Google Drive Diberikan Nafas Baru Pada Web Dan Peranti Mudah-Alih

Selepas berkongsi mengatakan Google Drive mempunyai lebih 190 juta pengguna pada awal pagi tadi, disamping memperkenalkan Drive For Work, kini Google mengumumkan kemaskini pada perkhidmatan storan awan mereka secara menyeluruh.

Google mengatakan Drive baru ini akan berfungsi lebih pantas berbanding sebelumnya, termasuk ketika membuka fail dan juga untuk sokongan sync antara peranti.

Untuk Google Drive versi web, pihak Google membawakan kemaskini antaramuka, disamping menawarkan kawalan seumpama pada komputer – seperti untuk memilih lebih dari satu fail, ataupun untuk mengerakkan satu fail ke folder dengan drag-drop. Seperti biasa, pengguna juga boleh membuat sesuatu fail baru dengan mudah, dimana hanya perlu klik pada butang “New” dan seterusnya memilih jenis dokumen yang ingin dibuat. Untuk membuka sesuatu fail pula, pengguna hanya perlu dwi-klik pada senarai yang diperlihatkan.

Selain versi web, pihak Google turut menawarkan kemaskini untuk Android dan iOS, dimana ia hadir dengan sokongan sync pada latar yang lebih pantas, disamping memudahkan pengguna melihat siapakah yang melakukan perubahan pada sesuatu fail (untuk mereka yang berkolaborasi).

Kesemua kemaskini ini bakal hadir untuk pengguna seluruh dunia dalam beberapa minggu lagi, dan pihak Google turut mengatakan Drive baru lebih mesra untuk mereka yang mempunyai masalah penglihatan, termasuk menyediakan akses pintas untuk papan kekunci.

Nota: