dherba

Coworking: Ini satu lagi bidang perniagaan baru yang boleh diceburi

Coworking. Ini satu lagi bidang perniagaan baru yang bijak untuk diceburi.  Bidang berkenaan ialah menyediakan ruang pejabat untuk pekerja online. Ia juga untuk pekerja nomad digital tempatan dan luar negara.

Mari kita fahami dan perincikan.

Dalam perniagaan tradisional, biasanya orang menyediakan ruang pejabat untuk disewa atau dibeli bagi keperluan pejabat fizikal secara tetap. Ia disewa secara tetap bulanan oleh syarikat yang tetap dan sama.

Keperluan kepada coworking

Ia dihuni oleh kakitangan yang sama. Bagaimanapun, dalam era teknologi Internet yang makin meranum dan berkembang pesat, khalayak pekerja online akan bekerja di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Seorang rakyat Sweden mungkin sahaja memerlukan ruang bekerja untuk tempoh hanya satu jam di Malaysia atau Hong Hong, manakala seorang pekerja online Malaysia mungkin sahaja memerlukan satu ruang kerja kecil tetapi dilengkapi Internet di satu sudut bandar di London.

Penyewaannya mungkin hanya membabitkan tempoh masa singkat.

Cara gaya kerja berbeza

Secara mudah, coworking adalah sebuah cara gaya bekerja yang membabitkan ruang dan tempat berkerja secara bersama, tetapi aktiviti kerja bebas dan berlainan sama sekali bagi setiap orang di dalamnya.

Tidak seperti pejabat biasa, mereka yang bekerja di sesebuah coworking biasanya datang dari organisasi berbeza, malah mungkin pekerja persendirian seperti developer aplikasi atau freelance.

Konsep coworking mula dipopularkan oleh Brad Neuberg pada 2005. Sejarah dan perincian mengenai konsep coworking dapat dibaca di whatiscoworking.com.

Untuk mudah difahami, coworking merujuk kepada ruang kerja secara bersama di kalangan individu dengan latar belakang pekerjaan atau perniagaan berbeza-beza.

Ia ruang kerja setaraf pejabat di luar rumah dengan Internet senagai kemudahan wajib ada sebagai asas utama. Namun, apa yang unik mengenai coworking ialah suasana kerjanya tidak terasa seperti pejabat formal, sebaliknya lebih santai, interaktif dan sangat komunikatif.

Kini keperluan kepada ruang coworking dijangka makin bertambah berikutan pertambahan bilangan pekerja bebas atau freelance.

Internet berkelajuan tinggi

Antara kelebihan coworking ialah harga sewa yang relatifnya murah serta mampu, kemudahan jaringan komunikasi Internet yang laju, ruang kolaborasi dan perhubungan yang fleksibel serta mudah, menepati gaya hidup santai serta seimbang, ringan dan sangat rendah stres kerja.

Malah, ada dapatan kajian menemui bahawa coworking mampu menjadikan seseorang lebih fokus serta lebih produktif.

Kini ada satu laman khusus diwujudkan khusus untuk mengumpul info mengenai coworking di seluruh dunia, iaitu wework.com.

Bagi mereka yang mencari peluang niaga baru, menyediakan ruang coworking untuk komuniti pekerja online adalah satu lagi idea niaga yang boleh diceburi.

Ia tidak memerlukan modal setup terlalu tinggi kerana konsep coworking itu sendiri sangat ringkas. Apa yang penting ialah kreativiti. – inimajalah.com