LegalMate Ingin Memudahkan Pengguna Mendapatkan Nasihat Daripada Peguam

Mungkin ada kalanya anda ingin mendapatkan nasihat daripada para peguam berkaitan sesuatu perkara, tetapi tidak mengetahui platform atau bagaimana untuk bertanyakan mengenainya. Untuk memudahkan pengguna berhubung dengan peguam, kini salah satu perkhidmatan baru yang masih dalam pembangunan awal oleh pembangun tempatan adalah LegalMate.

LegalMatePerkhidmatan LegalMate ini dilihat hadir daripada pengasas JomSocial sebelum ini. Melalui LegalMate, ia ingin menghubungkan para pengguna umum terus kepada peguam, dan pengguna boleh bertanyakan beberapa persoalan kepada peguam melaluinya dan mendapatkan khidmat konsultansi daripada peguam.

Mengikut penerangan pada laman LegalMate, sebaik sahaja pengguna menghantar sesuatu soalan, ia akan dihubungkan dengan peguam yang bersesuaian mengikut topik. Seterusnya sekiranya seseorang peguam bersedia menjawab soalan anda, anda akan diberikan notifikasi dan boleh membuat panggilan untuk konsultansi percuma sehingga 15 minit daripada peguam tersebut.

Seterusnya, sekiranya pengguna menyukai dan ingin meneruskan perkhidmatan daripada peguam tersebut, anda boleh terus mengupah peguam menggunakan platform tersebut, dan menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Kami masih belum mencuba perkhidmatan LegalMate ini untuk bertanyakan soalan dan sebagainya. Namun, daripada semakan kami pada halaman bertanyakan soalan, ia dilihat pengguna boleh memilih topik yang ingin ditanya, selain turut memilih bagaimana anda ingin membuat pembayaran (sekiranya ingin meneruskan konsultansi selepas tempoh percuma). Pilihan “Tidak Mampu Membuat Pembayaran” turut disediakan pada halaman tersebut.

Laman LegalMate sendiri dilihat masih dalam pembangunan, dan beberapa halaman masih belum lengkap sepenuhnya buat masa ini. Pembangun LegalMate juga dilihat sedang mencari dan menambah senarai peguam-peguam yang menggunakan platform tersebut untuk memudahkan pengguna.

Jadi, bagi anda yang inginkan sebarang nasihat peguam mengenai sesuatu topik, mungkin boleh mencuba perkhidmatan LegalMate ini hari ini, dan berikan maklumbalas anda berkaitan dengannya. Dan sekiranya anda merupakan seorang peguam, anda juga turut boleh mendaftarkan diri pada laman tersebut dan menawarkan perkhidmatan anda.

Layari : LegalMate

Nota: