Bagaimana mengurangkan sakit, marah dan lapar dengan mengepal tangan

Banyak cara untuk mengawal dan mengurangkan sakit, marah dan lapar, terutama bagi mereka sedang mengamalkan diet bagi mengurangkan berat badan.

Satu daripada cara ialah dengan mengepal tangan. Tindakan mengepal tangan boleh mengurangkan rasa sakit, marah, kesal, takut atau mengalami situasi buruk lain. Malah, ketika berdiet, mengepal tangan juga boleh membantu menahan gelojak rasa terhadap makanan kegemaran, termasuk coklat.

Ini berdasarkan penemuan kajian oleh dua penyelidik, iaitu Iris Hung dari National University of Singapore dan Aparna Labroo dari University of Chicago.

kepal tangan, menahan lapar, menahan sakit

Kajian itu menemui bahawa keadaan fizikal dan emosi ketika mengepal tangan adalah lebih terkawal berbanding sebaliknya.

Menurut penelitian mereka sebagaimana disiarkan dailymail.co.uk, tindakan mengepal tangan juga boleh mengurangkan rasa tidak selesa ketika meminum ubat pahit atau mengalami kesejukan.

Menerusi kajian itu, responden sukarela didedahkan kepada pelbagai situasi tidak selesa, termasuk merendam tangan di dalam ais, meminum air berisi cuka dan mendepani individu meminta sumbangan kewangan.

Satu kumpulan responden sukarela diberikan tip supaya mengepal tangan apabila menghadapi semua situasi buruk itu, manakala satu kumpulan responden lain tidak diberitahu mengenai tip itu.

Hasilnya, individu dalam kumpulan responden yang mengepal tangan ketika mendepani situasi jelek, berasa lebih selesa dengan emosinya lebih terkawal, manakala kumpulan yang satu lagi lebih cenderung berasa tidak selesa.

Penemuan itu sekali gus memberitahu umum bahawa tindakan mengencangkan otot sama ada otot tangan, betis atau otot lain, termasuk mengepal tangan, membolehkan seseorang mengawal diri dari segi fizikal dan mental untuk mendepani situasi kritikal dan jelek.

Bagaimanapun, kajian itu mendapati rasa selesa akibat mengepal tangan tidak akan bertahan lama. Kesannya akan berkurangan setelah seseorang mengepalkan tangan agak lama.

“Kesannya hanya pada tahap optimum jika tangan dikepal sesaat sebelum responden kajian meminum air berisi cuka,” catat web terbabit.

Justeru, pengkaji mencadangkan supaya kaedah motivasi diri turut digunakan untuk menghadapi situasi jelek dan tidak selesa, iaitu dengan memberitahu dan merangsang diri sendiri mengenai kebaikan di sebalik sesuatu yang jelek itu. – inimajalah.com

Nota: