Google sedia menyediakan beberapa kod dan bantuan kepada para pembangun dalam membangunkan aplikasi dan web. Terkini, mereka turut hadir dengan sebuah inisiatif baru, dinamakan sebagai Web Starter Kit, yang mana ingin memudahkan para pembangun membangunkan web yang dioptimasikan untuk pelbagai saiz skrin.
Bagi para pembangun web, mungkin sedia mengenali beberapa tawaran yang lebih kurang sama, termasuk antaranya adalah Foundation dan juga Bootstrap. Menariknya, Web Starter Kit juga turut boleh digunakan bersama-sama rekaan daripada projek-projek berkenaan. Pihak Google mengatakan tidak ingin bersaing dengan penawaran daripada projek-projek berkenaan, sebaliknya ingin menawarkan lebih kemudahan untuk pembangun dalam mengoptimasikan web mereka selari dengan rekaan aplikasi dan sebagainya.
Daripada penawaran kit Google ini, ia turut dioptimasikan untuk piawaian web – sepertimana yang ditetapkan oleh W3, dan turut sama selari dengan pelbagai pelayar web utama yang terdapat di pasaran pada hari ini.
Dengan acara Google I/O yang bakal diadakan tidak lama lagi, pengenalan kemudahan untuk membangunkan web ini semestinya salah satu perkara yang disukai oleh pembangun.
Buat masa ini, Web Starter Kit masih dalam peringkat beta, dan lebih banyak elemen dijangka akan ditambah pada projek ini dari semasa ke semasa.
Bagi anda yang berminat, boleh memuat-turun Web Starter Kit ini daripada laman rasmi Google, dan menggunakannya dalam pembangunan web anda.