Nuance – Syarikat Teknologi Disebalik Siri Sedang Mencari Pembeli, Pernah Bertemu Dengan Samsung

Nuance merupakan salah satu syarikat popular yang terkenal dengan teknologi pengecaman suara, dimana teknologi mereka digunakan pada pelbagai peranti, termasuk turut digunakan oleh Apple pada Siri dan juga S-Voice pada peranti Samsung.

Terkini, ia dilaporkan Nuance sedang berkira-kira untuk menjual syarikat mereka, dan dalam perbincangan dengan beberapa pihak. Mengikut laporan WSJ, salah satu syarikat yang dikatakan turut berbincang mengenai pengambil-alihan Nuance adalah Samsung.

Samsung sedia menggunakan teknologi Nuance pada telefon pintar dan tablet mereka, selain turut melengkapkannya pada peranti boleh-pakai daripada Samsung. Sekiranya benar pengambil-alihan ini berlaku, ia mungkin akan memudahkan pihak Samsung untuk mengintegrasikan teknologi Nuance dengan lebih baik pada produk mereka berbanding sekarang ini.

Bercakap mengenai teknologi pengecaman suara, pihak Nuance turut menawarkan sebuah aplikasi khusus untuk penukaran dari ucapan ke teks, dinamakan Dragon – yang mana menyokong input bahasa Malaysia sejak daripada tahun 2012 yang lepas.

Nuance sendiri, selain daripada teknologi pengecaman suara, mereka turut mempunyai perniagaan terbesar mereka yang memfokuskan kepada kesihatan. Sekali lagi, perkara ini turut akan memberikan titik tambah kepada Samsung yang mana telah mengumumkan inisiatif baru memfokuskan kesihatan baru-baru ini.

Apa pun, buat masa ini, ia dilihat masih pada peringkat perbincangan, dan tidak diketahui lagi sama ada Samsung atau pihak lain akan mengambil-alih syarikat Nuance yang dianggarkan berharga sekitar $5.5 bilion ini.

Nota: