Nokia X | |
---|---|
Pemproses | Snapdragon Dwi-Teras 1GHz |
RAM | 512MB |
Muatan Dalaman | 4GB (sokongan Mikro-SD) |
Kamera | 3-megapixel |
Skrin | 4.0-inci WVGA 800×480 pixel |
Bateri | 1500 mAh |
Pada Mobile World Congress, selain pengumuman peranti daripada Samsung, Sony dan sebagainya, Nokia turut tidak ketinggalan dan telah memperkenalkan keluarga peranti baru mereka dinamakan Nokia X – yang mana dibangunkan berasaskan kepada platform Android.
Rekabentuk
Dari segi rekabentuk, Nokia X dilihat menggunakan elemen daripada peranti keluarga Asha, dan agak selesa untuk digunakan walaupun dengan hanya menggunakan sebelah tangan sahaja.
Pada bahagian atas peranti ini, sebuah ruangan audio-jack disertakan, selain mana turut membawakan sokongan pengecasan berasaskan mikro-USB pada bahagian bawah.
Kamera belakang peranti ini menggunakan sensor 5-megapixel, dan dilengkapi dengan skrin bersaiz 4-inci. Daripada penggunaan kami, skrinnya agak cepat merakamkan kesan cap jari, dan mungkin memerlukan pengguna untuk lap-nya dari masa ke semasa.










Perisian
Nokia menamakan versi Android mereka ini sebagai Nokia X Software Platform, dimana ia menggunakan versi Android terkini, tetapi membuang semua perkhidmatan Google. Secara kasarnya, mereka menggunakan AOSP, dan mengintegrasikan ia dengan perkhidmatan Nokia dan juga Microsoft.
Paparan hadapan peranti tersebut dilihat mengambil elemen daripada Windows Phone, dimana membawakan paparan berbentuk Tiles yang boleh diubah saiznya mengikut pilihan pengguna, disamping pelbagai aplikasi lain yang turut dipaparkan pada skrin utama.
Apabila pengguna menatal ke bahagian kiri atau kanan, ia membuka sebuah fungsi khas dinamakan FastLane – memberikan akses kepada lima puluh aplikasi dan tetapan akhir yang diakses oleh pengguna.
Setiap kali pengguna keluar daripada aplikasi, ia dilihat mematikannya secara automatik – sekaligus menjadikan fungsi FastLane ini salah satu fungsi yang berguna.
Untuk tujuan kedai aplikasi, Nokia menggunakan Nokia Store. Walaupun bilangan aplikasi khusus untuk Android masih sedikit pada hari ini, namun salah satu perkara yang menarik adalah ia menyokong pembayaran melalui bil telekomunikasi.
Beberapa aplikasi yang didatangkan terbina adalah HERE Maps yang turut menyokong pemetaan luar-talian, Skype untuk panggilan video dan audio, OneDrive untuk simpanan fail di awan, dan Mix Radio untuk mendengar lagu dan muzik.
Penjualan
Nokia mengatakan peranti ini akan dijual bermula pertengahan pertama tahun 2014 ini dibeberapa negara membangun. Malaysia mungkin merupakan antara yang terawal, apatah lagi peranti ini dilihat telah melepasi SIRIM sebelum ini.