Jepun Memulakan Operasi Terhadap Laman Anime Dan Manga Cetak-Rompak

Dalam satu kerjasama dengan 15 syarikat pengeluaran anime serta manga, kerajaan Jepun baru-baru ini telah melancarkan satu operasi untuk melumpuhkan kira-kira 580 laman web yang didakwa memuat-naik anime dan manga tanpa kebenaran daripada pemilik hakcipta. Ini berikutan kerana negara matahari terbit tersebut telah mula menyokong industri anime dan manga sebagai salah satu daripada eksport kebudayaan penting mereka. Untuk tahun lepas sahaja industri tersebut mengalami kerugian kira-kira USD 5.5 billion (560 billion Yen) disebabkan oleh aktiviti cetak rompak yang berleluasa ini.

Sejak 1 Ogos yang lepas, kerajaan Jepun telah mula menghantar notis kepada pengedali laman web yang berkaitan, mengarahkan mereka untuk menghapuskan dan membuang segala kandungan anime dan manga yang dicetak-rompak dan digunakan tanpa keizinan. Selain itu juga, pihak kerajaan Jepun dikatakan akan menawarkan satu laman web khusus untuk membolehkan peminat-peminat industri berkenaan mendapatkan kandungan pada harga yang murah dan berpatutan.

Selari dengan perkara ini, beberapa laman web dilihat telah diserang dengan serangan DDoS, dan membuatkan beberapa laman lumpuh dan tidak boleh diakses. Antara laman web yang lumpuh (disedari pada hari Sabtu yang lalu) adalah termasuk Nyaa, HorribleSubs, serta AnimeTake. Menurut satu analisis, vektor serangan ialah dalam bentuk Distributed Denial of Service (DDoS) dan juga Distributed Reflection Denial of Service (DRDoS), dan serangan berkenaan dilihat berasal daripada negara Jepun itu sendiri. Tetapi, adakah kedua-duanya berkaitan ataupun sebaliknya tidak diketahui. The Pirate Bay telah sekian lama mengalami tekanan daripada industri namun ia masih lagi hidup sehingga kini disebabkan oleh kelicikan teknologi yang digunapakai oleh mereka.

Apa pun, mungkin sudah tiba masanya untuk kita sama-sama menggunakan saluran yang betul untuk mendapatkan kandungan anime dan manga. Sebagai contoh, anda boleh melanggan pelan keahlian pada laman CrunchyRoll, dan kami berpendapat dengan kos serendah USD 6.95 untuk satu bulan (kira-kira RM20) ia adalah sangat berpatutan.

Nota: