Facebook Beta Untuk Windows Phone 8 Kini Hadir Dengan Antaramuka Baru

Facebook LogoPada sesi Ask Me Anything (AMA) di Reddit baru-baru ini, pihak Microsoft sedia berkongsi mengenai pembangunan aplikasi Facebook Beta yang hadir dengan beberapa fungsi baru. Selang sebulan sesi di Reddit itu dibuat, pihak Microsoft hari ini melancarkan Facebook Beta versi 5.3 yang kini hadir dengan pelbagai pembaharuan terutama dari segi antaramuka.

Antaramuka Facebook Beta 5.3 kini boleh dikatakan agak selari dengan aplikasi Facebook di platform-platform utama. Beberapa perubahan antaramuka telah dibawa melalui versi 5.3 ini antaranya teks News Feed kini hadir pada bahagian atas bersama-sama dengan butang carian dan juga senarai kenalan yang sedang berada di dalam talian. Seperti aplikasi Facebook di platform lain, pada bar di bahagian atas hadir dengan akses pantas ke News Feed, Friend Requests, Messages, Notifications, dan profil pengguna.

Facebook Beta 5.3

Beberapa perubahan lain adalah kehadiran bar pada bahagian bawah yang kini hadir dengan tiga butang iaitu butang Status, Photo, dan Check-in. Pada butang Photo, pengguna kini dibenarkan memuat-naik video ke Facebook terus dari peranti Windows Phone 8 mereka.

Selain antaramuka baru, Facebook Beta 5.3 turut membawakan peningkatan dari segi prestasi keseluruhan selain hadir dengan sokongan lebih banyak bahasa melaluinya.

Bagi mereka yang berminat untuk menguji aplikasi ini, Facebook Beta 5.3 boleh dimuat-turun melalui laman Windows Phone Store dan ditawarkan secara umum untuk semua pengguna Windows Phone 8.1.

Nota: