Microsoft Memperkenalkan Nokia 130 – Telefon Pada Harga Rendah Dan Bateri Bertahan Sebulan

Microsoft sebelum ini telah mengatakan bakal menamatkan sokongan untuk Nokia X, Asha dan Series 60 tidak lama lagi. Namun, perkara ini tidak menghentikan mereka untuk hadir dengan peranti baru, iaitu Nokia 130.

Nokia 130

Nokia 130 dilihat memfokuskan kepada pengguna dinegara-negara membangun, disamping bagi mereka yang inginkan telefon kedua pada harga rendah.

Nokia 130 turut hadir dengan variasi dwi-SIM, dimana ia turut menyertakan beberapa fungsi menarik termasuk pemain MP3, radio FM, serta sokongan kad SD. Dengan fungsi kad-SD, pengguna boleh menyimpan video dan fail multimedia lain, dan menikmatinya melalui peranti ini – walaupun skrin boleh dikatakan agak kecil untuk tujuan tersebut.

Untuk tujuan memainkan lagu, ia dikatakan boleh memainkan sehingga selama 46 jam dengan satu cas penuh. Selain daripada itu, masa bertahan bateri untuk Nokia 130 adalah sehingga 36 hari untuk versi satu SIM, dan sehingga 26 hari untuk versi dwi-SIM.

Peranti ini hadir dalam pilihan warna merah, hitam, dan putih, serta menyertakan skrin berwarna bersaiz 1.8-inci. Microsoft dilihat akan terus mengeluarkan peranti pada harga rendah ini memandangkan mereka tidak mempunyai sebarang siri peranti untuk bahagian telefon asas ini.

Nokia 130 ini dijangka dijual pada harga €19 (~RM81.13), dan akan mula ditawarkan dalam masa beberapa bulan lagi di beberapa negara terpilih.

Nota: