Maxis Dan Spotify Mengumumkan Kerjasama Secara Rasmi

Lanjutan daripada pengenalan perkhidmatan langanan Spotify melalui Maxis dan Hotlink pada kadar RM10 sebelum ini, hari ini kedua-dua syarikat tersebut mengumumkan kerjasama secara rasminya, dan akan mula memasarkan perkhidmatan baru ini secara lebih meluas.

Dengan kerjasama ini, pengguna Maxis boleh mengakses ke lebih 20 juta lagu di Spotify pada harga langganan RM10 sebulan berbanding harga langganan biasa pada kadar RM14.90.

Perkara ini juga sekaligus membolehkan Maxis menawarkan perkhidmatan tambah nilai kepada para pelanggan mereka, serta memperlihatkan fokus Maxis dalam terus unggul dalam penawaran data dan kandungan kepada pelanggan mereka.

Maxis sendiri kini dilihat menggunakan slogan “Malaysia’s Best Data Network” pada web rasmi, dan mungkin kita akan melihat mereka hadir dengan pelbagai tawaran memfokuskan kandungan melalui internet dan sebagainya selepas ini.

Jikalau dilihat kembali, pihak Maxis sedia menawarkan kedai buku digital mereka tersendiri – dinamakan sebagai Maxis eBuuk, serta menyediakan aplikasi permesejan Toot! Messenger. Tidak ketinggalan adalah ruangan simpanan awan mereka – Loker.

Dengan penambahan perkhidmatan Spotify dalam menawarkan lagu, satu lagi arena yang dinantikan adalah video.

Pihak Maxis buat masa ini dilihat menyediakan aplikasi YoomobTV, tetapi tidak dipasarkan secara meluas buat masa ini. Maxis juga sedia mengumumkan kerjasama dengan Astro dalam menawarkan Astro IPTV melalui Maxis Home.

Bercakap mengenai video, pesaing mereka – Celcom sedia menawarkan ESCNow kepada para pelanggan mereka, sementara DiGi pula sedia bekerjasama dengan Viki dalam menawarkan perkhidmatan video kepada pengguna DiGi.

Selain daripada perkhidmatan berbentuk kandungan dan semestinya rangkaian LTE yang lebih luas, apakah lagi perkhidmatan yang anda ingin lihat daripada syarikat telekomunikasi tempatan?

Nota: