Kisah Tauladan ! Isteri Cemburu Suami Diapit Perempuan Cantik

Fuh.My
Fuh.My – Mencetus Fenomena

Kisah Tauladan ! Isteri Cemburu Suami Diapit Perempuan Cantik | Zainab ditahan Imigresen Arab Saudi kerana dituduh masuk ke Makkah tanpa mahram selepas terpisah dengan Bidin yang terlebih dahulu melepasi pemeriksaan..

“ABANG, pengarah urusan kata tadi dalam 10 pasangan suami isteri, enam daripadanya sering bermasam muka sedangkan pertengkaran amat dilarang ketika menunaikan haji,” kata Zainab kepada suaminya Bidin selepas majlis meraikan bakal-bakal haji.

“Entahlah, abang harap awak jangan cerewet sangat ketika di Makkah,” kata Bidin.

“Kenapa?” balas Zainab lagi.

Suaminya menjelaskan, melalui pengalaman sahabatnya yang pernah menunaikan haji banyak pasangan bergaduh kerana keadaan yang tidak berapa sesuai dan sesak.

“Orang lelaki kadangkala cemburu, apatah lagi dua minggu sebelum berangkat ke tanah suci, soal hubungan kelamin dilupakan kerana asyik teringat hendak ke Makkah sehingga terlupa hubungan kelamin.

“Kebanyakan mereka tidak hiraukannya kerana risau dengan persediaan hendak ke Tanah Suci. Nanti di Madinah selama sembilan hari isteri di bilik lain dan suami di bilik lain, makin bermasalahlah,” katanya.

“Orang lelaki, itu saja yang diingatnya walaupun masa beribadat,” kata Zainab.

“Nab, Abang dengar penceramah mengatakan setiap 10 pasangan yang membawa ibu mentua menunaikan haji, lapan daripadanya bergaduh antara menantu dan ibu mentua. Ini dugaan besar kepada jemaah,” katanya.

“Ya ke bang? Saya juga bimbang nanti kita asyik bertengkar tetapi mujur juga kita tidak bawa emak,” tambahnya.

Memang menjadi lumrah setiap pasangan jemaah mempunyai masalah ketika berada di tanah suci. Pertama kerana suami isteri tinggal di bilik berasingan beberapa hari dan hanya seiring ketika ke masjid, membeli-belah atau berjalan-jalan.

Kedua, sebab tegahan ihram. Suami dan isteri dalam ihram amatlah dilarang berdua-duaan seperti dalam al-Quran:

“Haji itu dalam. Bulan-bulan yang tertentu sesiapa yang tiba di Makkah dalam keadaan berihram maka janganlah mereka melakukan persetubuhan, perkara-perkara fasad (mencuri, bergaduh) dan bertengkar dalam masa menunaikan haji itu.” ? ayat 197 surah al-Albaqarah.

Zainab bersama suami mengikuti 16 siri kursus haji dan mendapat penjelasan daripada ustaz dengan menceritakan pengalaman memandu jemaah di Tanah Suci. Masalah yang paling tinggi ialah hubungan suami isteri dan ibu mentua sedangkan ketika di tanah air hidup gembira.

Bila tiba masa penerbangan yang dijadualkan, Bidin dan Zainab bersama ratusan jemaah lain melaporkan diri di Kompleks Jemaah Haji, Kelana Jaya. Mereka dihantar oleh sanak-saudara kedua-dua belah pihak.

Ada keluarga yang tidak pernah jumpa hampir 10 tahun datang juga mengucapkan selamat jalan. Ketika di khemah penantian, mereka bermesra makan dan minum sehinggalah pengumuman untuk pemeriksaan masuk terdengar pada pembesar suara.

Bidin jadi serba salah hendak mengajak Zainab masuk ke tempat pemeriksaan kerana melihat betapa mesranya keluarga Zainab melepaskan kerinduan dengannya. Bagi Bidin jika cepat menjalani pemeriksaan masuk, dapatlah duduk di depan kapal terbang yang mungkin memberi sedikit keselesaan untuk penerbangan selama lapan jam itu.

Sesudah diberitahu masa keberangkatan sudah sampai, Zainab menyuruh suaminya masuk dulu membawa beg dan beliau akan menyusul kemudian.

Tanpa banyak kerenah, suaminya dan seorang anggota keluarga mengheret beg mereka ke kaunter pemeriksaan melalui x- ray. Bidin mengambil pasport dan pas masuk pesawat untuk dirinya saja kerana orang lain tidak boleh ambil walaupun isteri sendiri.

Zainab masih dengan keluarganya hingga panggilan akhir di corong pembesar suara. Barulah beliau bergegas masuk dengan tangisan dan pelukan sanak-saudara. Zainab orang terakhir yang masuk ke bilik pemeriksaan.

“Seorang saja kak?,” tanya pegawai Tabung Haji yang menguruskan bagasi.

“Tidak. suami masuk dulu awal-awal lagi,” katanya.

Lalu Zainab diberi pas masuk dan diberi tempat duduk belakang sementara suaminya duduk di depan. Selepas berada di dewan menunggu, Zainab ke depan mencari suaminya. Dia hendak duduk di kerusi sebelah suaminya.

“Puan tidak boleh duduk di sini kerana sudah ada orang. Puan kena duduk di belakang berdasarkan warna pas masuk,” kata pegawai Tabung Haji.

“Tapi ini suami saya,” jawab Zainab.

“Habis, orang yang duduk di kerusi ini hendak duduk di mana kalau puan mengambil tempatnya,” kata pegawai Tabung Haji itu.

“Carilah tempat lain,” tegas Zainab.

Pegawai Tabung Haji memandang Bidin dan berkata: “Abang tukar ke belakang bersama isteri dan beri orang lain duduk di sini, mahu tak?”

“Tak mahu,” kata Bidin dan menyuruh isterinya balik ke belakang.

Zainab sudah mula rasa terasing. Cemburu dalam benaknya mula menular apabila melihat seorang wanita terus duduk di kerusi sebelah suaminya yang ditandakan dengan beg tangan tadi.

Zainab mula-mula enggan balik ke belakang tetapi dipujuk oleh suaminya yang rasa malu dengan pegawai Tabung Haji terhadap sikap isterinya yang mula tidak mahu ikut peraturan.

Apabila doa dibaca dan azan dilaungkan, kumpulan pas merah bergerak dulu turun ke bas. Sekali lagi Zainab terkam ke depan meminta pegawai Tabung Haji membenarkan dia bersama suaminya dalam bas tetapi tidak dibenarkan.

Sekali lagi Bidin serba salah dengan kerenah isterinya. Akhirnya Zainab berada dalam bas paling akhir dan duduk di belakang kapal terbang. Satu jam selepas penerbangan berlepas, hidangan disediakan dan semua jemaah makan dengan penuh berselera. Bidin teringat kalau isterinya bersama mungkin lebih mesra.

Apabila lampu pesawat dimalapkan, Zainab mula ke depan mencari suaminya. Setiap barisan kerusi ditelitinya dalam gelap itu untuk mengenal pasti suaminya. Kebanyakan jemaah menutup muka dengan kain selimut dan menyebabkannya gagal mencari Bidin.

Apabila menghala balik ke belakang, barulah suaminya bangun selepas Zainab meninjau-ninjau. Bidin duduk di sebelah tingkap dan diapit oleh dua wanita yang jelita. Berderau darah Zainab lalu bertanya:

“Mengapa abang duduk dekat perempuan? Mengapa tidak duduk di sebelah tengah. Itulah dari tadi tak cari Nab, rupanya ada perempuan cantik,”

Wanita di sebelah menjeling dan sebaris jemaah di situ turut tercengang mendengar dengusan si isteri yang naik cemburu itu.

Bidin tetap tabah tetapi meluap-luap juga perasaan hendak mengherdik isterinya. Disebabkan hendak ke Makkah tidak boleh bertengkar, maka dia tetap bersabar.

Beliau meninjau tempat duduk isterinya di sebelah belakang dekat dengan tandas. Suasana di belakang bising dengan ngauman suara enjin jet kapal terbang berbanding dengan bunyi senyap di bahagian depan.

Zainab makin gelisah, duduk di belakang sempit sedikit dan bising tetapi di depan agak lengang dan sunyi. Apalagi mengingatkan suaminya ditemani dua wanita cantik dan sentiasa mewangi.

Isterinya datang sekali lagi untuk meminta Bidin mengisi borang pendaratan dan menunggu di tempat hidangan makanan sementara Bidin siap.

Pesawat selamat mendarat dan jemaah di depan turun dulu diikuti tengah dan belakang. Bidin tiba dulu dan melepasi pemeriksaan Imigresen dan menuju ke tempat bagasi untuk pemeriksaan bagasi.

Bidin seolah-olah lupa bahawa dia perlu mengiringi isterinya kerana wanita perlu bersama mahram untuk memasuki Arab Saudi.

Sejam berlalu, Bidin mencari-cari isterinya selepas melihat tempat pemeriksaan Imigresen hampir lengang tetapi isterinya belum keluar lagi.

Kemudian datang seorang pegawai Tabung Haji mencari Bidin. Mujur dia belum keluar dari tempat pemeriksaan kastam. Bidin dibawa oleh pegawai berkenaan untuk mengesahkan bahawa beliau ialah mahram Zainab.

Zainab bersama wanita lain tanpa mahram ditahan untuk memastikan mereka mempunyai mahram atau suami. Oleh kerana lama ditahan Zainab menangis dan pegawai di situ hanya tersenyum melihat gelagatnya.

“Padan muka engkau tidak ikut peraturan kerajaan Arab Saudi. Sekarang engkau yang susah,” katanya dalam hati.

Apabila selesai urusan Imigresen, sekali lagi Zainab ditahan oleh kastam kerana mengesyaki beliau melakukan kesalahan. Puas diterangkan oleh pegawai Tabung Haji, akhirnya Zainab dilepaskan. Beliau tersedar yang ketika mengerjakan haji perlu mengikut peraturan. sumber

If you enjoyed this post, you should read this: Event

Kisah Tauladan ! Isteri Cemburu Suami Diapit Perempuan Cantik
Emas Putih

Nota: