Hari ini, pada acara WSJ D.Live Asia, CEO Grab, Anthony Tan telah berkongsi beberapa perkembangan mengenai syarikat mereka, termasuk mengatakan kini mereka menerima lebih 2.5 juta tempahan setiap hari oleh pengguna sekitar Asia Tenggara.
Selain daripada itu, beliau juga turut menyentuh mengenai GrabPay, salah satu perkhidmatan e-dompet oleh mereka, disamping berbincang mengenai beberapa perniagaan dan perancangan akan datang.
Pada masa yang sama, Anthony Tan turut mengatakan mereka sedang melihat kepada beberapa arena perniagaan yang lain, termasuk salah satunya adalah logistik.
Untuk makluman, Uber sendiri sebelum ini telah mengambil-alih Otto untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam arena logistik – selain Amazon yang turut diperkatakan sedang melihat kepada arena sama.
Dengan fokus terhadap logistik, ia akan lebih menyasarkan perusahaan, sekaligus membolehkan Grab menjana lebih pendapatan berbanding kebiasaan. Walaubagaimanapun, buat masa ini, Anthony Tan sekadar melihatnya sebagai kemungkinan untuk ia disertai oleh Grab sebagai salah satu cabang perniagaan.
Di Malaysia sendiri, dalam arena logistik, salah satu startup yang popular adalah TheLorry, yang mana telah memperluaskan perkhidmatan ke Singapura baru-baru ini.