Pada peranti Android, salah satu fungsi yang sedia didatangkan terbina adalah sokongan gambar latar beranimasi, ataupun turut dikenali dengan nama “Live Wallpaper”. Untuk pengguna biasa membuat “Live Wallpaper” sendiri ia mungkin sedikit sukar, dan salah satu aplikasi yang ingin memudahkan proses tersebut adalah Murtastic.
Aplikasi Murtastic ini hadir dengan antaramuka yang mudah digunakan. Menggunakannya, pengguna boleh membuat beberapa perkara, seperti menambah teks, menambah gambar, dan menetapkan warna latar. Pengguna turut boleh menambah beberapa halaman berbeza yang membolehkan anda menambah gambar khusus untuk setiap satu. Seterusnya, sebelum menggunakan pada peranti anda, anda boleh menetapkan masa yang diambil untuk transasi animasi dari satu halaman ke halaman yang lain.
Sebaik sahaja menetapkan semuanya, gambar latar tersebut akan boleh digunakan pada peranti anda, dan segala efek animasi akan hadir secara automatik.
Walaupun penawaran penyuntingan agak terhad buat masa ini, namun hasil akhir daripadanya boleh dikatakan agak baik, dan berfungsi tanpa masalah pada peranti ujian kami.
Bagi anda yang ingin mencubanya, boleh memuat-turun Murtastic secara percuma daripada Google Play Store dan menggunakannya. Seperti beberapa aplikasi percuma yang lain, aplikasi ini turut hadir dengan sokongan pengiklanan padanya.