Pandang Pertama : HTC Butterfly 2

HTC Butterfly 2 merupakan salah satu telefon pintar terbaru daripada HTC, dimana ia merupakan kemaskini ketiga untuk keluarga Butterfly daripada HTC yang telah dimulakan sekitar tahun 2012 yang lepas.

HTC Butterfly 2

Mengekalkan Rekaan Butterfly

HTC Butterfly 2
Cip PemprosesanSnapdragon 801 2.5Ghz
Memori2GB RAM
Storan16GB + mikroSD
Kamera Belakang13-megapixel BSI + Duo Camera
Kamera Depan5-megapixel + BSI + HDR
Skrin5.0-inci 1080p
Rangkaian4G LTE
SistemAndroid 4.4.2 + Sense 6.0 KitKat
Bateri2700mAh
KetahananKalis Air dan Debu

HTC mempunyai tiga keluarga peranti, iaitu One, Butterfly dan juga Desire. Dari segi rekabentuk peranti, boleh dikatakan keluarga Butterfly paling konsisten sehingga kini, dimana ia masih mengekalkan skrin bersaiz 5-inci, dan juga bentuk kerangka yang lebih kurang sama.

Apa pun, sekiranya diteliti, pelbagai perubahan disertakan – termasuk dari segi hardware dan juga perisian. HTC Butterfly 2 kini hadir dengan sokongan HTC Duo Camera pada bahagian belakang, disamping dijana menggunakan HTC Sense 6.0 – sama seperti keluarga peranti flagship mereka – HTC One.

Dari segi bahan binaan pula, ia menggunakan bahan berasaskan kepada polikarbonat. Sebanyak tiga variasi warna ditawarkan, iaitu warna merah, putih dan juga biru. Peranti berwarna merah dan biru hadir dengan penggunaan bahan polikarbonat seperti biasa, sementara untuk peranti berwarna putih, ia hadir dengan bahan anti-kotoran. HTC mengatakan yang mana pengguna boleh menghilangkan kesan kotoran dengan mudah, disamping membolehkan warna putih tersebut kekal untuk waktu yang lama tanpa mengalami perubahan.

HTC Duo Camera

Pada HTC One M8 yang diperkenalkan sebelum ini, salah satu perkara yang menjadi tumpuan adalah pengenalan dwi-sensor pada bahagian belakang untuk rakaman gambar yang lebih menarik. Pada HTC Butterfly 2, teknologi sama digunakan pada kamera belakang, sekaligus membolehkan pengguna merakamkan gambar dengan data berkaitan kedalaman (depth). Perkara ini membolehkan gambar yang dirakamkan disunting dalam beberapa bentuk menarik – termasuk menggunakan UFocus untuk mengubah fokus terhadap gambar, selain fungsi 3D yang membolehkan pengguna menghasilkan rakaman yang boleh dilihat dalam bentuk “hampir tiga-dimensi”.

HTC Butterfly 2

Dari segi sensor pula, menggantikan penggunaan Ultrapixel, pihak HTC menggunakan kamera dengan sensor 13-megapixel pada peranti ini. Perkara ini membolehkan gambar dirakamkan pada resolusi lebih tinggi – dan juga mungkin salah satu kaedah pihak HTC untuk mengurangkan sikit kos pengeluaran mereka dari segi penggunaan sensor. Gambar yang dirakamkan menggunakan kedua-duanya mempunyai sedikit perbezaan, dan berbeza mengikut keadaan.

HTC Duo Dibandingkan

HTC Duo Dibandingkan

HTC Duo Dibandingkan

HTC Duo Dibandingkan

HTC Duo Dibandingkan

HTC Duo Dibandingkan

Kalis Air dan Debu

Salah satu kelebihan yang terdapat pada keluarga peranti Butterfly adalah sokongan kalis air. Apa pun, perkara tersebut hilang pada Butterfly S sebelum ini, dan kembali pada Butterfly 2. Pada Butterfly 2, ia hadir dengan sokongan IP57, dimana pengguna boleh menggunakan peranti tersebut pada kedalaman sehingga 1 meter dalam tempoh 30 minit.

HTC Butterfly 2

Menariknya mengenai sokongan kalis-air pada peranti Butterfly 2 adalah dimana ia tidak menggunakan sebarang penutup– seperti pada Galaxy S5 dan juga Xperia Z, sebaliknya segalanya terbuka. Perkara ini sekaligus akan memudahkan pengguna dan tidak menyukarkan serta membawakan bahagian penutup yang bermasalah seperti pada generasi pertama Butterfly sebelum ini.

Namun, hendaklah diambil perhatian, dimana memandangkan ia tidak hadir dengan penutup, maka ia tidak sesuai untuk digunakan dalam keadaan berlumpur.

Fungsi Popular HTC Disertakan – Boomsound, Sense 6.0

Pihak HTC turut menyertakan dan mengekalkan pelbagai fungsi popular mereka pada peranti ini. Antaranya adalah termasuk sokongan Boomsound dengan amplifier – dimana dua speaker diletakkan pada bahagian hadapan peranti untuk membolehkan pengguna menikmati audio yang baik ketika memainkan video atau memainkan permainan. Beberapa negara terpilih juga akan ditawarkan dengan headset khusus daripada JBL bersama-sama peranti ini untuk menikmati audio yang lebih jelas. Sebuah tetapan khusus untuk headset turut disertakan pada peranti ini.

Untuk perisian, ia menggunakan HTC Sense 6.0 – membawakan pelbagai fungsi popular, termasuk antaranya adalah HTC Blinkfeed, Motion Launch (double-tap untuk mengakses peranti, mengakses kamera dengan tekan butang volume, dan sebagainya), serta sokongan Video Highlights dan Zoe.

Penutup

Keluarga Butterfly boleh dikatakan mempunyai penggunanya tersendiri – dan dilihat lebih mendapat hati di kalangan pengguna wanita jikalau dibandingkan dengan peranti HTC One M8.

Dari segi kuasa pemprosesan dan fungsi, boleh dikatakan kedua-dua peranti Butterfly 2 dan juga One M8 menawarkan sokongan yang lebih kurang sama. Dan jikalau mengikut sejarah peranti Butterfly 2 sebelum ini, kita mungkin akan dapat melihat pelbagai kemaskini semasa ditawarkan untuknya tanpa sebarang masalah.

Buat masa ini, pihak HTC masih tidak mengeluarkan komen berkenaan harga peranti ini untuk pasaran tempatan. Tidak mustahil sekiranya ia diletakkan dengan harga yang baik, ia bakal menarik minat pengguna untuk menggunakannya – apatah lagi dengan sokongan kalis air pada peranti ini. Berkemungkinan besar, kita akan dapat melihat peranti ini dipasaran Malaysia sekitar bulan September atau Oktober ini.

HTC Butterfly 2

Nota: