Sebelum ini kami paparkan PEEK yang menggunakan telefon pintar untuk melakukan diagnosis penyakit mata di negara Afrika. Telefon pintar moden yang kita gunakan sekarang mempunyai kuasa memproses data yang tinggi dan keupayaan optik yang lebih baik dari radas makmal yang digunakan untuk mengesan penyakit. Ianya juga lebih mudah alih dan diperolehi di seluruh dunia berbanding alatan makmal khas.
Kini peranti iPhone pula digunakan untuk mengesan dan memerangi wabak malaria di Indonesia. Lanxen Rapid ialah kit mengesan malaria yang merubah sebuah iPhone menjadi mikroskop mudah alih. Darah pesakit dapat dianalisa secara segera dengan menggunakan kit Lanxen Rapid. Seperti PEEK , Lanxen Rapid memilih menggunakan peranti pintar kerana ianya lebih mudah dibawa ke kawasan pedalaman. Kos menggunakan kit ini juga dikatakan lebih mudah dan tahan lasak. Kit – Kit ujian darah malaria yang sedia ada perlu disimpan di bawah suhu 30 darjah selsius. Di kawasan tropika seperti Indonesia ini adalah amat sukar dilakukan di perkampungan terletak jauh di dalam kawasan hutan. Dengan kebarangkalian mengesan jangkitan sehingga 98%, Lanxen Rapid berharap usaha mereka dapat mengurangkan jumlah kematian akibat malaria yang mencecah 665 000 pada tahun 2010.
Lanxen Rapid sedang mengumpulkan dana bagi menghasilkan kit pengesan malaria untuk projek pertama mereka di Kepulauan Bangka Indonesia. Jika anda mahu menyokong projek murni kemanusiaan ini sila salurkan dana anda melalui laman Indiegogo mereka.