COD Advanced Warfare : Fantasi VS Realiti Teknologi Ketenteraan Yang Dipaparkan

Trailer Call of Duty Advance Warfare diperlihatkan kepada umum beberapa hari yang lalu dan reaksi dari peminat nampaknya bercampur baur. Ada yang mengatakan COD kini hanya meniru Titanfall dengan memperkenalkan baju zirah yang membolehkan askar yang dikawal melakukan aksi seakan adiwira. Terdapat juga komentar yang mengatakan COD kini sudah jauh terpesong dari asal kerana pengenalan teknologi yang terlalu futuristik. Hari ini mari kita lihat sama ada teknologi yang diperlihatkan di dalam trailer COD : AW adalah berpijak di bumi yang nyata ataupun fantasi yang tidak akan kita lihat di dunia sebenar.

Baju Zirah Kerangka Luaran

Baju zirah yang merupakan kerangka luaran (exo-skeleton) diperlihatkan secara meluas sepanjang trailer. Jika anda menonton filem Elysium lakonan Matt Damon anda pasti pernah melihat kerangka luaran dengan rekaan yang serupa. Di dalam trailer kita boleh melihat pemakai mampu melakukan lompatan tinggi serta mempunyai kekuatan luar biasa apabila memakai kerangka ini. Tahukah anda projek kerangka luaran seperti yang diperlihatkan COD:AW dan Elysium bukanlah fiksyen tetapi realiti?

 HULC suit1

Projek HULC (Human Universal Load Carried) ialah salah sebuah projek kerangka luaran yang kini dibiayai pihak tentera Amerika Syarikat. HULC (yang berbunyi seperti Hulk) dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin bagi membolehkan askar infanti Amerika Syarikat membawa lebih banyak bebanan ke medan perang. Jumlah bebanan maksimum dalam bentuk senjata dan makanan yang dibawa askar infantri sekarang ialah sekitar 150 pound (68 kilogram). Dengan penggunaan HULC pihak Pentagon berharap ianya dapat ditingkatkan kepada 200 pound (90 kilogram). Keperluan membawa lebih banyak bekalan ke medan perang adalah perlu bagi memastikan kebarangkalian askar mereka selamat ketika bertugas adalah tinggi. Ketika operasi Black Hawk Down di Mogadishu mereka menyedari ada anggota infantri yang meninggalkan teropong malam, bekalan air tambahan dan plat seramik kalis perluru mereka di pengkalan bagi mengurangkan berat. Seperti yang kita sedia maklum ini mengakibatkan kematian dan kesukaran untuk mereka menyelamatkan diri dari warga Mogadishu yang menyerang mereka secara pukal.

Ekzoskelet-HULC-ot-Lockheed-Martin

HULC bukan sahaja mampu memberikan kekuatan adiwira kepada pemakai tetapi turut membolehkan mereka berlari dengan pantas serta berjalan lebih jauh ketika melakukan misi penting. Kerangka luaran HULC membolehkan pemakai berjalan dengan kelajuan 12 kilometer sejam sejauh 19 kilometer tanpa henti dengan membawa bebanan maksimum. Projek ini sudah masuk tahun ke 14 tetapi masih tiada tarikh tetap bilakah ia kan mula digunakan oleh infantri Amerika Syarikat. Apabila ianya mula digunakan kelak pastinya fiksyen bakal menjadi realiti.

Pada masa yang sama teknologi kerangka luaran ini juga dibangunkan di Jepun untuk kegunaan awam. Kerangka HAL (Hybrid Assisted Limbs) dibangunkan oleh Cyberdyne membolehkan pesakit lumpuh berfungsi seperti individu normal.

 

Helmet Realiti Maya

Kami menyedari ada kelihatan visual tentera menggunakan helmet dengan teknologi maya di dalam COD:AW . Sekali pandang ianya kelihatan seperti topeng yang dipakai oleh Raiden dari Metal Gear Rising. Helmet maya ini membolehkan pemakainya melihat keluar walaupun mata mereka ditutup. Ya teknologi helmet maya ini juga sudah wujud dan sedang menjalani ujian di Norway.

oculusSistem teropong realiti maya Oculus Rift digunakan oleh tentera Norway untuk digunakan oleh pemandu kereta kebal. Sistem kamera dipasang di sekeliling kereta kebal membolehkan pemandu mempunyai pemandangan 360 darjah tanpa perlu keluar dari ruang pemandu. Krew juga boleh memastikan kereta kebal tidak akan mampu diserang dari titik buta oleh infantri bersenjata anti kereta kebal. Ini adalah antara masalah yang dialami oleh pengendali kereta kebal Amerika Syarikat di Iraq dan juga Israel di Lebanon.  Sistem Oculus ini juga boleh digabungkan dengan sistem kamera pandangan malam apabila perlu. Buat masa ini sistem helmet maya Norway ini masih di dalam tempoh ujian dan hanya dijangka digunakan secara meluas dalam masa 5 tahun. Apa yang dilakukan Norway bagi kami agak mengejutkan kerana Oculus Rift pada awalnya dicipta untuk permainan komputer tetapi akhirnya digunakan untuk tujuan ketenteraan.

oculus sweden

Sistem Samaran Predator

Sistem samaran seperti Predator ialah keris Tamingsari yang didambakan pihak tentera sejak filem ini muncul pada tahun 1987. Askar yang memakai sistem samaran ini dapat masuk dan keluar dari medan peperangan dari diserang. Teknologi stealth manusia ialah teknologi yang sehingga kini masih belum kita lihat digunakan secara meluas. Di dalam COD:AW sistem ini nampaknya sudah digunakan secara meluas.  Beberapa sistem yang dipertontonkan kepada umum menggunakan kamera bagi memancarkan imej kepala fabrik yang menutupi individu yang cuba menghilangkan diri mereka dari pandangan. Tetapi pada tahun 2012 syarikat Hyperstealth Biotechnology mendakwa mereka mampu menghasilkan sistem samaran ala Predator dengan menggunakan gentian kaca. Teknik penyamaran mereka diberi nama Quantum Stealth.

camo

Tidak banyak maklumat boleh kami bongkar mengenai Quantum Stealth kerana ianya projek rahsia yang dibiayai kerajaan Amerika Syarikat dan Kanada. Sebuah video tertiris ke arena web semasa pengumuman dilakukan tetapi ditarik semula atas arahan Pentagon. Apa yang anda lihat di bawah ialah simulasi yang dihasilkan sendiri oleh Hyperstealth Biotechnology. Quantum Stealth juga didakwa bukan sahaja dapat membuatkan pemakainya tidak dapat dilihat secara visual, malahan mereka juga tidak boleh dikesan menggunakan sistem penglihatan malam dan haba.

hiding-in-plain-sight

Motosikal Terapung

Beberapa babak kejar mengejar menggunakan motosikal terapung juga kelihatan. Ianya mengingatkan kami kepada baba kejar-mengejar di dalam Star Wars Return of The Jedi. Motosikal ini terapung beberapa inci dari permukaan tanah dan mampu bergerak pada kelajuan tinggi.

121212ww

Aerofex ialah motosikal terapung yang sudah dalam pembangunan sejak 2008. Dua tahun yang lalu beberapa video ujian diperlihatkan dan pereka Aerofex mendakwa kenderaan terapung ciptaan mereka ini mampu memecut sehingga 50 kilometer sejam pada ketinggian maksimum 4.5 meter dari permukaan tanah. Kenderaan ini masih belum boleh digunakan secara komersial kerana masalah kestabilan dan keselamatan yang belum diselesaikan. Kegilaan manusia untuk mencipta platform terapung di medan perang sebenarnya bukanlah perkara baru dan seawal 1957 lagi tentera Amerika Syarikat sudah menyalurkan dana untuk penghasilan prototaip. Hiller HO-1 ialah antara prototaip yang dihasilkan untuk kegunaan infantri merentasi kawasan paya dan hutan. Masalah yang dialami HO-1 ialah ianya terlalu bising untuk tujuan pengintipan, tidak stabil ketika dipandu dan masalah jarak operasi yang terlalu terhad.

jedibike2

Pesawat Kipas Berputar

Pesawat kipas berputar (tilt rotor) sudahpun memasuki pasukan Marin Amerika Syarikat sejak 2003. Pesawat Bell V 22 Osprey digunakan di Iraq dan juga Afghanistan. Pesawat jenis ini digunakan kerana menggabungkan kemampuan terapung seperti helikopter dengan kelajuan terbang mendatar sebuah kapal terbang. Apa yang dipaparkan di dalam COD:AW adalah sedikit berbeza dengan Osprey yang digunakan sekarang kerana mempunyai kipas yang tertutup (ducted fan blade).  Jadi persoalan yang mungkin ada di benak anda ialah “apakah beza kipas terbuka Osprey dengan sistem kipas tertutup?”.

w1w1ww1ww

Sistem kipas tertutup adalah lebih senyap berbanding sistem kipas terbuka. Untuk pesawat yang digunakan di dalam misi pasukan khas elemen mengejut ketika menyerang musuh adalah sesuatu yang perlu. Ketika perang Vietnam bunyi paluan supersonik kipas helikopter Bell Huey memudahkan Vietcong menyorok sebelum mereka diserang tentera Amerika Syarikat. Sistem kipas tertutup juga menghasilkan tujahan yang lebuh mudah diarahkan mengikut kehendak juruterbang, Kekurangannya pula iala ianya tidak seefisien dalam penghasilan tujahan. Kipas yang digunakan lebih pendek dan ini bermakna enjin harus berputar lebih pantas untuk menghasilkan daya tujahan yang berpadanan dengan sistem kipas terbuka.

Satu-satunya pesawat kipas berputar yang sedang dibangunkan yang menggunakan kipas tertutup ialah Agusta Westland Project Zero. Pesawat ini ialah versi sebenar helikopter yang anda lihat di dalam trailer COD :AW . Project Zero masih belum melakukan penerbangan sulung dan hanya merupakan prototaip yang diperlihatkan di Pameran Udara Paris tahun lalu. Ia diperkasakan dua buah enjin elektrik

50th Paris Air Show

Jadi ini adalah sebahagian daripada teknologi futuristik yang sebenarnya sudah wujud sekarang. Ada teknologi yang sudah sedia digunakan dan ada juga yang masih perlu diperhalusi sebelum boleh digunakan di medan perang.  Kita nantikan sahaja kemunculan permainan komputer ini November akan datang untuk melihat apakah lagi teknologi futuristik yang bakal mereka ketengahkan.

Nota: