sekiranya anda mempunyai perasaan Dejavu selepas melihat peranti ini kami tidak akan menyalahkan anda. Sebenarnya “Nova Plus” telah dilancarkan beberapa minggu yang lalu di China sebagai Huawei G9. Ya, kedua-dua peranti ini adalah peranti yang sama cuma diberikan nama baru untuk pasaran antarabangsa. Berikut ialah pandangan pertama kami untuk Nova Plus

Spesifikasi

Huawei Nova Plus
Skrin5.5″ IPS LCD 1080P (401 ppi)
PemprosesSnapdragon 625
Cip GrafikAdreno 506
RAM3 Gigabyte LPDDR3
Muatan Dalaman32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama16 Megapixel f/2.0, OIS
Kamera Depan8 Megapixel
Kalis AirTidak
Bateri3340 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/TelefoniDwi SIM Nano
Jalur LTE1/2/3/4/5/7/8/12/17/20
NFCTiada
Infra MerahTiada

Skin 5.5″ IPS LCD dengan resolusi 1080P digunakan. Pemproses kelas pertengahan Snapdragon 625 yang digunakan pada Huawei Nova turut ditemui pada peranti ini. Ini dipadankan dengan RAM sebesar 3 Gigabyte dan storan 32 Gigabyte. Kad MikroSD sehingga 128 Gigabyte disokong bagi mereka yang memerlukan storan tambahan. Ini sekali lagi adalah spesifikasi yang sama dengan Huawei Nova.

Kemampuan optik pula ialah kamera utama 16-Megapixel f/2.0 dengan sistem pemfokusan PDAF dan OIS. Kamera selfie pula sebesar 8-Megapixel. Kamera utama Nova Plus mampu merakam video pada resolusi maksimum 4K pada tetapan 30 FPS.

Bateri sebesar 3340 mAh membekalkan kuasa kepada peranti dan menyokong pengecasan pantas 5V/2A melalui port pengecasan USB-C. Ini bermakna ia mengecas mengikut standard QuickCharge 2.0 Qualcomm. Pemproses Snapdragon 625 menyokong sistem pengecasan QuickCharge 3.0 tetapi nampaknya ia tidak disokong peranti ini. Buat masa ini setahu kami HTC One A9 adalah satu-satunya peranti kelas pertengahan yang menyokong QC 3.0

Sebuah pengimbas cap jari berbentuk empat segi dengan bucu bulat terletak pada bahagian belakang peranti. Sistem imbasan 3D disokong bagi meningkatkan tahap keselamatan peranti. Ia bukan sahaja membaca alur cap jari pengguna malahan mengesan tahap keadalaman setiap alur bagi mengelakkan penggunaan cap jari palsu. Seperti majoriti peranti keluaran Huawei, pengimbas cap jari bukan sahaja boleh menyahkunci peranti tetapi turut diberikan beberapa fungsi tambahan yang akan kami sentuh pada bahagian antaramuka di bawah.

Huawei Nova Plus_002

Rekabentuk

Huawei Nova Plus_004Seperti yang kami katakan pada awal artikel ini, Nova Plus dilancarkan sebagai G9 Plus di China. Rekaannya amat berbeza dari Nova yang lebih menghampiri sebuah Nexus 6P.

Keseluruhan peranti diperbuat daripada logam dengan panel  belakang yang melengkung bagi memberikan keselesaan ketika memegangnya. Kaca 2.5D digunakan pada panel hadapan mengikut trend semasa.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam. Butang suara adalah dari jenis rocker bagi memudahkan ia dibezakan dari butang kuasa dengan hanya sentuhan jari.

Bergerak ke sisi kiri, terdapat talam untuk dua SIM bersaiz nano. Seperti pada Nova, ia dari jenis hibrid dan hanya satu SIM boleh digunakan sekiranya pengguna mahu meletakkan kad MikroSD.

Pada bahagian atas terdapat bicu audio 3.5mm. Akhir sekali pada bahagian bawah terdapat pembesar suara mono dan port pengecasan UBS-C. Tahap kelantangan pembesar suara adalah sederhana. Di dalam bilik pameran di hari pelancaran yang agak bising, kami menghadapi masalah untuk mendengar bunyi yang dihasilkan walaupun pada tetapan audio tertinggi.

Tidak seperti pada Nova, kamera terletak pada bahagian tengah dan sedikit terkeluar dari panel belakang. Ini membuatkannya tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Secara peribadi kami tidak berapa peduli tentang ketebalan peranti asalkan lensa kamera tidak terkeluar. Ini dapat mengelakkan lensa dari tercalar. Huawei boleh melakukannya pada Nova dan P9. Mengapa tidak melakukannya pada Nova Plus?

Secara keseluruhan binaan peranti adalah tegap. Panel belakang walaupun logam tidak memerangkap cap jari dengan mudah. Ia selesa dalam genggaman kerana sisi yang dibulatkan.

 

Antaramuka

Android 6.0 Marshmallow digunakan dengan pelancar EMUI 4.1. Tiada perubahan drastik yang kami sedari pada pelancar yang digunakan pada kesemua peranti Huawei dan Honor tahun ini. Ia masih lagi bukan pelancar yang tercantik di pasaran dan boleh dikatakan sedikit ketinggalan zaman. Tiada elemen Material Design diterapkan dan bagi mereka yang mementingkan estetik, EMUI akan mengecewakan.

Kekurangan rekaan antaramuka sedikit terubat dengan pelbagai fungsi tambahan yang disertakan. Perkara baru yang kami sedari (atau mungkin tidak perasan sebelum ini) ialah fungsi Student Mode. Apakah yang mampu dilakukan dengan mod ini kami terangkan di bawah.

Student Mode – Mengawal tempoh penggunaan peranti oleh kanak-kanak. Pemantauan aplikasi dan laman web yang boleh dilayari juga boleh dilakukan.

App Twin – Menggunakan dua akaun berbeza untuk satu aplikasi. Dua akaun WhatsApp boleh digunakan pada satu peranti.

Knuckle Gesture

  1. Smart Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin mengetuk skrin sesentuh sebanyak dua kali.
  2. Smart Long Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin secara memanjang dengan melukis huruf S pada skrin menggunakan buku lima.
  3. Draw – Melancarkan aplikasi tertentu dengan melakar bentuk tertentu pada skrin yang ditetapkan oleh pengguna. Sebagai contoh huruf “C” untuk melancarkan kamera.

Themes – Mengubah tema antaramuka peranti mengikut mood.

Navigation Bar – Menyusun kedudukan empat butang navigasi di bahagian bawah skrin.

Huawei-Nova-Plus-UI-1Huawei-Nova-Plus-UI-2

Kesimpulan

Nova Plus dan Nova ialah dua peranti kelas pertengahan dengan rekaan lebih premium dari biasa. Dari segi kemasan dan rekaan kedua-duanya tidak mengecewakan. Yang mengecewakan mungkin adalah rekaan Nova Plus yang tidak secantik Nova. Ikhlas kami katakan rekaan Nova walaupun dikitar semula dari Nexus 6P jauh lebih cantik. Kekecewaan sedikit terubat dengan Nova Plus yang lebih selesa dipegang kerana lebih besar. Bagi individu dengan telapak tangan yang besar dan jari yang panjang, skrin 5.5″ Nova Plus adalah lebih serasi dengan kami.

Huawei Nova Plus_003

Spesifikasi tidak banyak berbeza dengan hanya kamera utama dan bateri yang lebih besar digunakan. Terdapat juga sokongan OIS pada kamera utama. Dengan harga jualan € 429 (~RM 1954) ia tergolong di dalam kategori peranti yang mahal. Sekiranya ia memasuki pasaran Malaysia, harga yang lebih kompetitif harus ditetapkan oleh Huawei. Ia kini lebih mahal dari sebuah OnePlus 3 yang mempunyai spesifikasi yang jauh lebih baik.

| Artikel penuh | Tech lain


Widget not in any sidebars

Nota: