Mengapa Umno dan sekutunya menyokong ulama Pas?

Tidak mudah untuk Umno dan rakan sekutu mereka seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan akhbar perdana yang condong kepada parti Melayu itu untuk menyokong, apa lagi berkempen untuk kumpulan ulama dalam Pas.

Malah hampir mustahil ini untuk berlaku jika dilihat susur galur dasar perjuangan di antara kedua-duanya – yang satu (Umno) berasaskan kebangsaan, manakala yang satu lagi (Pas) memperjuangkan Islam sebagai teras.

Lebih ironinya, tidak pernah berlaku di kalangan pucuk pimpinan tertinggi Umno menyokong hukum hudud yang dibawa Pas, sebaliknya parti itu sejak lama amat menentang apa yang mereka panggil sebagai “hudud Pas’.

Imej dari Freemalaysiatoday.com
Imej dari Freemalaysiatoday.com

Namun kali ini ia berlaku. Apa yang hampir mustahil dan tidak pernah berlaku itu, kali ini berlaku. Ia berlaku menjelang muktamar Pas.

Mengapa Umno dan juak-juaknya dilihat begitu beriya-iya benar berkempen dan menyokong kumpulan ulama Pas?

Bagi pengamat politik tanahair, hal ini mudah ditelah. Bagi yang tidak memahami permainan ini, tulisan ini akan memperincikannya.

Perincian kepada permainan politik ini tidak memerlukan penjelasan panjang berjela. Ia boleh dirumuskan dalam bahasa amat mudah, iaitu sokongan dan kempen Umno serta sekutunya, termasuk NGO dan akhbar yang condong kepada parti itu terhadap kumpulan ulama dalam Pas adalah demi memastikan Pas terkeluar dari Pakatan Rakyat.

Hanya ada satu cara untuk Umno terus “survive” dalam politik Malaysia dalam pilihanraya umum akan datang, iaitu pakatan pembangkang mesti dipecahkan!

Ia bermula dengan sokongan pemimpin Umno, Tan Sri Annuar Musa terhadap hudud Pas dan berterusan dalam nada sokongan lain kemudiannya terhadap kumpulan ulama Pas oleh Umno dan NGO serta akhbar yang menjadi juak parti tradisional ini.

Umno amat memahami bahawa selagi pakatan pembangkang menerusi Pakatan Rakyat tidak dipecahkan, parti tua itu akan menghadapi cabaran sengit yang berterusan.

Justeru, bagi Umno, Pakatan Rakyat mesti dipecahkan, Pas perlu dibawa keluar dari pakatan itu dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu ikon yang amat digeruni Umno, tidak wajar dibiarkan kekal mendapat sokongan padu semua parti pembangkang utama negara ini.

Dan bagi Umno, satu pilihan yang ada untuk merealisasikan kehendaknya itu ialah dengan memastikan kumpulan ulama menguasai tampuk kepemimpinan Pas dengan harapan kumpulan ini akan membawa keluar parti Islam itu dari Pakatan Rakyat.

Jika perwakilan muktamar Pas terkhilaf dalam memahami ini, ada kemungkinan pakatan pembangkang akan menjadi “bahan makanan” Umno lagi sekali. – inimajalah.com

Nota: