Jailbreak Tanpa Tambatan Untuk iOS 7.1.x Hadir Daripada Pangu

Terdapat beberapa kumpulan yang membangunkan jailbreak untuk iOS 7, dan terkini salah satu kumpulan daripada China dikenali dengan nama “Pangu” telah pun mengeluarkan jailbreak tanpa tambatan untuk iOS 7.1.x.

Pangu

Buat masa ini, melalui laman rasmi Pangu, ia hanya menyediakan fail pemasangan untuk pengguna Windows, dan versi Mac OS dijangka akan hadir tidak lama lagi. Untuk memasangnya, pengguna hanya perlu menjalankan perisian tersebut selepas menghubungkan peranti iOS anda ke komputer, dan seterusnya mengikut arahan di skrin.

Sebaik sahaja anda klik pada “Start Jailbreak”, anda akan diberikan pilihan untuk memasang beberapa aplikasi tambahan, dan ramai pengguna menyarankan supaya tidak menandakan kotak tersebut. Pada skrin seterusnya, pengguna akan diminta untuk mengubah tarikh iOS anda kepada 2 Jun 2014 sebelum meneruskannya.

Setelah beberapa ketika, anda akan melihat aplikasi Pangu pada telefon (atau tablet), dan boleh tap padanya untuk menyambung proses berkenaan. Sebaik sahaja proses selesai, peranti anda akan dimulakan semula dan akan melihat aplikasi Cydia pada peranti anda.

Seperti biasa, jailbreak ini tidak digalakkan, dan semua pengguna yang melakukannya adalah atas risiko sendiri.

Nota: