Galaxy S5 Dilaporkan Akan Menyertakan Paparan 2K, Kamera 16MP, Snapdragon 805

SamMobile sedia berkongsi pelbagai info berkaitan dengan Samsung, dan kini dilihat mereka turut berkongsi mengenai spesifikasi yang akan dibawakan oleh telefon pintar generasi baru daripada Samsung, iaitu Galaxy S5.

Daripada apa yang dikongsikan, ia dilaporkan Galaxy S5 bakal hadir dalam dua variasi, iaitu dengan kerangka berasaskan plastik dan juga kerangka berasaskan metal. Ia tidak diketahui lagi sama ada variasi metal akan menggunakan nama lain ataupun sebaliknya. Mungkin kita akan turut dapat melihat perubahan rekaan kerangka plastik seperti yang diimplementasikan pada Galaxy Note 3 sebelum ini.

Dari segi spesifikasi pula, Galaxy S5 dikatakan akan hadir dengan paparan 2560×1440 pixel dan menggunakan skrin bersaiz 5.25-inci. Untuk rakaman gambar pula ia akan hadir dengan kamera 16-megapixel OIS, dengan beberapa ciri rakaman gambar yang menarik.

Untuk cip pemprosesan, seperti peranti mereka sebelum ini, ia akan hadir dalam dua variasi, iaitu Exynos 6 dan juga Snapdragon 805 yang menyertakan sokongan rangkaian LTE. Info lain berkaitan memori dan bateri masih tidak diketahui buat masa ini. Peranti ini dikatakan akan dilengkapi Android 4.4 KitKat – yang mana mungkin tepat memandangkan tablet baru Samsung sedia menggunakannya.

Samsung dikatakan akan memperkenalkan telefon pintar Galaxy S5 mereka pada bulan Mac kelak, dan mula dijual pada bulan April – lebih kurang sama seperti tahun lepas.

Selain Galaxy S5, pihak Samsung juga dikatakan akan turut melancarkan Galaxy S5 Mini dan juga Galaxy S5 Zoom lebih kurang sekitar Mei atau Jun tahun ini.

Seperti biasa, ini boleh dikatakan sebagai laporan awal, dan mungkin peranti versi akhir kelak menyertakan beberapa perubahan bersama-sama dengannya.

Nota: