YouTube yang dimiliki Google terus berkembang pesat dari hari ke hari. Hari ini, berkongsi mengenai statistik semasa, YouTube mengatakan mereka mempunyai lebih 1.5 bilion pengguna yang log-masuk ke perkhidmatan mereka setiap bulan. Ini secara tidak langsung memperlihatkan angka penggunanya adalah jauh lebih tinggi, memandangkan ada yang menonton video tanpa log masuk ke akaun mereka.
Pencapaian ini boleh dikatakan sangat tinggi, dimana kini YouTube diakses oleh hampir satu daripada lima manusia di dunia.
Berkongsi lanjut, YouTube mengatakan secara purata, pengguna mereka menonton video lebih sejam di YouTube pada peranti mudah-alih mereka sahaja – setiap hari.
Dengan perkembangan sambungan internet yang lebih laju, kini lebih ramai yang menonton video setiap hari pada peranti mudah-alih mahupun melalui desktop. Angka perkembangan sihat daripada YouTube ini semestinya akan menarik lebih ramai pihak untuk menggunakan platform mereka untuk mengiklan dan mencapai lebih ramai pengguna.
Selain daripada YouTube, Facebook juga dilihat turut memfokuskan kepada arena video akhir-akhir ini – termasuk melalui platform dimiliki mereka seperti Instagram.