Didakwa seleweng RM15 juta

Utama

sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat direman enam hari bermula hari ini sehingga 2 September bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana bernilai RM15 juta.

Lelaki berusia 42 tahun itu berkhidmat di syarikat proksi kepada sebuah syarikat penerbitan serta ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 11.09 malam tadi di ibu pejabat suruhanjaya berkenaan di sini, ketika hadir untuk memberi keterangan berkaitan kes.

Perintah tahanan reman berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, manakala, siasatan terhadap suspek dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Pada masa sama, Majistret membenarkan permohonan SPRM melanjutkan reman selama dua hari sehingga 30 Ogos terhadap pengarah urusan sebuah institusi perbankan tempatan bergelar Datuk serta tiga yang lain iaitu bekas pegawai bank berkenaan, selain pengarah dan kakitangan sebuah syarikat penerbitan buku untuk kes sama.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan seorang pengarah urusan sebuah institusi perbankan tempatan bergelar Datuk ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana bernilai RM15 juta.

Pengarah urusan berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 petang di pejabatnya di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung tender penukaran sistem bank dan penerbitan biografi berkaitan seorang pemimpin negara.

Perintah tahanan reman selama tiga hari turut membabitkan tiga yang lain iaitu masing-masing bekas pegawai bank berkenaan, selain pengarah dan kakitangan sebuah syarikat penerbitan buku.

Semalam, seorang pengarah syarikat penerbitan buku direman tujuh hari bermula semalam sehingga 2 September ini bagi membantu siasatan untuk kes yang sama.

Berdasarkan laporan sehingga kini, enam individu ditahan reman oleh SPRM bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap kes berkenaan.

Image: 
Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat direman enam hari bermula hari ini sehingga 2 September bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana bernilai RM15 juta.

| Artikel @ berita penuh



Widget not in any sidebars


Nota: