HTC Berkongsi Mengenai Zoe – Aplikasi Sosial Dengan Sokongan Remix

HTC ZoeHTC hari ini melalui sebuah acara khas di Jepun telah berkongsi mengenai aplikasi terbaru daripada mereka yang mula ditawarkan kepada umum, dinamakan sebagai Zoe. Berbeza dengan beberapa aplikasi yang diterbitkan oleh HTC sebelum ini, Zoe turut boleh digunakan oleh beberapa peranti lain, termasuk Samsung Galaxy S5, Galaxy S4, dan sebagainya.

Zoe merupakan salah satu aplikasi yang dibangunkan dibawah pasukan HTC Creative Labs, salah satu bahagian yang memfokuskan perisian di dalam HTC. Zoe ini merupakan salah satu eksperimen dan percubaan baru pihak HTC dalam menawarkan aplikasi mereka kepada umum, dan tidak hanya khusus untuk pengguna peranti HTC sahaja.

Zoe dilihat membolehkan pengguna mengabungkan pelbagai jenis gambar dan video di dalam satu aplikasi, dan kemudian menambah tema dan lagu latar untuknya – sebelum ia diterbitkan kepada umum.

HTC Zoe Beta

Untuk menggunakan Zoe, pengguna perlu memuat-turunnya melalui Google PlayStore, dan mendaftarkan akaun menggunakan akaun Google ataupun mengikut pilihan pengguna. Sebaik sahaja selesai mendaftar akaun, pengguna boleh mula membuat pilihan tema video, memilih gambar daripada galeri di peranti mudah-alih mereka, dan seterusnya menambah lagu latar sebelum ia diterbitkan.

Daripada apa yang dikongsikan, Zoe dilihat membolehkan pengguna memilih sekitar 16 fail media (gambar dan video), sebelum mengubahnya kepada bentuk video. Untuk jangka masa video akhir yang dihasilkan, ia dilihat lebih kurang sekitar 30saat-40saat.

Setiap video yang diterbitkan boleh dipilih untuk menerbitkannya kepada umum ataupun hanya untuk tatapan anda sahaja. Sekiranya anda menerbitkan ia kepada umum, video berkenaan akan diterbitkan dan pengguna turut akan diberikan URL khusus untuk mengaksesnya melalui web. Untuk tujuan ini, pihak HTC menggunakan domain khusus ZOE.com – sekaligus memperlihatkan harapan mereka yang besar untuk perkhidmatan ini.

Dari segi aspek sosial, pihak HTC tidak mengehadkan kepada Like dan komen sahaja, sebaliknya turut menyertakan sokongan Remix. Sesiapa sahaja boleh mengakses media yang anda terbitkan, dan mereka turut boleh menambah media, membuat pengubah-suaian, dan menerbitkan ia kembali di Zoe untuk tatapan umum.

HTC Zoe

HTC Zoe

Perkara ini dilihat membawakan aspek sosial yang baru, disamping memberikan pengguna peluang untuk hadir dengan kaedah kreatif baru. Tambahan lagi, sekiranya anda berada di sesuatu lokasi bersama-sama rakan anda, kedua-duanya boleh Remix video satu sama lain menggunakan Zoe dengan mudah – sekaligus membolehkan hasil rakaman dari pelbagai sudut di sesuatu lokasi atau acara disertakan.

Buat masa ini, HTC Zoe masih lagi pada peringkat Beta – dan pihak HTC mungkin mengoptimasikan ia berdasarkan kepada permintaan dan bagaimana pengguna menggunakannya. Versi 1.0 untuk Zoe dijangka akan hadir dalam beberapa bulan lagi – sekaligus mungkin memberikan lebih ramai akses kepada perkhidmatan tersebut.

Jadi, adakah anda telah mencuba perkhidmatan Zoe? Apa kata anda berkenaan dengannya?

Nota: