Sejak pelancaran tablet Microsoft Surface Pro 3 tahun lepas, ramai tertanya-tanya bilakah pengganti bagi Surface 2 yang dilengkapi Windows RT akan dilancarkan. Kini penantian telah berakhir dengan pengumuman tablet Microsoft Surface 3 yang dilengkapi pemproses Intel dan versi penuh Windows 8.1.
Microsoft Mengumumkan Tablet Surface 3
Tablet Microsoft Surface 3 ini merupakan tablet Surface paling ringan setakat ini dan ia dilengkapi pemproses Quad Core generasi terbaharu Intel Atom x7, yang merupakan pemproses paling berkuasa dalam barisan pemproses berkuasa rendah Atom.
Ia dilengkapi skrin HD 10.8-inci ClearType (lebih kecil dari Surface Pro 3) dengan nisbah aspek 3:2 dan resolusi 1920 x 1280. Seperti Surface Pro 3, ia juga mempunyai bahagian badan yang diperbuat daripada aluminium berukuran 267 x 187 x 8.7mm dan berat 622g. Turut ditampilkan padanya ialah “Kickstand” 3 posisi yang sama pada Surface Pro 3.
Terdapat dua versi tablet ini, satu dengan keupayaan menyokong rangkaian 4G dan satu lagi tidak menyokong sambungan data selular. Kedua-duanya dilengkapi Windows 8.1 lengkap dengan semua aplikasi Mirosoft penting dan boleh dinaiktaraf ke Windows 10 apabila ia dilancarkan nanti.
Terdapat juga perbezaan dari segi RAM dan ruang storan di mana mmodel asas dilengkapi 2GB RAM dan 64GB ruang storan manakala sebuah lagi model dilengkapi 4GB RAM dan 128GB ruang storan. Selain itu, kedua-duanya dilengkapi teknologi Bluetooth 4.0, kamera belakang 8MP dan kamera hadapan 1080p 3.5MP.
Rakyat UK dan US sudah boleh menempah tablet ini di laman web Microsoft dan akan dijual melalui pengedar-pengedar rasmi mulai 7 Mei. Pelancarannya di Malaysia, malangnya, belum ditetapkan, namun kami akan berhubung rapat dengan Microsoft untuk maklumat terkini.
Harganya USD 499 untuk model asas dengan 2GB RAM dan 64GB ruang storan tanpa 4G LTE dan versi LTE akan dijual bermula USD599, namun Microsoft belum memuktamadkan harganya.
Terdapat juga opsyen untuk mendapatkan Pen Stylus Microsoft pada harga USD 49.99 dan TypeCover (tidak disertakan dengan tablet) yang berharga USD 129.99.
Bagi mereka yang merasakan Microsoft Surface Pro 3 terlalu mahal, tablet ini mungkin boleh menjadi pilihan anda memandangkan anda akan mendapat peranti yang lebih kurang sama (dengan pemproses kurang berkuasa) pada harga yang lebih murah. Bagaimanakah penerimaannya di Malaysia? Kita lihat nanti.
KEMASKINI : Microsoft mengumumkan tablet ini akan mula dijual di Malaysia juga pada 5 Mei 2015 dan akan mula boleh ditempah di Malaysia pada 13 April ini. harga bermula dari RM1879 tanpa aksesori keyboard mahupun pen stylus. Maklumat lanjut di pautan ini : http://msft.it/6185NWEh
The post Microsoft Mengumumkan Tablet Surface 3 appeared first on TechKini.com.