Google Mengambil-Alih Perkhidmatan Muzik – Songza

Google hari ini secara rasminya mengumumkan yang mana mereka akan mengambil-alih salah satu perkhidmatan muzik popular, Songza, dan bakal membawakan beberapa perkara daripadanya terus ke perkhidmatan mereka, Google Play Music.

SongzaPihak Google turut mengatakan mereka tidak akan membuat sebarang perubahan drastik pada Songza buat masa ini, dan ia akan kekal beroperasi seperti sedia ada untuk waktu ini.

Songza merupakan salah satu perkhidmatan penstriman muzik percuma yang turut dilengkapi dengan sokongan mencadangkan lagu yang bersesuaian kepada pengguna mengikut waktu. Perkara ini dijayakan melalui kurasi yang dilakukan melaluinya – yang mana mungkin menjadi salah satu sebab pihak Google mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Selain pada Google Play Music, pihak Google turut dijangka akan mengintegrasikan sebahagian teknologinya pada YouTube, dan beberapa produk lain.

Harga pengambil-alihan tidak diumumkan kedua-dua pihak buat masa ini. Mengikut ura-ura awal sebelum ini, Google dikatakan berminat untuk mendapatkan Songza pada harga sekitar $15 juta.

Untuk pasaran Malaysia, Songza masih tidak boleh digunakan, dan begitu juga untuk Google Play Music (secara rasminya). Ia tidak diketahui lagi bilakah pihak Google akan menawarkan perkhidmatan muzik mereka secara rasmi di Malaysia, selain daripada beberapa kandungan lain untuk pengguna tempatan.

Nota: