Asus Padfone Dikemaskini – Zenfone 5 Dengan Sokongan LTE Diperkenalkan

Asus pada Computex nampaknya mempunyai pelbagai perkara menarik untuk diumumkan. Selain hadir dengan Transformer Book V yang membawakan peranti tiga-dalam-satu, pihak Asus juga turut mengumumkan kemaskini kepada beberapa produk sedia ada, termasuk Padfone dan juga Zenfone.

Asus Padfone S hadir dalam bentuk kemaskini kepada keluarga Padfone sedia ada, yang mana membawakan gabungan tablet dan telefon pintar dalam satu peranti. Asus Padfone S membawakan telefon pintar dengan skrin bersaiz 5-inci, menggunakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 800 2.3GHz, memori sebanyak 2GB RAM, dan kamera belakang 13-megapixel. Ia turut dilengkapi dengan bateri berkapasiti 2300mAh. Untuk bahagian tablet pula, ia menyertakan skrin bersaiz 8.9-inci, dan turut dilengkapi dengan bateri tambahan 4990mAh.

Selain daripada Padfone S, pihak Asus turut mengemaskini keluarga telefon pintar Zenfone mereka, dimana Zenfone 5 dilihat hadir dengan sokongan LTE. Ia menggantikan penggunaan cip Intel kepada Snapdragon 400 1.2Ghz empat-teras, menggunakan skrin bersaiz 5-inci, memori sebanyak 1GB RAM, kamera belakang 8-megapixel dan kamera hadapan 2-megapixel.

Kedua-dua peranti ini akan hadir dengan Android 4.4 KitKat. Ia tidak diketahui bilakah kedua-duanya akan hadir ke pasaran tempatan. Buat masa ini, Asus Malaysia dalam usaha membawakan Asus Zenfone 5 yang menggunakan cip Intel, dan hadir dengan sokongan 3G sahaja.

Nota: