Empat Pengarang Wikipedia Disaman 10 Juta Dollar

Kegiatan melakukan suntingan laman Wikipedia biasanya dianggap perkara lucu oleh kebanyakan pengguna. Sebagai contoh usai perlawanan Amerika Syarikat menentang Ghana tempo hari, laman Wikipedia penjaring gol kemenangan USA John Brooks Jr disunting dan beliau dinobatkan pemain bola sepak terbaik dunia. Suntingan seperti ini dianggap perkara biasa dan biasanya diselesaikan dengan para editor mengembalikan artikel asal kepada versi asal.

Tetapi bagi  Yank Barry, seorang usahawan bergelar jutawan suntingan artikel beliau di Wikipedia tidak dianggap sesuatu yang boleh dipandang ringan. Usahawan sayur-sayuran dari Kanada ini memfailkan saman bernilai 10 Juta Dollar ke-atas empat editor Wikipedia 11 Jun yang lalu. Tindakan saman dilakukan kerana menurut Barry, artikel Wikipedia beliau dipenuhi dengan fakta tidak benar yang menjatuhkan reputasi beliau sebagai seorang usahawan dan boleh mengakibatkan kerugian kepada perniagaan beliau.

121513-1

Menurut Barry lagi pada awalnya beliau cuba berbincang secara baik untuk menyunting maklumat yang pada hemat beliau adalah kurang tepat. Namun selepas berkali – kali permintaan beliau tidak dilayan, Barry tiada jalan lain lagi selain menyaman empat editor yang menyelia laman Wikipedia beliau.

Fakta yang menjadi sumber perbalahan Barry dan para editor adalah berkaitan kes jenayah beliau yang berlaku pada lewat 90an. Beliau dihadapkan ke mahkamah kerana dituduh menyogok Jabatan Penjara Texas bagi mendapatkan kontrak membekalkan makanan kepada penjara-penjara di Texas. Pada tahun 2005 beliau didapati tidak bersalah. Namun begitu menurut Barry, artikel Wikipedia beliau ditulis oleh para editor seakan-akan beliau didapati bersalah atas campur tangan pihak tertentu. Bagi Barry maklumat bukan sahaja tidak benar malahan merosakkan reputasi beliau sebagai seorang usahawan berjaya.

Kes saman seperti ini bukan kali pertama melibatkan Wikipedia. Dalam sejarah Wikipedia terdapat beberapa kes yang difailkan pelbagai pihak ke atas mereka kerana paparan maklumat yang kurang tepat. Di dalam sebuah kes, pihak FBI cuba menyaman Wikipedia yang enggan membuang logo FBI dari laman Wikipedia mereka kerana dikatakan dilakukan tanpa kebenaran.

Nota: